Oleh; Nicholas J. Ugik (BA Soc. Sce. (History), UMS)
5.0 LATAR BELAKANG MALAYAN UNION
Menjelang Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, banyak
peristiwa penting dalam sejarah negara telah dicorakkan. Peristiwa-peristiwa
ini termasuklah Rancangan Penubuhan Malayan Union, Pembentukan Persekutuan
Tanah Melayu, perkembangan parti-parti politik, kebangkitan Parti Komunis
Malaya, Zaman Darurat, Pilihan Raya Umum, Rundingan Baling dan Rundingan
Kemerdekaan. Salah satu peristiwa penting dalam sejarah tanah air ialah sejarah
penubuhan Malayan Union. Penubuhan Malayan Union telah dirancang oleh oleh
penjajah British apabila kuasa barat ini kembali semula ke Tanah Melayu selepas
Jepun menyerah kalah. Selepas Perang Dunia Kedua berakhir, Pejabat Tanah
Jajahan di London telah melaksanakan rancangan untuk menggubal satu perlembagaan
baru bagi Tanah Melayu. Menerusi rancangan yang dikenali sebagai Malayan
Union, kerajaan British berhasrat untuk mengubah taraf Negeri-negeri Melayu
daripada negeri-negeri yang bernaung kepada jajahan british. Hal ini disebabkan
oleh masalah pentadbiran yang tidak selaras yang menyebabkan Tanah Melayu jatuh
ke tangan Jepun. Pada ketika itu, Tanah Melayu berada pada tiga bentuk
pentadbiran iaitu, Negeri-Negeri Selat, Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, dan
Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu. Berikutan daripada keadaan itu, satu
rancangan Kesatuan Tanah Melayu atau “Malayan Union” telah dirangka.
Tujuan
rancangan ini diwujudkan untuk membentuk satu sistem politik dan kerajaan yang
bercorak “kesatuan”. Tiga memorandum telah diterima di London ketika kerajaan
British merangka rancangan tersebut. Salah satu memorandum yang telah dihantar
ialah dari Persatuan British Malaya, dan satu lagi dihantar oleh Tan
Cheng Lock, iaitu iaitu seorang pemimpin Cina yang terkenal di Tanah Melayu.
Kedua-dua memorandum ini menyokong supaya semua Negeri Melayu disatukan dibawah
sebuah kesatuan dengan kuasa dan hak politik yang sama rata bagi semua
penduduknya. Manakala memorandum yang ketiga telah dikemukakan oleh sekumpulan
pelajar Melayu yang menuntut di United Kingdom. Tindakan pelajar ini adalah
ekoran daripada memorandum yang terdahulu. Tetapi memorandum yang ketiga
berbeza dengan yang terdahulu. Hal ini kerana dalam memorandum tersebut, mereka
menentang penubuhan Malayan Union. Sebaliknya, memorandum ini mencadangkan
supaya kedaulatan Raja-Raja Melayu diiktiraf dan hak kerakyatan mengikut
prinsip “jus soli” tidak diamalkan.
Golongan pelajar Melayu ini berasa bimbang jika Malayan Union ditubuhkan,
kedaulatan Raja-Raja Melayu, masa depan serta kepentingan politik orang Melayu
akan hilang sama sekali.
Sir Harold MacMichael, wakil kerajaan Great Britain untuk mendapatkan tandatangan Raja-Raja Melayu dalam gagasan Malayan Union |
5.1 Rancangan Penubuhan Malayan Union
Malayan Union merupakan satu percubaan Kerajaan British
untuk mengubah taraf Negeri-Negeri Melayu yang bernaung kepada sebuah tanah
jajahan British. Rancangan ini merupakan satu peristiwa yang amat penting dalam
sejarah Malaysia kerana ia menghidupkan dan menyemarakkan semangat nasionalisme
orang Melayu. Ia juga merupakan titik permulaan perpaduan Orang Melayu untuk
memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu. Perlembagaan Malaya Union yang digubal
oleh kerjaan British akan menukar Negeri-Negeri Melayu kepada sebuah tanah
jajahan British. Dengan pembentukan Malayan Union, maka kuasa dan kedaulatan
Raja-Raja akan terhapus. Hal ini jelas apabila Raja-Raja Melayu akan kehilangan
kuasa untuk memerintah kerana kuasa ini diambil alih oleh Kerajaan British.
