About Panggaudayak:
An idea from Nicholas J. Ugik launched on late year 2011. Ugik hold a Bachelor Degree of Social Sciences (History Studies) has deep passion about Iban History and it's culture. His hot debut on thesis writing about Development of Iban Culture and Literature (1980-2000) as a break point for himself in Iban studies. Futhermore, he put his lifework on Panggaudayak as a legacy to the future.

"Make history be a path to future"

N.J. Ugik


Tuesday 19 August 2014

Kepercayaan Masyarakat Iban tentang Alam Kematian: Penceritaan Sejarah Lisan Masyarakat Iban Saribas

Kepercayaan Masyarakat Iban tentang Alam Kematian: Penceritaan Sejarah Lisan Masyarakat Iban Saribas.
Oleh: Nicholas J. Ugik (BA Soc. Sci., UMS)

Prakata
Masa berlalu terlampau pantas dan kadang-kadang kita terlupa bahawa kita telah tertinggal banyak perkara dan benda yang cukup bernilai di masa lalu. Jika kita sorot kembali, sesungguhnya perkara dan benda yang tertinggal itu harus digali semula agar ia tidak lenyap ditelan masa bersama-sama dengan generasi terdahulu yang telah melangkah pergi meninggalkan dunia persinggahan ini. Penulis (saya) banyak mengimbas masa lalu untuk mencari adakah saya telah tertinggal banyak kenangan yang berharga. Maka dengan itu, maka saya terpanggil untuk menghasilkan tulisan ini yang merupakan data sumber primer yang saya hasilkan menjadi data sekunder. Seandainya pengalaman pelaku iaitu generasi terdahulu gagal untuk didokumentasikan maka pengalaman itu akan hilang sebegitu sahaja. Pengalaman empirikal yang menjadikan penulis secara tidak langsung telah mengumpul data-data yang berharga untuk dicurahkan menjadi tulisan ini. Dalam pada itu juga, penulis juga mengajak pengkaji dan pejuang budaya asal usul kaum Iban untuk bersama-sama berdebat bagi membaiki kecacatan serta kecurangan fakta yang mungkin secara tidak sengaja hadir dalam tulisan ini. Jika kita telah melalui banyak perdebatan dan pertukaran idea, tidak mustahil menghasilkan dapatan kajian baru yang lebih tepat dan pengurangan unsur babad menjadi wadah rujukan kepada pembaca dan pengkaji yang terkemudian.
Ini ialah sumber daripada penceritaan lisan masyarakat Iban di bahagian Saribas tentang sesuatu yang ghaib dan mitos yang tidak dapat dirungkai oleh kaedah empirikal sains sosial sehinggalah ke hari ini. Bukan itu masalahnya, objektif penulis ingin memelihara budaya dan cerita lisan yang telah diwariskan secara turun temurun agar semua cerita ini tidak lenyap begitu sahaja. Penulis dalam beberapa tahun yang lepas cuba menyelami cerita lisan tentang dunia selepas mati ini daripada beberapa orang generasi emas yang mahir dalam perkara ini. Jika tidak diterjemahkan dalam bentuk tulisan seperti ini, maka warisan ini akan hilang bersama-sama dengan generasi emas yang arif tentangnya. Penulis tidak menganggap kajian ini sempurna tetapi sebagai wadah untuk memulakan satu dimensi baru dalam kajian. Penulis sekali lagi menyeru agar perdebatan untuk perkara ini dilakukan untuk penambahbaikan kajian dan fakta.

