SEJARAH KAUM IBAN: SATU ANALISIS AWAL DARI ASPEK KETAMADUNAN
dikarang oleh : Nicholas J. Ugik
Sejarah menyaksikan perubahan dalam sesuatu tamadun dan masyarakat dari satu tahap ke satu tahap yang lain. Sejarah juga menyaksikan bermulanya sesuatu tamadun dan juga berakhirnya tamadun tersebut. Ibnu Khaldun dalam penulisannya Mukadimah yang menggariskan tamadun jelas menyatakan bahawa sebuah tamadun akan berakhir dengan keruntuhan kerana kelalaian masyarakat dalam tamadun tersebut memerintah dan mentadbir urus negara dengan keadaan yang baik. Apabila negara sudah menikmati kekayaan dan keindahan negara kotanya. Maka para pemimpin akan mula leka dan mengamalkan penyalahgunaan kuasa disebabkan ingin mengejar kekuasaan dan kekayaan individu. Ini juga terjadi kepada beberapa tamadun unggul dunia seperti tamadun Rome, Mesopotamia, Moghul di India dan juga tamadun Mesir di Lembangan Nil.
Dalam konteks masyarakat Iban pula, permulaan ketamadunan masyarakatnya mungkin boleh dinyatakan sekitar penghujung 1800-an apabila sebahagian daripada masyarakatnya sudah mula menikmati pendidikan. Ini adalah disebabkan gerakan dakwah para mubaligh Kristian dan juga penubuhan beberapa sekolah mission yang menyediakan peluang pendidikan. Walaupun tidak semua masyarakat Iban dapat menikmatinya namun sekurang-kurangnya sebahagian daripada masyarakat Iban mula terdedah kepada dunia pendidikan. Mengapa penulis mentakrifkan masyarakat Iban bertamadun apabila sudah mendapat pendidikan? Ini adalah merujuk kepada enam ciri-ciri ketamadunan yang salah satunya menggariskan bahasa dan tulisan adalah ciri-ciri masyarakat yang bertamadun. Sebelum itu, masyarakat Iban memang sudah mempunyai ciri-ciri ketamadunan yang lain seperti petempatan kekal, kepercayaan dan agama, organisasi sosial, sistem ekonomi dan juga sistem pemerintahan. Ini akhirnya perlu dihurai dengan lebih teliti setiap satu persatu kerana ia akan melihat corak kehidupan masyarakat Iban melangkah ke arah sebuah masyarakat yang bertamadun.
Sehubungan dengan itu juga, sejarah masa lalu masyarakat Iban juga dapat diaplikasikan pada zaman kini kerana yang menjadi fokus ialah perubahan yang berlaku pada tahap-tahap tertentu zaman. Contohnya seperti kebudayaan, kesusasteraan dan juga cara hidup seperti konsep bejalai yang bermaksud anak muda lelaki diharuskan keluar untuk merantau bagi menimba pengalaman di tempat orang dan juga kerja dengan usaha yang gigih. Memang tidak dapat dinafikan bahawa ia sering kali menjadi perdebatan kerana masyarakat Iban seringkali dikutuk sebuah masyarakat yang jauh ketinggalan di belakang pada masa kini. Persoalan ini dapat dirungkai jika kita berbalik kepada pembentukan sejarah masyarakat ini sebelum ia dibawa kepada perdebatan. Masyarakat Iban adalah sebuah masyarakat yang unik kerana dapat berubah dalam satu period yang agak singkat iaitu penghujung 1800 mula terdedah kepada pendidikan atau lebih tepat lagi setelah James Brooke menduduki Sarawak pada 1841. Tetapi pada peringkat awal, James Brooke tidak terlalu mengamalkan dasar pembangunan sosial dan lebih menumpukan kepada keuntungan ekonomi berbanding dengan Rajah kedua iaitu Charles Johnson Brooke yang banyak mendirikan sekolah serta kemudahan sosial yang lain seperti klinik untuk kemudahan rakyat.