Mengikut
Perlembagaan Malaya Union, semua Negeri Melayu termasuk Pulau Pinang, dan
Melaka, kecuali Singapura akan disatukan dalam pemerintahan pusat. Malayan
Union akan diperintah oleh seorang Gebenor British yang mempunyai kuasa
sepenuhnya, manakala Raja-Raja Melayu menjadi Raja Kehormat sahaja. Dalam
Perlembagaan Malayan Union ia cuba memberi hak kerakyatan kepada golongan bukan
menerusi kerakyatan dalam prinsip “jus soli”. Prinsip ini seperti;
jika seseorang lahir di Tanah Melayu selepas Malayan Union ditubuhkan maka
mereka berhak menerima kerakyatan. Akibatnya, cara ini akan membolehkan orang
bukan Melayu mendapat kerakyatan dengan mudah. Disamping itu, dalam rancangan
ini juga akan meletakkan seorang Pesuruhjaya Negeri di setiap negeri bagi
mentadbir negeri-negeri dalam Malayan Union.
Raja-Raja Melayu yang menandatangani pembentukan Malayan Union |
5.2 Tujuan British Berminat Menubuhkan Malayan Union
Apabila Jepun menyerah kalah dalam Perang Dunia Kedua pada
tahun 1945, British kembali semula ke Tanah Melayu. kejatuhan Tanah Melayu ke
tangan tentera Jepun telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada pentadbiran
British di Tanah Melayu. Oleh itu, British Military Administration (BMA) telah
mengambil alih untuk melaksanakan dasar-dasar pentadbiran yang mengikut
peraturan dan undang-undang. Rundingan ini telah dibuat oleh Pejabat Tanah
Jajahan dan Pejabat Perang di London untuk menubuhkan satu unit yang dinamakan
“The Malayan Planning Unit” (Unit Perancang Tanah Melayu). Selain itu,
ia juga dikenali sebagai “Reconstruction of Malaya”. Unit ini
telah diberi tanggungjawab untuk menyediakan laporan terperinci mengenai
pembentukan Malayan Union.
Rancangan
Malayan Union telah diisytiharkan pada Januari 1946. Ia merupakan satu bentuk
pemerintahan yang baru bagi Tanah Melayu. Tanggal 22 Februari 1946, rancangan
Malayan Union telah disiarkan dalam Warta Kerajaan. Rancangan ini dikenali
sebagai “Kertas Putih 6724”. Dalam kertas ini, kerajaan British telah
menyatakan tujuannya mengambil alih pemerintahan dan menubuhkan negara yang
bersatu. Namun dalam rancangan tersebut, Singapura tidak termasuk dalam
Malayan Union, tetapi kekal sebagi tanah jajahan Beritish yang
berasingan. Dengan itu, kerajaan British telah merancang pembentukan Malayan
Union berdasarkan kepada beberapa faktor. Antara faktor tersebut ialah seperti
satu langkah persediaan bagi Tanah Melayu untuk mencapai taraf pemerintahan
sendiri, mewujudkan satu dasar ketenteraan yang lebih mudah dipertahankan, dan
disebabkan oleh sikap kecewa dan tidak yakin orang Melayu terhadap kegagalan
British mempertahankan Tanah Melayu dari jatuh ke tangan Tentera Jepun.
Selain itu,
pembentukan Malayan Union juga merupakan satu langkah ke arah penyatuan politik
bagi mewujudkan kesedaran kebangsaan dan semangat cintakan tanah air di
kalangan penduduk Tanah Melayu. Di samping itu, ia juga merupakan satu matlamat
Kerajaan British untuk mengintegrasikan masyarakat Cina dan India ke dalam
sebuah masyarakat majmuk Tanah Melayu. Hal ini kerana, di bawah
pemerintahan dan pentadbiran British, masyarakat Cina dan India masih
menunjukkan sikap taat setia dan cintakan negara asal mereka. Bagi menghapuskan
sikap ini, kerajaan British telah menawarkan satu peraturan yang longgar bagi
mendapatkan hak kerakyatan kepada dua golongan kaum ini. Bagi British kedua-dua
imigran ini dikekalkan untuk memajukan ekonomi di Tanah Melayu. Selain daripada
faktor-faktor tersebut, pembentukan Malayan Union membolehkan pihak British
melaksanakan satu dasar ketenteraan yang mudah diselenggarakan. Satu pasukan
tentera kebangsaan Tanah Melayu akan ditubuhkan memandangkan askar Tanah Melayu
mempunyai anggota-anggota yang cekap dan berani ketika perang menentang
Jepun. Dengan dasar penubuhan pasukan tentera ini, maka British tidak perlu
meminta bantuan pertahanan dari negara-negara lain. Secara tidak langsung
perlaksanaan dasar ketenteraan ini merupakan satu helah pihak British untuk
“membalas dendam” terhadap sikap Orang Melayu yang menyokong Jepun ketika
menduduki Tanah Melayu.