Adat dan Ritual Kematian Masyarakat Iban Saribas
Setiap kumpulan masyarakat di dunia ini mempunyai satu amalan tradisi yang melambangkan identiti masyarakat tersebut. Baik di mana latar tempat, bangsa dan benua sekalipun pastinya ada adat tradisi yang tersendiri. Dalam kajian yang menggarap sejarah lisan ini, sukanya penulis membawa para pembaca untuk mengetahui dengan serba sedikit tentang kepercayaan tradisi masyarakat Iban tentang kehidupan selepas mati. Mungkin ada wujudnya perbezaan kepercayaan masyarakat Iban dengan kumpulan etnik yang lain tetapi penulis melihat memang ada persamaan biarpun hanya sedikit. Anggapan masyarakat Iban terhadap dunia selepas mati turut mempengaruhi nilai kepercayaan animisme mereka yang menjadi pegangan hidup masyarakat Iban tradisional. Menurut pensejarahan lisan masyarakat Iban, zaman petempatan awal masyarakat Iban untuk memulakan ketamadunan bermula dengan hikayat Bejie Nangga Hari (mendaki langit). Bejie dan adiknya Bada mendapat utusan daripada Dewa Raja Semarugah untuk mendirikan satu petempatan iaitu sebuah rumah panjang bagi menghimpunkan sekalian pengikutnya. Puntang Raga (pengikut dewa) telah diutus oleh dewa untuk memberikan panduan kepada orang Iban memulakan sebuah petempatan rumah panjang. Dengan ini, bermulalah masyarakat dan petempatan dalam sejarah lisan kaum Iban.
Setelah sekian lama berumah panjang, ada seorang ketua masyarakat Iban bernama Serapuh yang memimpin anak buahnya dalam satu komuniti rumah panjang masih tidak tahu dalam menguruskan manusia yang telah meninggal. Pada masa itu, mayat tidak melalui upacara kematian dan pengkebumian tetapi hanya dibuang dan diletakkan di celah-celah banir kayu yang besar di dalam hutan. Sehinggalah pada satu hari, ketika penghuni rumah panjang Serapuh hendak membuang mayat ke dalam hutan, seorang lelaki menyapa mereka dari seberang sungai tepian mandi bertanyakan apa yang mereka sedang buat. Lelaki tersebut nampak hairan melihat kelakuan yang tidak ada adat dalam pengurusan mayat. Sejak daripada hari itu, penghuni rumah panjang Serapuh meninggal seorang demi seorang setiap hari sehinggalah perkara ini telah merunsingkan Serapuh melihat penghuni rumah panjangnya ramai yang telah meninggal. Menurut penceritaan lisan, pada suatu malam ketika penghuni rumah panjang masih berjaga disebabkan ada kematian dan mayat belum dibuang kerana menunggu keesokkan paginya dan dibiarkan terbaring di tengah-tengah anjung rumah panjang. Setelah malam semakin larut, tiba-tiba datang seorang lelaki yang tidak dikenali terus meratapi jenazah tersebut serta menutup mulut dan mata si mati yang masih terbuka. Serapuh dalam keadaan yang kehairanan terus bertanya siapa lelaki misteri tersebut. Lelaki tersebut memperkenalkan dirinya sebagai Puntang Raga iaitu seorang utusan Dewa Raja Semarugah. Puntang Raga terus mengajar Serapuh tentang cara-cara menguruskan upacara kematian dan juga tentang beberapa pantang larangnya. Peristiwa ini dinamakan Pesan Puntang Raga terus menjadi teladan dan panduan dalam budaya hidup masyarakat Iban tradisional dalam upacara kematian.
Dalam upacara dan adat kematian kaum Iban di bahagian Saribas, jika ada orang meninggal seorang penghuni rumah panjang akan bergegas ke kawasan bukit di rumah panjang tersebut untuk memukul beberapa dentuman gong sebagai isyarat adanya kematian kepada rumah panjang-rumah panjang yang berdekatan. Sementara itu, jenazah dimandikan serta alu (penumbuk kayu) dan lesung ditempatkan melintang pada kedua-dua pintu masuk utama rumah panjang untuk mengelakkan roh kematian (bala sebayan) datang ke rumah menganggu roh si mati dan yang masih hidup. Penumbuk kayu tersebut digambarkan sebagai ular tedung dan lesung ialah bukit untuk menyekat roh kematian daripada naik ke rumah panjang. Dengan ini, roh kematian sekadar berlegar-legar di bawah rumah panjang. Setelah si mati dimandikan, terus dipakaikan dengan pakaian yang terbaik (ngepan), sementara kaki yang telah dirapatkan diikat dengan benang merah dan diletakkan bulu landak. Mata dan mulutnya dirapatkan supaya tidak dapat melihat dan memanggil roh orang yang masih hidup. Secara ritualnya, sekeping pinggan akan digerakkan beberapa kali dari posisi atas ke bawah jenazah bagi mengelakkan jenazah tersebut cepat rosak. Kemudian ahli keluarganya membekalkan barang keperluan (baya) untuk digunakan di alam kematian.