Masyarakat Awal Iban
Seperti yang telah dijelaskan dalam teori migrasi masyarakat Iban ke Borneo (Kalimantan dan kemudiannya menganjur ke Sarawak) dalam tulisan Benedict Sandin, Sea Dayak of Borneo: Before White Rajah Rules dan juga kolaborasi Benedict Sandin dengan Pringle, A. J. N.,Richards The Migrations of the Ibans and Their Poetry dan juga Christine Padoch, Migration and Its Alternatives Among the Iban of Sarawak. Penulis melihat tidak ada keperluan untuk menghuraikan tentang migrasi awal masyarakat Iban kerana rujukan boleh juga dibuat melalui tulisan yang telah dinyatakan di atas dan juga pada tulisan penulis sendiri dalam Kesusasteraan dan Kebudayaan Masyarakat Iban (1980-2000) iaitu tesis bagi tujuan Pengijazahan Sarjana Muda Sains Sosial dalam bidang Sejarah Sekolah Sains Sosial Universiti Malaysia Sabah. Seterusnya, penelitian akan dibuat kepada perkaitan secara langsung ciri-ciri ketamadunan yang telah dinyatakan dengan kehidupan masyarakat Iban. Kemudian ia akan dibincangkan kepada landskap sosial masyarakat Iban di masa kini.
Gambar 1:Masyarakat Iban tradisional |
Penempatan Kekal
Pada zaman awal, masyarakat Iban yang masih mendiami Kalimantan hidup di Gua dan juga secara berpindah randah untuk memenuhi keperluan makanan yang bergantung kepada hasil hutan dan juga hasil buruan. Menurut hikayat dalam penceritaan masyarakat Iban iaitu Jerita Bejie Nangga Ari telah menceritakan keadaan masyarakat Iban pada masa itu sehinggakan mereka mendapat pengetahuan untuk membina pondok kecil sebagai tempat berteduh dan kemudiannya berubah kepada pembinaan rumah panjang selepas Bejie dan abangnya Bada mendapat pesanan daripada Dewa Raja Semarugah yang mengutuskan Puntang Raga dalam menyampaikan adat istiadat mendirikan sebuah rumah panjang. Ini disebabkan pada sebelum itu, rumah yang didirikan oleh Bejie dan Bada sering roboh apabila baru sahaja didirikan kerana tidak mengikut pantang larang dan tidak memberikan penghormatan kepada dewa.
Peristiwa ini dilihat menjadi titik tolak kepada petempatan kekal masyarakat Iban. Keadaan petempatan ialah dalam bentuk rumah panjang yang diwarisi sehinggalah ke hari ini dan ada di seluruh tempat di Sarawak. Proses perubahan petempatan masyarakat Iban telah menyebabkan gaya kehidupan masyarakat Iban juga turut berubah. Dalam rumah panjang ini, masyarakat Iban hidup sebagai sebuah keluarga yang besar dan ia saling memerlukan. Maka dengan ini, sifat ketamadunan sudah mulai terbentuk hasil daripada idea Bejie dan Bada yang mendapat ilham untuk mendirikan petempatan.
Gambar 2: Keadaan di dalam rumah panjang kaum Iban |
Organisasi Masyarakat
Oleh kerana masyarakat Iban sudah mula mendirikan petempatan kekal iaitu membina rumah, maka sistem organiasasi dalam masyarakat juga turut berubah. Konsep rumah panjang yang menghimpunkan semua penduduk kampung dalam satu bumbung telah membawa kepada konsep satu keluarga yang besar. Semangat kekitaan dan kekeluargaan akan terjalin hasil daripada konsep ini tadi. Tetapi ia adalah satu perdebatan kerana masyarakat Iban adalah terkenal dengan sifat individualistik namun ia adalah mengamalkan egalitarianisme dalam sosial masyarakat. Ini dapat dilihat dengan lebih mendalam dalam hujah Peter M. Kedit melalui tulisan beliau, Iban An Overview of Iban Traditional Cultural Values and Social Norms, and Their Implications for Contemporary Sarawak, dalam Sarawak Museum Journal. Tetapi saya (penulis) berhujah bahawa semangat kekitaan dan juga kerjasama ini terjalin dalam menghadapi musuh dalam peperangan (ngenanka rumah), dalam perkerjaan berhuma dan juga kerja-kerja rumah panjang yang lain (beduruk) serta dalam majlis perayaan dan juga majlis kematian juga dilakukan secara bersama-sama penghuni rumah panjang tersebut.
Keluarga besar dalam rumah panjang ini kemudiannya terbahagi kepada keluarga-keluarga yang menjalani kehidupan masing-masing di setiap bilik yang dipisahkan oleh dinding yang menandakan tempat kediaman keluarga masing-masing. Manakala ruai ialah satu medan atau anjung yang tidak dipisahkan oleh dinding dalam rumah panjang. Ia merupakan medan sosial dan juga tempat majlis yang diadakan di rumah panjang tersebut. Setiap keluarga akan diketuai oleh ketua keluarga secara tidak langsung dan dia akan mengetahui keluarga tersebut dalam setiap pekerjaan dan tugas. Sebuah rumah panjang akan diketuai oleh seorang Tuai Rumah yang berperanan sebagai ketua rumah panjang.