Faktor lain
yang menyokong ke arah pembentukan Malayan Union ialah rancangan ini akan
melicinkan lagi sistem pentadbiran dan pemerintahan British di Tanah Melayu.
Penyeragaman tiga unit pentadbiran iaitu, Negeri-Negeri Selat, Negeri-Negeri Melayu
Bersekutu, dan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu ke dalam Malayan Union
dapat menjimatkan perbelanjaan pentadbiran dan seterusnya merangsang
perkembangan ekonomi Tanah Melayu. Hal ini kerana, Tanah Melayu merupakan
pengeluar terbesar dunia bagi bijih timah dan getah. Oleh itu, pihak British
ingin mengekalkan kepentingan ekonomi British di samping menggalakkan
pelabur-pelabur asing ke Tanah Melayu. Pada keseluruhannya, objektif yang
terkandung dalam Perlembangaan Malayan Union ialah menyatukan semua Negeri-Negeri
Melayu di bawah satu pemerintahan Gabenor British. Gabenor akan dibantu oleh
Majlis Mesyuarat Kerja dan Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan. Manakala,
Singapura tidak termasuk dalam Malayan Union, tetapi Singapura menjadi tanah
jajahan mahkota (Crown Colony) British dan ditadbir oleh Gabenor
British. Selain itu, kedaulatan raja-raja Melayu dimansuhkan. Raja-Raja
Melayu menjadi Raja Kehormat dan hanya berkuasa ke atas hal-ehwal agama Islam
dan adat istiadat Melayu. Dalam hak kerakyatan juga, ia adalah sama bagi semua
penduduk Tanah Melayu tanpa mengira bangsa dan keturunan. Kerajaan British akan
mengamalkan prinsip “jus soli” dalam pemberian hak kewarganegaraan.
Mengikut prinsip ini, penduduk yang berumur 18 tahun ke atas dan telah
bermastautin di Tanah Melayu dan Singapura selama 10 hingga 15 tahun
sebelum 15 Febuari 1942 akan diberi hak kerakyatan. Ternyata perlaksanaan
prinsip ini akan menghapuskan kedudukan orang Melayu sebagai kaum majoriti
Tanah Melayu.
5.3 Penentangan Orang Melayu Terhadap Malayan Union
Rancangan pembentukan Malayan Union mendapat bantahan dan
tentangan hebat daripada orang Melayu. Apakah faktor-faktor yang menyebabkan
Orang Melayu tidak menyokong penubuhan Malayan Union? Tentangan yang hebat
telah dilakukan oleh masyarakat Melayu. Tentangan-tentang tersebut telah
disalurkan dalam pelbagai bentuk, sama ada melalui demontrasi, menulis surat
bantahan, membuat memorandum, dan sebagainya. Terdapat beberapa faktor
yang menyebabkan penentangan ini belaku. Hal ini ekoran rasa tidak puas hati
terhadap Malayan Union yang sudah pasti akan menggugat hak dan maruah bangsa
Melayu sendiri. Terdapat beberapa sebab orang Melayu bangkit menentang
Malayan Union.