Si mati kemudian akan ditempatkan dalam satu kawasan yang bertirai dengan kain tenunan pua kumbu (sapat) di anjung rumah panjang. Sapat dinaikkan sebagai tanda pemisah dunia kematian dengan dunia nyata. Barang keperluan yang dibawa bersama si mati diletakkan di anjung warisnya di satu kawasan yang dipanggil tempuan iaitu satu laluan kecil di antara anjung tengah dengan bilik. Sebiji tembikar (tajau) dibawa bersama sebagai batu nisan si mati di perkuburan kelak. Unggun api dinyalakan di dapur kecil yang dibuat khas di tempuan untuk tujuan menerangi roh si mati dalam perjalanannya ke alam kematian. Dalam pada itu, tukang kayu dan beberapa sahabat handai akan segera membuat sebuah keranda yang digunakan oleh si mati. Dalam masyarakat tradisional Iban Saribas, bentuk estitika pada keranda diukir mengikut darjat si mati tersebut. Jika seorang pahlawan, ketua masyarakat atau seseorang yang berkemahiran maka nilai estitika itu akan menjadi lebih indah jika dibandingkan dengan orang biasa. Biasanya pada hari kedua jenazah akan terus disimpan dalam keranda kerana ada kemungkinan jenazah sudah mula mereput. Setelah si mati dibaringkan dalam sapat, posisi kepalanya mengarah ke arah beranda terbuka (tanju) dan kakinya ke arah bilik di rumah panjang tersebut. Hal ini bagi memudahkan perjalanan rohnya ke alam kematian (sebayan).
Setelah si mati telah diletakkan di dalam sapat, salah satu anggota keluarganya harus tetap berjaga untuk memastikan anjing atau kucing tidak akan melompat melewati jenazah. Waris si mati akan meratapi pemergiannya dalam sapat  tersebut dan juga memberikan penghormatan yang terakhir. Hidangan makanan yang disukai mendiang akan disediakan di tepi tempat pembaringannya sepanjang tempoh upacara kematian ini. Setelah upacara melewati malam kedua, sabak bebuah diperlukan bagi mengiringi perjalanan rohnya ke alam kematian. Maka seorang seorang penyair ritual kematian (lemambang) yang biasanya seorang wanita yang berumur diperlukan untuk menyanyikan lagu pengkebumian (sabak bebuah). Dalam pada itu, wakil ketua rumah panjang (Tuai Rumah) akan menghimpunkan pemegang tampuk adat istiadat, ketua-ketua rumah panjang dan orang-orang tua berkumpul di anjung waris si mati untuk membincangkan soal adat penghormatan yang patut diberikan kepada si mati. Biasanya pencapaian sepanjang hayatnya dan juga status si mati diambilkira dalam menentukan adat penghormatan tersebut.
Lagu pengkebumian ini akan terus dinyanyikan pada malam ketiga. Lemambang  akan membaca lagu pengkebumian (sabak bebuah) sekitar pukul sembilan malam. Dia duduk di dalam sapat  iaitu di sebuah kerusi yang terletak di tepi keranda. Lagu pengkebumian ini biasanya akan mengenang kembali mendiang semasa hayatnya dan juga memandu perjalanan roh si mati melangkah ke alam kematian agar tidak tersasar ke tempat lain. Setelah semua tetamu yang menghadiri upacara selesai untuk makan malam, para tetamu akan berbicara dengan waris keluarga yang telah ditinggalkan si mati. Kemudian sekitar pukul sepuluh malam, minuman dan juadah ringan akan disajikan. Pada ketika inilah orang akan berkumpul di anjung rumah panjang dan mendengar seorang wakil yang akan menceritakan sejarah hidup si mati dan juga penyebab kepada kematian mendiang serta pencapaian dalam hidupnya, taraf penghormatan yang akan diberikan kepada mendiang, tempoh berkabung dan adat istiadat lain yang berkaitan dengan kematian.