Gambar 3: Keadaan kehidupan Masyarakat Iban di rumah panjang |
Sistem Pemerintahan
Corak sistem pemerintahan dan pentadbiran masyarakat Iban memang ada tetapi ia tidak melambang stratifikasi dan pengkelasan pada masyarakat. Ia adalah berfungsi sebagai melicinkan pentadbiran dan juga menentukan hala tuju masyarakat yang bergabung di bawah satu bumbung rumah panjang. Seorang Tuai Rumah tidak mendapat apa-apa kesitimewaan seperti hasil kutipan cukai, hamba dan juga mengerah tenaga penghuni rumah panjang yang lain. Ini adalah berbeza daripada sistem pentadbiran masyarakat Melayu tradisional yang diketuai oleh Ketua Kampung ataupun Penghulu yang merupakan golongan elit dalam sesebuah kampung dan berhak untuk mengutip cukai dan juga mengerah tenaga penduduk kampung.
Dalam sistem pemerintahan masyarakat Iban, sebuah rumah panjang akan diketuai oleh Tuai Rumah. Beliau biasanya dipilih melalui suara majoriti penghuni rumah panjang tersebut. Biasanya setiap keluarga akan membuat pilihan semasa mesyuarat (baum) yang diadakan di rumah panjang tersebut. Seorang Tuai Rumah dipilih berdasarkan kepada kriteria yang dilihat mampu untuk menjadikan beliau seorang pemimpin yang boleh mengetuai penghuni rumah panjang. Antara kriteria yang dipertimbangkan ialah kebolehan berbicara di depan khalayak ramai, berkarisma dan juga keberanian beliau di medan peperangan (ngayau). Seorang Tuai Rumah akan mengetuai ekspedisi peperangan kerana keberanian dan kebolehan yang terdapat pada beliau. Namun yang demikian, ekspedisi juga boleh juga diketuai oleh penghuni lain yang berani dan berkebolehan (Bujang Berani).
Konsep Tuai Rumah ini bukanlah sistem yang diamalkan secara warisan. Ia adalah berdasarkan kepada suara majoriti dan juga kemampuan untuk menjadi seorang ketua. Jika ada persaingan untuk menjadi seorang ketua dalam masyarakat Iban tradisional, biasanya seorang ketua akan kekal di rumah panjang dan seorang lagi akan berpindah ke kawasan yang baru dengan beberapa orang pengikut setianya. Ini dapat dilihat pada zaman Iban tradisional iaitu peringkat awal migrasi ke Sarawak iaitu ketua Iban seperti Bah dan Banteh yang memisahkan diri bagi mencari kawasan kawasan baru apabila tiba di Sungai Krang. Rujukan lanjut dapat dilihat dalam tulisan Benedict Sandin, Sea Dayak of Borneo: Before White Rajah Rules.
Pengkhususan Pekerjaan
Tidak dapat dinyatakan dengan jelas tentang adanya pengkhususan pekerjaan yang terdapat dalam sistem masyarakat Iban. Namun yang demikian, petempatan tetap masyarakat Iban telah menyebabkan masyarakat Iban yang bercirikan masyarakat pengumpul dan nomad pada sebelumnya berubah ke arah masyarakat pertanian. Masyarakat pertanian ini mendiami sesuatu kawasan yang tetap dan mempunyai sistem sosial yang sistematik. Mereka telah menanam padi huma yang merupakan aktiviti utama masyarakat Iban. Beras adalah makanan ruji utama masyarakat Iban selain daripada sagu dan ubi kayu sebagai makanan ruji tambahan di musim simpanan beras di peringkat akhir (bulan begantung senduk). Penanaman padi huma dilakukan secara bekerjsama ataupun bergotong royong (beduruk) di kalangan penghuni rumah panjang.