Perarakan aman orang Melayu dalam membantah gagasan Malayan Union |
5.3.1 Kedaulatan Kuasa Sultan Terancam
Orang Melayu bangkit menentang Malayan Union kerana kedaulatan dan kuasa mutlak Raja-Raja Melayu terancam. Dalam kerajaan Malayan Union, kedudukan sultan dikekalkan tetapi kuasa mereka dikurangkan. Raja hanya menjadi ketua agama dan adal istiadat Melayu sahaja. Semua kuasa pentadbiran terletak ditangan gabenor yang mempunyai kuasa pembatal atau kausa veto. Di samping itu, perubahan status sosial raja-raja Melayu telah membangkitkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat Melayu. Gambaran ini terpancar dalam pemikiran masyarakat Melayu kerana mereka melihat sendiri akan peralihan status kuasa sultan. Kebimbangan ini memungkinkan mereka akan terus menghadapi persaingan yang tinggi dengan kaum yang bukan Melayu dalam menguasai ekonomi. Penghapusan kedaulatan raja-raja Melayu ini akan menyebabkan orang-orang Melayu kehilangan kepimpinan tradisional mereka. Keadaan ini diburukan lagi apabila Gabenor Malayan Union akan menjadi Pengerusi Majlis Islam. Ini akan menjatuhkan maruah dan kesucian agama Islam kerana orang yang bukan Islam yang menjadi Pengerusi Majlis Agama Islam. Akibatnya sultan akan kehilangan kuasa politik dan hak keistimewaannya. Kebudayaan dan tradisi Melayu akan beransur-ansur lenyap sekiranya tampuk pemerintahan mereka dilenyapkan kuasa dan pengaruhnya. Akhirnya suatu hari nanti seluruh Tanah Melayu akan dikuasai oleh orang bukan Melayu. Keadaan ini jelas apabila kehilangan kuasa Sultan akan menyebabkan status Tanah Melayu bertukar menjadi tanah jajahan British. Ini telah menimbulkan semangat kebangsaan dalam kalangan Orang Melayu dan menyebabkan mereka mengatur penentangan terhadap Malayan Union.
Orang Melayu bangkit menentang Malayan Union kerana kedaulatan dan kuasa mutlak Raja-Raja Melayu terancam. Dalam kerajaan Malayan Union, kedudukan sultan dikekalkan tetapi kuasa mereka dikurangkan. Raja hanya menjadi ketua agama dan adal istiadat Melayu sahaja. Semua kuasa pentadbiran terletak ditangan gabenor yang mempunyai kuasa pembatal atau kausa veto. Di samping itu, perubahan status sosial raja-raja Melayu telah membangkitkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat Melayu. Gambaran ini terpancar dalam pemikiran masyarakat Melayu kerana mereka melihat sendiri akan peralihan status kuasa sultan. Kebimbangan ini memungkinkan mereka akan terus menghadapi persaingan yang tinggi dengan kaum yang bukan Melayu dalam menguasai ekonomi. Penghapusan kedaulatan raja-raja Melayu ini akan menyebabkan orang-orang Melayu kehilangan kepimpinan tradisional mereka. Keadaan ini diburukan lagi apabila Gabenor Malayan Union akan menjadi Pengerusi Majlis Islam. Ini akan menjatuhkan maruah dan kesucian agama Islam kerana orang yang bukan Islam yang menjadi Pengerusi Majlis Agama Islam. Akibatnya sultan akan kehilangan kuasa politik dan hak keistimewaannya. Kebudayaan dan tradisi Melayu akan beransur-ansur lenyap sekiranya tampuk pemerintahan mereka dilenyapkan kuasa dan pengaruhnya. Akhirnya suatu hari nanti seluruh Tanah Melayu akan dikuasai oleh orang bukan Melayu. Keadaan ini jelas apabila kehilangan kuasa Sultan akan menyebabkan status Tanah Melayu bertukar menjadi tanah jajahan British. Ini telah menimbulkan semangat kebangsaan dalam kalangan Orang Melayu dan menyebabkan mereka mengatur penentangan terhadap Malayan Union.
5.3.2 Pemberian Taraf Kerakyatan
Prinsip kerakyatan berdasarkan jus soli yang
terlalu liberal telah menimbulkan dan menambahkan sentimen perkauman. Syarat
kerakyatan yang terlalu longgar membolehkan orang bukan Melayu mendapat hak
yang sama rata seperti orang Melayu. Keadaan ini menyebabkan wujudnya tekanan
dan akan menenggelamkan hak istimewa orang Melayu sebagai peribumi asal di
Tanah Melayu. Selain itu, keadaan politik orang Melayu juga turut tergugat. Hal
ini didorong oleh soal taat setia kaum Cina dan India yang masih diragui oleh
orang Melayu. Ini kerana sebelum Perang Dunia Kedua, kedua-dua kaum ini telah
menunjukkan semangat nasionalisme kepada negara asal masing-masing dan bukannya
kepada Tanah Melayu. Sekiranya Malayan Union dilaksanakan, dianggarkan
kira-kira 85 peratus orang Cina dan 75 peratus orang India akan mendapat taraf
kewarganegaraan Tanah Melayu. Berdasarkan keadaan tersebut, sudah pasti akan
menggugat masa depan orang Melayu.