Pada keesokan paginya iaitu sekitar pukul enam, keranda diikat pada pengusung (buluh tepayan) untuk dibawa ke tanah perkuburan. Tetapi sebelum itu, si mati diberikan makanan terakhir secara simbolik  iaitu pinggan dan mangkuk yang mengandungi makanan yang telah dipersembahkan kepada si mati akan dihantukkan ke atas keranda serta dihancurkan berkeping-keping dan serpihan dibuang melalui lubang-lubang lantai anjung rumah panjang. Setelah keranda yang dibawa ke tanah perkuburan, unggun api yang telah dinyalakan di anjung rumah panjang sepanjang malam-malam upacara kematian dibawa mendahului keranda, biasanya anak si mati yang paling tua yang memimpin iringan ke tanah perkuburan. Beberapa potongan bara api dibawa ke bilik untuk diletakkan di dapur kayu waris keluarga si mati untuk dinyalakan sebagai unggun api semasa tiga malam, lima atau tujuh malam berturut-turut bergantung kepada status mendiang di rumah panjang atau dalam komuniti. Tempoh ini dikenali sebagai "Petang Menyalakan Api" (Lemai Tungkun Api).
Setibanya di tanah perkuburan dan sebelum kubur digali, lokasi tapak lubang kubur disapu dengan darah ayam, ditaburi dengan butiran beras dan garam untuk mempersembahkan kepada Dewa Sempulang Gana agar menerima si mati yang dikebumikan. Kedalaman minimum kubur adalah enam kaki. Sebelum keranda diturunkan ke dalam lubang kubur, lubang harus dibersihkan dari daun segar yang jatuh ke dalam kubur yang dilarang daripada terkubur bersama-sama si mati. Menurut kepercayaan tradisional Iban, ia boleh menyebabkan roh orang mati bangkit menakut-nakutkan manusia yang masih hidup. Ketika kubur telah siap digali dan dibersihkan, keranda kemudian diturunkan ke dalamnya. Setelah ditimbus, pondok kecil didirikan atas kubur terbabit sebagai rumah kepada si mati. Semua barang-barang peribadi yang dibekalkan bersama-sama si mati diletakkan dalam pondok kecil tersebut. Bagi menandakan lokasi kubur, mereka meletakkan tajau atau bentuk-bentuk gerabah (kayu keras tebelian) pada arah mana kepala mendiang diletakkan. Itulah sebabnya dalam kubur Iban tradisional, ada banyak tajau dan gerabah di sekitarnya.
Semua orang yang telah terlibat dalam menggali kubur akan membuat pengait kecil daripada ranting kayu dan naik melaui tangga kecil dari dalam lubang kubur untuk mengelakkan roh mereka tertinggal di tanah perkuburan. Selepas itu, semua orang yang turut mengiringi penghantaran si mati ke perkuburan akan berkumpul di tepi sungai tanah perkuburan tersebut untuk memakan makanan yang dibawa dari rumah panjang bagi melengkapkan ritual di tanah perkuburan. Seorang ahli keluarga mendiang merupakan orang terakhir meninggalkan perkuburan akan membuat buluh yang diraut tajam ditanam terbalik di tepi kubur untuk mencegah roh dari alam kematian mengikuti mereka dari belakang. Setelah semua orang sampai dari tanah perkuburan, mereka serta saudara mara dan penghuni dari rumah panjang keluarga yang ditinggalkan akan berkumpul di anjung rumah panjang keluarga si mati. Pada pertemuan tersebut, perbincangan terhadap tempoh berkabung dilambangkan tiga, lima atau tujuh tompok beras hitam yang diletakkan pada sebilah pisau. Jumlah beras bergantung pada panjang tempoh berkabung. Dalam masyarakat Iban tradisional Saribas, mereka akan membuka jendela kecil (telenga atap) di bumbung untuk menerangi rumah sepanjang tempoh berkabung disebabkan waris si mati tidak keluar rumah dalam beberapa hari selepas kematian. Segala upacara keramaian adalah ditegah sama sekali buat waris dan penghuni rumah panjang. Di pintu masuk utama rumah panjang dan pintu bilik waris akan digantung tanda (tambai) yang menandakan mereka dalam saat bersedih dan berkabung kerana ditinggalkan oleh si mati. Adat penghormatan si mati bergantung kepada statusnya semasa hayat. Paling rendah ialah satu jabir (nilai matawang seringgit), satu panding (nilai matawang dua ringgit) dan juga satu alas (nilai matawang empat ringgit). Jika ada individu yang melanggar peraturan berkabung maka dia harus membayar kepada waris si mati mengikut adat penghormatan yang telah ditetapkan.