Melalui pekerjaan utama masyarakat Iban tradisional ini, pengkhususan pekerjaan dapat dilihat khasnya melalui perbezaan gender. Misalnya dalam aktiviti berhuma, kaum lelaki biasanya melakukan kerja menebang, membakar kawasan huma, menugal dan upacara ritual di huma. Manakala kaum wanita pula terlibat dalam pekerjaan yang ringan seperti menolong kaum lelaki dengan menyediakan juadah yang dihidangkan kepada penduduk rumah panjang yang terlibat semasa berhuma dan juga membenih sewaktu tibanya musim menanam padi. Pengkhususan ini bukanlah sesuatu yang dirancang tetapi ia berlaku secara semulajadi kerana pembentukan masyarakat berkelompok dan kerjasama di kalangan anggota masyarakat. Dalam pada itu juga, kaum lelaki juga melakukan perkara yang utama semasa perayaan seperti mengetuai majlis, menjalankan upacara ritual dan juga berperanan besar dalam menjayakan perjalanan majlis. Ini akhirnya menjadikan masyarakat Iban yang berkelompok ini lebih teratur dan juga sistematik. Rujukan boleh juga dibuat dengan lebih lanjut tentang aktiviti dan pekerjaan masyarakat Iban tradisional dalam tulisan Benedict Sandin, Iban Adat and Augury.
Agama dan Kepercayaan
Penulis boleh mengatakan ini adalah bahagian yang terpenting dalam meneliti perkaitan masyarakat Iban dengan ketamadunan. Ini adalah disebabkan kepercayaan menentukan norma kehidupan masyarakat Iban sehari-harian kerana hubungan langsung agama dengan kesusasteraan dan juga mempengaruhi kebudayaan hidup masyarakat Iban. Apabila ketiga-tiga elemen ini saling berkaitan di antara satu sama lain, maka ia akan mempengaruhi kehidupan. Perkara ini tidak disedari berlaku malah ia juga tidak dilihat hadir sebagai sebuah elemen bersama tetapi berasingan. Jika salah satu daripada elemen ini digugurkan, maka kajian terhadap kehidupan tradisional masyarakat Iban tidak dapat dilihat dengan lebih mendalam. Hujah yang leih mendalam dapat dilihat dalam tulisan penulis Perkembangan Kesusasteraan dan Kebudayaan Masyarakat Iban: 1980-2000. Tulisan menghimpunkan pandangan para sarjana dalam menyokong idea penulis dalam menghuraikan kehidupan tradisional masyarakat Iban.
Pertama sekali ialah penelitian perlulah dibuat kepada kebudayaan masyarakat Iban. Budaya Iban dapat dilihat melalui perayaan dan juga cara hidup sehari-harian. Bagi budaya yang dilihat menerusi perayaan, ia ternyata sekali melalui pemerhatian pada ritual gawai, upacara spiritual dan juga beberapa upacara keagamaan yang dibuat untuk memenuhi keperluan hidup. Ini seterusnya mencorakkan cara hidup masyarakat Iban tradisional dan juga menjadi perintis kepada generasi yang seterusnya kerana kehidupan adalah berkaitan rapat dengan amalan ritual yang dapat dilihat melalui perayaan dan juga festival penting yang dibuat. Ini sudah tentunya adalah kerana pengaruh keagamaan yang memerlukan masyarakat Iban untuk melakukan aktiviti budaya yang berperanan menterjemahkan maksud agama dalam budaya.
Gambar 4: Upacara Miring |
Sistem kepercayaan masyarakat Iban boleh dikatakan satu sistem yang kompleks kerana tidak dapat diketahui secara ilmiah kewujudan dan permulaan kepercayaan masyarakat Iban. Semua maklumat yang digunakan oleh para penulis masa kini adalah berpandukan kepada cerita hikayat dan juga sumber lisan yang diceritakan oleh generasi emas. Tidak dapat diketahui dengan cara yang lebih mendalam asal usul kewujudan agama masyarakat Iban itu sendiri. Ini boleh dijadikan beberapa faktor seperti ketiadaan rekod awal yang menceritakan tentang kehidupan masyarakat Iban tradisional disebabkan ketiadaan sistem tulisan. Memang kewujudan papan turai adalah dikaitkan dengan sistem tulisan masyarakat Iban tradisional tetapi ia tidak dikembang dengan meluas tetapi terhad di kalangan penyair tradisional sahaja. Hujah lain berpendapat bahawa papan turai adalah sekadar simbol yang menjadi panduan kepada para penyair untuk mengingati peringkat puisi ritual yang mereka nyanyikan.
Menurut hikayat lisan masyarakat Iban, mereka menyembah Dewa Sempulang Gana yang memberikan keberkatan kepada kehidupan khasnya untuk hasil perhumaan. Dewa Sengalang Burong adalah dewa yang disembah kerana dewa ini adalah Dewa Perang yang menolong masyarakat Iban dalam ekspedisi memburu kepala atau ngayau. Dua watak ini merupakan dewa utama dalam kepercayaan masyarakat Iban. Namun tidak dapat dinafikan ada dewa lain seperti Raja Anda Mara Raja Tuah yang memberikan kekayaan dan kesenangan dalam kehidupan masyarakat Iban. Segindah yang mencipta tanah, Segindit yang mencipta langit dan Segindie yang mencipta air juga merupakan watak ghaib yang sering kali disebut dalam puisi tradisional masyarakat Iban.