5.3.3 Cara Mac Micheal Mendapatkan Tandatangan Sultan
Tanggal 12 Oktober 1945, Sir Harold Mac Micheal dihantar ke
Tanah Melayu untuk mendapatkan tandatangan sultan-sultan. Beliau telah
mendapatkan persetujuan sultan-sultan dengan cara paksaan, iaitu mengugut akan
melucutkan jawatan mereka dengan alasan sultan-sultan bekerjasama dengan Jepun
menentang British semasa Perang Dunia Kedua. Hal ini juga ditambah lagi apabila
Mac Micheal tidak memberi masa dan peluang kepada sultan-sultan untuk berunding
dengan Majlis Mesyuarat Negeri (MMN) dan pembesar masing-masing. Ini melanggar
perlembagaan negeri yang menyatakan dengan jelas bahawa sebelum baginda memberi
perkenaan sesuatu perkara yang berkaitan dengan hal ehwal negeri maka baginda
sultan perlu berunding dengan MMN dan pembesar-pembesarnya. Akibatnya
orang Melayu marah kerana Mac Micheal tidak menerangkan secara terperinci dan
mendapat pandangan raja-raja Melayu terlebih dahulu sebelum menandatangani
perjanjian tersebut. Contoh paksaan dan putar belit yang digunakan oleh Mac
Micheal dapat dilihat dalam surat Sultan Kedah yang menyatakan:
“Saya telah diberi kata dua dengan mulut dengan masa yang
dihadkan dan jikalau saya menolak daripada menurunkan tandatangan ke atas apa
yang saya katakan alat menyerah diri pengganti saya akan menurunkan
tandatangannya, akan dilantik. Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negeri telah dipaksa
menurunkan tandatangan dan mengaku mereka akan menasihatkan saya supaya
menurunkan tandatangan. Saya telah diberitahu iaitu perkara itu adalah perkara
sahsiah dan sulit dan saya tidak pula dibenarkan menceritakan apa yang berlaku
itu.”
5.3.4 Hak Istimewa Orang Melayu Terhapus
Orang Melayu percaya mereka akan kehilangan kedudukan
sebagai peribumi Tanah Melayu akibat daripada kerakyatan Malayan Union yang
longgar. Mereka bimbang akan menjadi satu masyarakat kecil di Tanah Melayu.
Mereka juga melihatnya sebagai satu penjajahan ke atas tanah Melayu. Hak
istimewa orang Melayu sebagai penduduk asal akan terhapus. Mereka percaya suatu
hari nanti mereka akan mengemis di bumi sendiri sekiranya Malayan Union ini
dilaksanakan. Ini kerana orang Melayu melihat bahawa Malayan Union ini akan
membawa kesan yang amat buruk kepada masyarakat Melayu. Malayan Union akan
melemahkan bangsa Melayu, negeri Melayu, dan kebudayaan Melayu pada masa
hadapan. Orang Melayu akan kehilangan asal usulnya.
6.0 BRITISH MENGATASI PENENTANGAN ORANG MELAYU TERHADAP MALAYAN
UNION
Setelah penentangan yang dilakukan
oleh orang Melayu terhadap Malayan Union begitu hebat, maka British terpaksa
akur dan keadaan tersebut telah membawa kepada dasar British yang mahu
berbaik-baik dengan orang Melayu. Ini ditambah lagi pengaruh Parti Komunis
Malaya yang mahu mentadbir Tanah Melayu. Kerisauan British tentang pengaruh
Komunis ini telah membuka ruang kepada orang Melayu untuk berpolitik atas
kesedaran nasionalisme setelah pendudukan Jepun. Perlaksanaan Malayan Union
pada April 1946 di Tanah Melayu menyemarakkan semangan nasionalisme penduduk
tempatan khususnya orang-orang Melayu. Mereka merasakan adat dan tradisi Orang
Melayu itu tercabar. Ini memandangkan Malayan Union secara drastik
menukarkan taraf negeri-negeri Melayu daripada naungan British kepada jajahan
British secara langsung dan di bawah satu Pentadbiran.