Perjalanan ke Alam Kematian
Masyarakat Iban tradisional di Sarawak dan di kawasan Saribas khususnya mempercayai kewujudan dunia selepas mati. Bagi mereka, si mati akan melalui perjalanan yang begitu ritual untuk melangkah ke alam kematian. Dengan sebab itulah si mati akan dibekalkan dengan bekalan untuk kegunaan di alam kematian (baya) dan juga perlu diiringi dengan lagu kematian (sabak bebuah) agar roh si mati dapat melangkah dengan dengan sempurna ke alam kematian. Menurut penceritaan lisan generasi emas yang arif dengan adat budaya masyarakat Iban tradisional, mereka menggambarkan bahawa dunia kematian ini bertentangan dengan dunia nyata manusia. Digambarkan terdapat situasi yang berlawanan seperti mana di sana malam manakala dunia nyata siang. Masyarakat Iban juga mempercayai alam kematian dapat berinteraksi dengan manusia alam nyata hanya melalui pawang tradisional (manang) dan juga melalui pengalaman tidur iaitu mimpi. Situasi ini seringkali dijadikan panduan dan juga pantang larang bagi masyarakat Iban dalam rutin seharian kerana mempercayai mimpi ini satu alamat yang harus dipatuhi.
         Dalam penceritaan masyarakat tradisional Iban Saribas seringkali menyebut bahawa alam kematian ini terletak di Sungai Mandai. Kalau dari pengetahuan geografi moden, lokasi ini terletak di pedalaman Kalimantan, Indonesia. Ia mungkin dikaitkan dengan kawasan ini disebabkan petempatan awal masyarakat Iban terletak di Kalimantan terutamanya di Sungai Kapuas dan juga Sungai Merakai. Sampai satu ketika, berlakunya proses penghijrahan masyarakat Iban ke beberapa kawasan di Sarawak untuk memulakan petempatan baru. Dalam pada itu, penceritaan ada juga menyebut bahawa Sungai Mandai ini tidak mempunyai kuala dan juga hulu. Ia digambarkan sebatang sungai yang tidak berpenghujung. Di kawasan ini juga digambarkan terletaknya gelanggang sabung ayam para manusia separuh dewa (demigods) dari rumah panjang alam ghaib iaitu Panggau Libau Giau Takang Isang, Panggau Lendat Betungkatka Dan Sabang. Watak dalam hikayat tradisional Iban seperti Keling, Bungai Nuing, Sempurai, Pungga dan Laja dikatakan mengunjungi gelanggang sabung ayam tersebut. Menurut penceritaan lagi, tangga Bejie yang runtuh selepas gagal digunakan untuk mendaki ke langit juga ada terdapat di Sungai Mandai. Malah telaga Kumang (isteri Keling dalam hikayat tradisional Iban) juga dikatakan terletak di Sungai Mandai dan juga Bukit Penguji iaitu bukit berbatu-batuan yang curam serta licin juga terdapat di situ. Puncak bukit ini terdapatnya buluh perindu yang menjadi buruan setiap orang yang percaya kepada ilmu pelaris.