Watak ghaib ini dapat dikesan melalui ayat-ayat suci yang dinyanyikan menerusi puisi ritual seperti pengap, renong semain dan juga leka biau. Puisi tradisional ini pula dimainkan semasa festival besar dan juga upacara ritual masyarakat Iban. Berdasarkan keadaan ini, dapat dilihat bagaimana kepercayaan berkaitan dengan budaya hidup dan juga kesusasteraan lisan masyarakat Iban. Sastera lisan ini adalah puisi ritual yang mempunyai fungsi dalam kepercayaan. Namun yang demikian, tidak semua puisi dalam sastera lisan ini adalah bersifat ritual kerana ada di antaranya adalah bercorak santai dan hiburan. Semasa puisi ritual ini dimainkan, adalah dipercayai bahawa para dewa ini akan datang ke sesuatu majlis dan festival untuk melihat masyarakat Iban yang menyeru mereka. Para ketua adat dan pemuisi ritual akan menjalankan upacara ritual yang sepatutnya mengikut kesesuaian majlis untuk menyambut kedatangan para dewa ini. Ini adalah untuk mengelakkan mereka dilanda musibah kerana gagal memberikan penghormatan kepada para dewa yang dijemput ke majlis yang diadadakan. Tetapi di sini bukan bermaksud yang para dewa dapat dilihat dilihat dengan mata kasar sebab semuanya adalah berbentuk metafora dan ritual sahaja.
Gambar 5: Pahlawan Iban tradisional |
Semasa upacara menyambut kedatangan para dewa ini, salah satu peringkat yang penting ialah upacara miring petara. Upacara ini adalah menyediakan persembahan korban yang berbentuk makanan dan bahan-bahan lain masyarakat Iban tradisional seperti pulut, ketupat, juadah kuih muih seperti penganan iri, bertih beras, telur, rokok daun, tembakau dan sebagainya. Bahan-bahan untuk upacara miring ini adalah mengikut kawasan di Sarawak. Setiap kawasan mempunyai perbezaan dari segi bahan dan juga kuantiti yang digunakan untuk upacara miring ini. sebagai contohnya, di Bahagian Betong sebiji telur ayam dibahagi-bahagikan untuk beberapa set piring tetapi di Bahagian Kapit pula, sebiji telur ayam digunakan untuk satu set dan biasanya diletakkan di atas bertih beras dalam sebiji mangkuk. Walaupun wujudnya sebarang perbezaannya, namun semua masyarakat Iban di Sarawak percaya bahawa persembahan yang dilakukan melalui upacara miring ini adalah khas untuk Tuhan yang diharapkan untuk memberkati hidup mereka. Namun yang demikian, miring ini bukanlah semata-mata persembahan yang disediakan untuk para dewa tetapi adalah untuk kegunaan masyarakat Iban untuk menguatkan roh dan semangat individu seperti piring untuk persediaan mengembara (bejalai jauh), piring untuk keberkatan diri sendiri (ngintu diri) dan juga untuk tujuan pengampunan jika seseorang itu pernah ditimpa kecelakaan (piring ngampun).
Sistem kepercayaan masyarakat Iban juga dapat dilihat melalui penceritaan hikayat yang popular di kalangan masyarakat Iban tradisional dan diturunkan kepada generasi masa kini. Penceritaan ini mengisahkan penduduk Panggau Libau Giau Takang Isang Panggau Lendat Betungkatka Dan Sabang, Gelung Batu Nakung dan juga tempat Apai Sabit Bekait di Tisi Langit. Tempat ini boleh didefinisikan sebagai alam ghaib kerana tidak ada satu pernyataan yang khusus dalam penceritaan hikayat masyarakat Iban tentang tempat yang diceritakan ini. Dalam pada itu juga, alam ghaib khususnya Panggau Libau juga dapat dijejaki jika seorang Iban itu bernasib baik ataupun ditakdirkan bertemu dengan penduduk Panggau Libau. Watak-watak seperti Keling, Bungai Nuing, Laja, Sempurai Montegrai, Pungga, Apai Abang, Gelayan, Kumang, Lulung, Bujang Ngelai, Pandak Segatak serta Apai Sabit Bekait begitu sinonim dengan penceritaan ini.