Penentangan
ini telah membawa beberapa siri perundingan seperti Mei 1946 di mana
Raja-raja Melayu berunding dengan pihak British di Kuala Kangsar bagi menolak
Malayan Union. Selepas itu, pada Jun 1946 UMNO mengadakan rundingan di Pulau
Pinang dengan pihak British juga bagi menolak Malayan Union. Oleh yang demikian
British bersetuju menubuhkan Persekutuan Tanah Melayu kerana tidak mahu orang
Melayu menentang British secara kekerasan disebabkan mereka bimbang Parti
Komunis Malaya mempengaruhi cara orang Melayu (rundingan dan sederhana) serta
seruan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar penjajah
melaksanakan dasar “dekolonialisasi”. Akhirnya pada 21 Januari 1948
Perjanjian Penubuhan Persekutuan Tanah Melayu ditandatangani antara Raja-raja
Melayu, wakil UMNO dan pihak British.
Hasil
daripada perundingan jawatankuasa kerja yang mengandungi wakil-wakil kerajaan,
Sultan-Sultan dan UMNO telah berjaya membentuk perlembagaan baru iaitu
Persekutuan Tanah Melayu 1948. Antara ciri-cirinya ialah pemerintahan
Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu dan
Negeri-negeri Selat diletakkan di bawah satu pemerintahan manakala Singapura
menjadi tanah jajahan British; kerajaan persekutuan ditadbir oleh Pesuruhjaya
British, Majlis Mesyuarat Kerajaan Persekutuaan dan Majlis Perundangan
Persekutuan membantu pentadbiran, Majlis Raja-Raja Melayu menasihati
Pesuruhjaya Tinggi berkenaan hak-hak istimewa orang Melayu dan agama Islam,
syarat-syarat kewarganegaraaan diperketatkan daan hak-hak istemewa orang-orang
Melayu sebagai kaum bumiputera diperakui.
Secara
lahirlah persekutuan ini memberi peluang kepada anak-anak tempatan mentadbir
negara melalui peluang memegang jawatan penting seperti Menteri Besar,
Setiausaha Kerajaan Negeri dan lain-lain jawatan bagi memastikan mereka dapat
memimpin negara merdeka. Dari aspek geopolitik pula buat pertama kali semua
negeri Tanah Melayu diletakkan dalam satu pentadbiran. Namun secara halusnya
pula British telah berjaya membuka kerakyatan pada kaum-kaum lain. Ini dapat
dilihat melalui petikan.
"Melalui penubuhan Persekutuan Tanah Melayu, dalam
tahun 1948 British telah memujuk kaum Melayu supaya menerima bukan Melayu
sebagai warganegara dengan syarat-syarat yang lebih ketat...."( Utusan Melayu, 1948)
Walaupun British memberi usul yang sedemikian rupa namun
keadaan ini tidak dapat mengatasi penentangan yang berterusan terhadap Malayan
Union. Sekali gus titik tolak kepada dasar British yang mahu berbaik-baik
dengan orang Melayu.
Selain itu,
cara British mengatasi masalah tersebut adalah membenarkan orang Melayu
menubuhkan parti-parti politik ke arah berkerajaan sendiri. Jelas di sini UMNO
yang sanggup mengikut telunjuk British terus kekal berbanding pertubuhan atau
parti yang radikal. Penubuhan UMNO, PKMM, API dan sebagainya menunjukkan wujud
politik perkauman yang mementingkan orang Melayu. Manakala kaum Cina dan India
sebelumnya mementingkan perjuangan berkiblatkan negara asal masing-masing. Penentangan
orang Melayu ini telah memberikan kesedaran kepada kedua-dua kaum ini untuk
menubuhkan parti politik bagi menjaga kepentingan kaum mereka di Tanah Melayu.
Wujud juga parti yang bersifat ideologi seperti Parti Islam Setanah Melayu
(PAS). Parti ini berlandaskan kepada ideologi agama Islam. Matlamatnya pula
ialah penubuhan sebuah negara yang berlandaskan ajaran agama Islam. Parti ini
kebanyakannya dianggotai oleh pemimpin agama di kampung-kampung dan guru-guru
agama. Para pemimpin parti ini telah menuduh UMNO sebagai bersifat Malaya dan
bukan bersifat Melayu. Namun parti ini pada keseluruhannya tidak mendapat
sokongan yang menyeluruh daripada penduduk kerana ia terbatas kepada orang
Islam sahaja. Walaupun usaha Dato Onn untuk menyatukan kaum menemui kegagalan
tetapi sebenarnya melahirkan bibit-bibit perpaduan, ini terbukti apabila Tunku
Abdul Rahman selepas Dato Onn menubuhkan Parti Perikatan melalui kerjasama umum
antara UMNO dan MCA untuk mencapai kemerdekaan.