Masyarakat Iban mempercayai keadaan dunia selepas mati (sebayan) ini umpama satu dunia yang misteri dan digambarkan ia mempunyai beberapa ciri persamaan dengan keadaan dunia nyata seperti terdapatnya petempatan rumah panjang, sistem sosial dan juga ada ciri-ciri budaya yang hampir menyerupai masyarakat Iban tradisional. Dalam bait-bait puisi ritual nyanyian kematian, ada menyebut bahawa roh si mati akan melalui satu titian yang kecil yang digelar Titi Rawan iaitu satu titi yang sangat kecil dan digambarkan sehalus benang. Roh digambarkan berjalan berhati-hati melalui titian tersebut supaya tidak terjatuh ke dalam lubuk sungai yang dalam yang permukaannya berwarna hitam dan berpusar. Mengikut kepercayaan, seandainya roh gagal melakukan titian ini dan terjatuh ke dalam pusaran air tadi, maka rohnya akan kembali kepada jasadnya dan dipercayai akan hidup semula. Selepas melalui titian ini, roh dikatakan akan sampai ke satu tepian mandi (pendai mandi) yang dirujuk kepada satu kawasan tebingan sungai yang menjadi tempat penduduk sesebuah rumah panjang tradisional sebagai tempat pelabuhan perahu, mandi, mencuci dan juga mengambil air. Penceritaan lisan mengambarkan begitu banyak perahu-perahu yang pelbagai saiz berlabuh di tempat tersebut dan dapat dilihat seluas mata memandang. Keadaan juga digambarkan meriah dengan begitu ramai orang-orang dari alam kematian berpakaian Iban tradisional (ngepan) termasuk lelaki dan wanita dengan segala kelengkapan instrumen muzik Iban tradisional berkumandang untuk menyambut kedatangan si mati ke alam baru.
         Menurut penceritaan lagi, si mati akan dialu-alukan kerana si mati juga mengenakan pakaian yang terbaik dan berbau wangian. Jika keadaan di sebaliknya, maka si mati akan ditolak ke dalam sungai di tepian mandi tersebut dan rohnya dalam keadaan yang tergantung di antara maya dan nyata. Sebab itulah waris si mati akan memandikan jenazah dan memakaikan jenazah dengan kelengkapan yang terbaik agar diterima tanpa halangan di alam kematian. Setelah melalui sambuatan yang meriah di tempat tadi, roh si mati dikatakan melalui satu lagi perjalanan ke fasa yang baru. Dia dikatakan melalui satu padang yang luas sejauh mana mata mampu memandang. Pada masa ini, dia seolah-olah terdengar bunyi loceng berdering-dering mengiringi perjalanannya. Deringan loceng ini ialah suara-suara pilu tangisan sahabat handai yang meratapi kehilangannya di dunia. Kemudian dia akan melalui satu kawasan yang ditanami dengan pelbagai jenis buah-buahan yang berkulit untuk menutupi isinya. Dia akan cuba memetik buah tersebut untuk memakan isinya. Apabila dibuka, isi di dalamnya kosong namun si mati masih tidak menyedari bahawa dia sebenarnya sudah memasuki dunia kematian. Dia akan meneruskan perjalanannya lagi kerana dia masih-masih tercari destinasi yang ditujuinya. Sabak bebuah atau lagu kematian dinyanyikan oleh penyair lagu kematian (tukang sabak) untuk memandu roh si mati ini selamat ke destinasinya.
         Si mati kemudian sampai ke satu kawasan yang baru, sebuah kawasan yang nampak ceria dan penuh ketenangan. Beransur-ansur dia akan melihat ada sebuah petempatan yang dipenuhi oleh kanak-kanak yang masih kecil. Di halaman rumah panjang tersebut dipenuhi oleh kanak-kanak yang sedang bermain. Di situ dia akan ternampak seorang wanita berumur menjaga kanak-kanak tersebut yang dikenali Indai Lipai dalam penceritaan Iban tradisional. Dalam amalan kebudayaan dan keagamaan tradisional Iban, kanak-kanak yang meninggal dalam kandungan, semasa lahir dan sebelum tumbuh gigi pertama (mati lulus) tidak akan melalui proses ritual seperti yang dilakukan dalam adat kematian biasa. Kanak-kanak yang meninggal sekadar diuruskan dengan sempurna iaitu dibalut dengan kain oleh waris keluarga yang terbabit dan sekadar dibekalkan dengan sebiji pinggan untuk melindungi roh kanak-kanak tersebut. Kemudiannya akan dihantar ke kawasan perkuburan kanak-kanak yang berasingan tempat dengan perkuburan biasa. Kawasan perkuburan ini dikatakan sebagai kubur tidak bertanda. Roh mereka ini akan dijaga oleh Indai Lipai sebagai penjaga mereka di alam kematian (sebayan).