Gambar 6: Pahlawan Iban bertempur dalam medan perang (ngayau)-lakonan semula |
Dalam pada itu juga, terdapat pelbagai versi penceritaan hikayat penduduk Panggau Libau ini kerana ia banyak mengisahkan pasangan yang popular iaitu Keling dan Kumang. Dalam pada itu juga, kisah penduduk Panggau Libau yang menolong masyarakat Iban dalam pelbagai perkara dan juga peristiwa peperangan Panggau Libau dan sekutunya Gelung menentang Apai Sabit Bekait yang tempatnya terletak di kaki langit. Kedudukan watak ini sukar untuk diberikan taraf kerana boleh jadi mereka manusia, separuh manusia-dewa (demigods) ataupun dewa sepenuhnya. Ini disebabkan mereka juga disebut dalam puisi tradisional yang menunjukkan darjat dan taraf mereka tinggi daripada manusia biasa. Semua ini diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi yang boleh dianggap sebagai bentuk penglipur lara dan juga sejarah lisan masyarakat Iban yang begitu kompleks untuk merungkai kesahihannya dari sudut yang lebih realisme.
Ini sudah menunjukkan sistem kepercayaan dan juga upacara keagamaan masyarakat Iban tradisional. Ia masih menjadi warisan sehingga ke hari ini walaupun mengalami banyak perubahan dan juga kekangan kerana perubahan zaman. Namun ia adalah sesuatu yang unik kerana melibatkan unsur kesusasteraan dan kebudayaan masyarakat Iban. Seperti yang telah dijelaskan, ketiga-tiga unsur ini hadir bersama-sama dan ia tidak dapat dijelaskan jika salah satu daripada unsur ini digugurkan dalam pengkajian.
BAHASA DAN TULISAN
Aspek ini boleh dikatakan aspek penilaian ketamadunan yang jarang diketengahkan dalam pensejarahan masyarakat Iban (jika pensejarahan sebelum ini ada memaparkan aspek-aspek ketamadunan dalam masyarakat Iban) kerana sejarahwan boleh jadi berpendapat bahawa masyarakat Iban tidak ada sistem tulisan dan setiap rekod ysng diperturunkan dari setiap generasi ke generasi yang seterusnya dalam bentuk lisan. Memang ada seindah bahasa yang dipertuturkan dan akhirnya ia membentuk satu sistem kesusasteraan tetapi segalanya dalam bentuk lisan. Ini adalah pandangan yang memegang teori bahawa masyarakat Iban tidak mempunyai sistem tulisan. Namun yang demikian, tidak kurang juga yang memperdebatkan bahawa masyarakat Iban mempunyai sistem tulisan yang terjumpanya papan turai.
Ini tidakalah dapat diperdebatkan dengan lebih mendalam kerana selain daripada terjumpanya papan turai, masyarakat Iban tidak mempunyai manuskrip lain yang boleh menyokong masyarakat ini mempunyai sistem tulisan. Kalau mengikut cerita mitos yang diceritakan oleh generasi emas, masyarakat Iban telahpun mempunyai sistem tulisan yang digunakan untuk dalam kehidupan seharian selain digunakan dalam sastera, budaya dan kepercayaan. Namun apabila berlakunya banjir besar, seorang lelaki tua yang dipertanggungjawabkan memegang manuskrip tersebut telah mencuba sedaya upaya menyelamatkannya supaya tidak rosak ataupun hilang. Tetapi akibat daripada keadaan yang cemas, beliau telah menelan dokumen tersebut dan berharap apa yang tercatat dalam dokumen tersebut akan diingatinya dan diperturunkan secara lisan kepada generasi yang seterusnya. Bermula daripada peristiwa inilah masyarakat Iban telah menghafal dan menurunkan semua catatan kesusasteraan, peraturan hidup, pantang larang, aturan budaya dan sistem kepercayaan secara lisan.