Selepas pilihanraya Majlis Perbandaran Kuala Lumpur
memperlihatkan kemenangan kepada parti ini di mana memperolehi sembilan kerusi
dari 12 kerusi yang dipertandingkan. Bakinya dua kepada Independence Malaya
party (IMP) dan satu kepada calon bebas. Malah parti ini juga mencapai kejayaan
yang cemerlang di Melaka, Johor Bahru, Batu pahat dan Muar. Perkembangan ini
telah menggalakkan Malayan Indian Congress (MIC) menyertai Perikatan pada
Oktober 1954. Sekaligus menjadikan parti ini sebuah parti politik yang terbesar
di Tanah Melayu ketika itu. Atas desakan tegas UMNO untuk mengadakan
pilihanraya Majlis Mesyuarat Persekutuan di mana majlis ini mempunyai 52
anggota yang memberi kuasa kepada parti yang menang memilih lima daripada tujuh
anggota yang akan dilantik oleh pemerintah British.
Kabinet pertama Persekutuan Tanah Melayu 1955. Tunku Abdul Rahman menjadi Ketua Menteri |
Akhirnya pada 27 Julai 1955, pilihanraya Kebangsaaan
Persekutuan Tanah Melayu diadakan pertama kalinya. Ketiga-tiga parti tersebut
telah keluar bertanding. Antara saingannya ialah Parti Negara, Parti Islam
Semalaya, Parti Progresif Rakyat, Parti Buruh Semalaya, Ikatan Melayu Perak dan
lain-lain lagi. Keputuasan pilihan raya itu telah memberi kemenangan besar
kepada Perikatan di mana telah memenangi 51 kerusi daripada 52 yang
dipertandingkan. Era ini menunjukkan bahawa kemajuan ke arah kemerdekaan
hanya boleh dicapai dengan kerjasama dari ketiga-tiga kaum terbesar di Tanah
Melayu. Selanjutnya parti ini telah membentuk sebuah kabinet dengan diketuai
oleh Tunku Abdul Rahman sebagai Ketua Menteri. Kabinet terdiri daripada 10
menteri, 6 dari UMNO, 3 dari MCA dan seorang dari MIC. Kemerdekaan yang dicapai
pada 31 Ogos 1957 sebenarnya belum bebas dalam rangka yang sebenarnya, di mana
pegawai British masih memainkan peranan mereka dalam soal pemerintahan
kementerian penting seperti Kementerian Pertanian dan Kementerian Perkhidmatan
Awam masih dikuasai oleh pegawai-pegawai British.
Suasana Pilihanraya Persekutuan Tanah Melayu tahun 1955. |
7.0 PENILAIAN
Jika dilihat secara keseluruhan pengambilan semula Sarawak
dan Tanah Melayu adalah untuk Kepentingan Ekonomi British. Ini adalah ekoran
kesan daripada Perang Dunia Ke-2 yang menyebabkan British menggunakan banyak
wang. Sememangnya tidak dinafikan British malu kerana kalah dengan Jepun yang
dianggap sebagai negara kecil dan tidak mampu menentang mereka, namun perkara
sebaliknya berlaku. Selain itu, kerugian yang dialami oleh British semasa
perang telah menyebabkan masalah kewangan berlaku dalam pentadbiran British.
Bagi mengukuhkan kembali ekonominya, Tanah Melayu dan Sarawak sememangnya
sesuai kerana mempunyai kepentingan ekonomi yang Kaya dengan sumber bahan
mentah yang banyak.
Gerakan nasionalisme Tanah Melayu dan Sarawak dipengaruhi
oleh Perkembangan pendidikan. Golongan intelektual dilihat memainkan peranan
penting dalam menyebarkan dan menyedarkan masyarakat Melayu tentang hak mereka.
Kesedaran politik, ekonomi dan sosial masyarakat tempatan bahawa mereka telah
dipergunakan oleh penjajah menyebabkan golongan-golongan bijak pandai bangkit
untuk menyuarakan pendapat melalui tulisan-tulisan majalah, surat khabar,
risalah dan ceramah telah memyebabkan masyarakat sedar dan tahu betapa
tingginya nilai politik dan ekonomi yang mereka harus tuntut.