Gambar 7: Papan Turai iaitu papan yang memaparkan manuskrip yang merupakan satu teks untuk tujuan mempelajari puisi ritual iaitu pengap dan timang |
Bagi menjelaskan hujah yang mengatakan bahawa masyarakat Iban tidak mempunyai sistem tulisan, ini disebabkan papan turai ini tidak digunakan secara meluas dalam kehidupan masyarakat Iban. Penggunaan papan turai hanya terhad dalam pembelajaran puisi ritual seperti pengap berdasarkan simbol-simbol yang ada pada papan turai tersebut. Oleh yang demikian, papan turai ini tidak boleh dikelaskan sebagai bukti kewujudan sistem tulisan ekoran penggunaannya tidak secara menyeluruh dalam kehidupan masyarakat. Malah fungsinya juga tidak diketahui sama sekali selain daripada untuk mempelajari pengap. Situasi memang benar kerana hampir kesuluruhan adat istiadat, kepercayaan, sastera dan budaya tidak ada catatan daripada masyarakat pada zaman tersebut. Ia diturunkan daripada satu generasi ke satu generasi yang lain hanyalah daripada amalan lisan yang agak tidak formal. Misalannya, seorang Iban yang berumur boleh menurunkan perkara-perkara ini kepada generasi yang lebih muda sewaktu berehat di anjungan rumah panjang pada waktu malam, sewaktu turun ke hutan untuk berburu mahupun ketika majlis-majlis ritual masyarakat Iban di mana generasi muda ini belajar secara tidak langsung pada masa tersebut.
Keadaan ini berterusan sehinggalah ada beberapa orang pengkaji dan aktivis yang sedar bahawa sastera, budaya dan kepercayaan ini perlulah dicatatkan kerana ia tidak begitu kerap diamalkan selepas Dinasti Brooke bertapak di Sarawak. Ini disebabkan pendidikan barat telah mula bertapak dan sedikit demi sedkit menghakis budaya asal masyarakat peribumi Sarawak khasnya masyarakat Iban melalui pendidikan dan juga penyebaran agama Kristian. Ini turut dijelaskan Robert Pringle dalam Rajah and the Rebel yang turut menyentuh pengaruh pemerintahan Brooke dalam perubahan corak hidup masyarakat peribumi di Sarawak khasnya dalam pola sosial. Pada zaman moden ini, seorang lelaki Iban yang bernama Dunging telah mencuba sedaya upaya untuk mewujudkan sistem tulisan Iban yang tersendiri berdasarkan kepada papan turai namun usaha beliau boleh dikatakan gagal keranan kurangnya mendapat perhatian dan sokongan khasnya daripada masyarakat Iban sendiri. Malah, selepas daripada era 80-an, bahasa Iban telah mula diajar secara berperingkat di sekolah rendah dan menengah di Sarawak dan sistem tulisannya adalah rumi bukannya menggunakan simbol. Namun yang demikian, pendapat penulis sendiri tetap mengatakan masyarakat Iban mempunyai ketamadunan walaupun papan turai yang merupakan satu-satunya rekod manuskrip hanyalah untuk kegunaan mempelajari pengap. Penulis mengatakan ia adalah satu bukti yang kukuh yang masyarakat Iban mempunyai sistem tulisan walaupun tidak ada penggunaan secara menyeluruh dalam sistem kehidupan.
Gambar 8: Pasangan yang disatukan. Biasanya seorang lelaki muda Iban yang meningkat remaja mesti pergi ke ekspedisi peperangan yang membolehkan beliau memilih calon isterinya |
Berkenaan dengan bahasa pula, masyarakat Iban menuturkan bahasa yang hampir sama walaupun ada perbezaan dalam maksud dan dialek. Namun yang demikian, masyarakat Iban dari seluruh Sarawak dapat memahami bahasa yang ditutukan antara satu sama lain walaupun dari tempat yang berbeza disebabkan tidak ada perbezaan yang ketara.ini yang menyebabkan keunikan pada masyarakat Iban. Contohnya Iban yang berasal daripada Sadong dapat memahami pertuturan Iban yang berasal Limbang walaupun terdapat perbezaan pada sebutan (dialek) dan juga sesetengah istilah tersebut berbeza. Ini sesuatu yang sangat berbeza jika dibandingkan dengan suku kaum Bidayauh Bau yang pertuturannya tidak sama dengan Bidayuh Serian dan juga Melanau Mukah tidak sama bahasa pertuturannya dengan Melanau Vaie Bintulu. Namun pada masa kini, kerja-kerja untuk mengumpulkan bahasa Iban daripada pelbagai bahagian di Sarawak giat dijalankan oleh Tun Jugah Foundation untuk mengangkat martabat bahasa Iban ini agar penyeragaman ini dapat dilakukan. Tambahan pula, subjek Bahasa Iban telah dimasukkan sebagai subjek elektif di sekolah-sekolah menengah di Sarawak di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia. Ini secara langsung memartabatkan bahasa Iban itu sendiri.
RUMUSAN
Masa telah berlalu, tahun bersilih ganti, zaman telah berubah dan dekad telah beralih namun perlulah dijelaskan bahawa janganlah tinggalan sejarah yang berharga masyarakat Iban ini terhapus dek perubahan zaman. Pada zaman kotemporari ini, ternyata amat sukar untuk melihat tinggalan sejarah masyarakat Iban terutamanya dari segi pengalaman budaya hidup yang tulen, sastera yang menjadi sebahagian daripada rempah kehidupan dan juga kebudayaan yang semakin terhakis kerana pertembungan dengan elemen luar yang menyerap masuk dalam sistem kehidupan masyarakat Iban. Rumah panjang pada zaman kini sudah berubah kerana ia bukanlah dihuni oleh kaum Iban yang betul-betul tulen dengan budaya hidup kaum Iban. tetapi ini bukanlah persoalan kepada satu topik yang lain iaitu keperluan dalam anjakan paradigma kaum Iban. Ya, kita memang perlu berubah mengikut peredaran zaman. Persoalannya di sini ialah jangan kerana terlalu leka dibuai masa sampai sejarah kita terperuk dalam sudut masa yang sering dilupakan.
Penulis secara peribadinya beranggapan bahawa masyarakat Iban begitu unik kerana jika dikaji secara mendalam daripada enam aspek ketamadunan, pembaca akhirnya dapat memahami sejarah masyarakat ini. Walaupun penulisan ini hanyalah sebagai satu kajian awal atau sekilas lalu, namun penulis percaya bahawa selepas ini beberapa kajian yang mendalam dapat dilakukan lantaran semangat inkuiri yang begitu tinggi di kalangan penyelidik. Permulaan sejarah masyarakat Iban bukanlah baru tetapi sudah wujud ratusan tahun yang lampau apabila penempatan lama masyarakat Iban telah terkesan di Kalimantan sebelum peristiwa migrasi berlaku ke bahagian Sarawak sekarang lebih kurang empat ratus tahun yang lampau. Pada masa kini, walaupun beberapa unsur luar yang datang dan bersebati dengan cara hidup masyarakat Iban, namun pengekalan tradisi ini sedaya upaya terus bertahan kerana kelenyapan identiti bangsa akan terkubur bersama dengan sejarah bangsa tersebut, sekian.
Tahniah jang, kerana sudi menulis berkenaan bangsa Iban. Perkara baik ini harus selalu dilakukan terutamanya di media seperti ini. Saya rasa kagum ketika membaca mengenai bansa Iban. Syabas dan teruskan usaha baik ini bagi mengangkat martabat bangsa Iban.
ReplyDeleteSatu artikel yang penuh dengan maklumat penting dan terperinci. Adakah ini merupakan kajian yang telah dibuat oleh anda sendiri? Mohon kongsi pdf format kajian ini sekiranya ada. Penting untuk kajian saya mengenai budaya masyarakat Iban. Terima kasih. Email: andreean5565@gmail.com
ReplyDeletePlease refer my thesis at university Malaysia Sabah sekolah sains sosial for year 2011
ReplyDeleteSaya pelajar Universiti Malaysia Sabah, Sekolah Psikologi dan Kerja Sosial. Kumpulan saya membuat kajian mengenai Teori Kedatangan Masyarakat Iban di Sarawak untuk Subjek TITAS kami. Diharap dapat berkongsi maklumat yang berkaitan. Jika terdapat sebarang maklumat yang ingin dikongsi bersama, sila Email kpd saya di flowreen@ymail.com. Terima Kasih
ReplyDeleteSatu blog yang menarik tapi agak kurng info yng mendalam.Contohnya tentang ketamadunan bangsa Iban.Kalau mengikut sains bangsa Iban adalah bangsa tertua di asia berdasarak deep skull gua niah sarawak yang berusia 40,000 tahun sebelum masihi dan terdapat peralatan batu,lukisan pakaian baju gagung iban serta keranda yang dibuat dari kayu menunjukka iban satu satunya bangsa di nusantara yang dulu sudah punya tamadun awal.Selain itu iban juga mempunyai tenunan pua kumbu iban antara tekstil tertua di dunia.Iban juga satu satunya kaum bumiputera dan satu satunya suku dayak yang mempunyai tulisan aksara sendiri yang disebut tulisan papan turai Iban yang berusia ribuan tahun.Untuk mengetahui fakta dan kajian yang mendalam boleh tengok paages facebook "Iban Disvovery' salah satu medium yang mengangkat sejarah dan adat iban.
ReplyDelete