Proses penentangan yang dilakukan oleh masyarakat Tanah
Melayu dan juga Sarawak telah menyebabkan titik tolak berakhirnya imperialisme
barat di seluruh Dunia. Ini selaras dengan piagam atlantik yang mana mahu semua
penjajah memberi kemerdekaan kepada tanah jajahan di Asia Tenggara dan juga
proses kepada bentuk berkerajaan sendiri. Walaupun ini jelas berlaku di Asia
Tenggara ini tidak berlaku di Sabah dan Sarawak. Walaupun ia berlaku tetapi ia
agak lewat berbanding dengan Tanah Melayu, sehinggalah Sabah dan Sarawak
merdeka melalui satu pembentukan yang digelar Pembentukan Malaysia. Tapi
natijahnya, titik-tolak daripada penentangan Malayan Union dan juga anti
penyerahan Sarawak telah menyebabkan berakhirnya penjajahan di Tanah Melayu.
Sehubungan dengan itu, kejayaan mendapatkan kemerdekaan dari
belenggu penjajahan British telah menyebabkan lahirnya masyarakat majmuk tidak
kira di Tanah Melayu juga di Sarawak. Ini di antara syarat yang dikemukakan
oleh British sebelum meninggalkan Tanah Melayu. British mahu hubungan antara
kaum yang terbesar iaitu Melayu, Cina dan segelintir India dalam keadaan baik.
Sekiranya hubungan antara kaum tidak dapat dicapai maka British enggan untuk
memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu dan begitu juga negara Sarawak. Oleh
yang demikian pendekatan yang dibuat oleh ketiga-tiga kaum ini adalah konsep ‘Bersetuju
tetapi tidak bersetuju’ apabila perlembagaan dirangka pada tahun 1957.
RUJUKAN
Abdul Rahman Haji Ismail. 2007. Malaysia: Sejarah
Kenegaraan dan Politik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Andaya, Barbara Watson & Leonard Y. 1983. Sejarah
Malaysia. (ter). Petaling Jaya: Macmillan Publisher.
Chai Cun Dui. 1994. Sejarah Sibu dalam Seratus Tahun.
Sibu: Syarikar Percetakan Borneo.
Chang Pat Foh. 1999. Legends & History of
Sarawak, Kuching: Lee Ming Press Co.
Fadilah bt Zaini & Kassim b Thukiman. 2008. Hubungan
Etnik Di Malaysia, Johor Bharu: Universiti Teknologi Malaysia.
Irwin Graham, (terjemahan) Mohd. Nor Ghani dan Noraini
Ismail. 1986. Borneo Abad Kesembilan Belas. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Joginder Singh Jessy. 1978. Sejarah
Tanah Melayu: 1400 Hingga 1959. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
J Jayum Jawan. Iban Politics and Economic Development.
Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia. 1994.
Kasim Thukiman . 2002. Malaysia:Perspektif Sejarah
dan Politik. Johor: Universiti Teknologi Malaysia.
Mohd. Isa Othman. 2002. Sejarah Malaysia: 1800
Hingga 1963. Utusan Publication dan Distributors Sdn. Bhd.
Pollard Elizabeth. 1997. Kuching: 1839-1970.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Reece R.H.W. 1982. The Name of Brooke: The End of White
Rajah Rule in Sarawak. Kuala Lumpur: Oxford University Press.
Ramlah Adam. 1993. Dato’ Onn Ja’afar: Pengasas
Kemerdekaan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ramlah Adam. 1998. Kemelut Politik Semenanjung Tanah
Melayu. Kuala Lumpur: Universiti
Malaya
Ramlah Adam. 2000. Dr Burhanuddin Al-Helmy: Suatu
Kemelut Politik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kementerian
Pendidikan Malaysia.
Rawlins Joan. 1965. Sarawak 1839-1968. London:
Macmillan & Company Ltd.
Ruslan Zainudin. 2003. Kursus Komprehensif Fajar
Bakti : Sejarah Malaysia Edisi Kedua. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti.
Ruslan Zainuddin. 2005. Sejarah Malaysia.
Selangor: Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Zainal Abidin Abdul Wahid, et al. 1996. Malaysia:
Warisan dan Perkembangan. Edisi Kedua. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.