         Berbalik kepada perjalanan si mati tadi, penceritaan mengatakan roh si mati akan tetap meneruskan perjalanan kerana masih lagi belum sampai ke destinasi. Setelah meneruskan satu perjalanan, si mati akan sampai ke tebingan sungai kecil dan di situ ada sebuah rumah. Dikatakan si mati akan berhenti untuk melihat keadaan rumah tersebut. Dalam puisi ritual kematian mengatakan rumah tersebut dimiliki oleh Bunsu Bubut. Bunsu ialah satu gelaran untuk ketua kepada sesuatu spesis haiwan dan dipercayai oleh masyarakat Iban tradisional boleh bertukar menjadi manusia. Manakala Bubut ialah sejenis burung ataupun dikenali dalam bahasa sainstifik Centropus Sinensis iaitu dalam keluarga Cuculade yang memakan serangga. Dalam kepercayaan masyarakat Iban, burung ini akan berbunyi apabila ada kematian untuk memberi isyarakat telah berlaku kematian berhampiran dengan sesebuah rumah panjang. Ini sekaligus memberikan isyarat yang tidak baik kerana ada berlakunya kesusahan yang seumpama itu.
Diceritakan si mati melihat rumah Bunsu Bubut cukup berbau, kotor dan dipenuhi dengan najis. Si mati telah diperlawa oleh Bunsu Bubut untuk berhenti daripada meneruskan perjalanannya dengan lebih jauh ke alam kematian. Namun yang demikian, si mati terus menolak disebabkan rumah Bunsu Bubut cukup kotor untuk didiami. Seandainya si mati bersetuju, maka rohnya dapat dikembalikan ke jasadnya yang masih diratapi oleh saudara maranya di dunia. Si mati terus menyeberangi sungai kecil tersebut bagi meneruskan perjalannya ke alam kematian. Di dunia nyata, penyair ritual yang menyanyikan sabak bebuah akan terus mengiringi perjalanan si mati. Apabila sudah sampai ke tahap ini, jenazah sudah menunggu masa untuk dikebumikan ke tanah perkuburan rumah panjang tersebut. Di dunia selepas mati, roh si mati akan menjumpai sebuah rumah panjang yang cukup besar dan indah. Di pintu utama rumah panjang tersebut tersebut sudah sedia penghuni rumah panjang untuk menyambut kedatangannya dengan berpakaian Iban tradisional disertai alunan muzik tradisional.
Menurut penceritaan lisan, ketua alam kematian (Ketuai Sebayan) akan melihat punca kematian si mati. Seandainya punca kematiannya ialah membunuh diri, maka rohnya akan ditempatkan di bawah rumah panjang tersebut disebabkan membunuh diri bukan cara kematian yang dipersetujui dalam amalan budaya Iban tradisional. Roh-roh yang ditempatkan di bawah rumah panjang tersebut sering meronta-ronta seperti minta dilepaskan. Jika di sebaliknya, maka roh si mati akan diterima masuk ke dalam rumah panjang tersebut. Ahli keluarganya yang meninggal terdahulu daripadanya akan menyambut kedatangan si mati untuk menyertai mereka di alam kematian. Namun demikian, perjalanan roh si mati belum berakhir begitu sahaja. Tempoh berkabung (ngulit) yang dilakukan oleh anggota keluarga, saudara mara, sahabat handai dan juga juga penghuni rumah panjang yang tinggal dengannya di alam nyata menyebabkan rohnya masih berlegar-legar antara dunia nyata dan kematian. Tempoh berkabung masyarakat Iban tradisional biasanya boleh berlarutan selama tiga bulan. Bagi tiga hari pertama selepas pengkebumian iaitu di sebelah petang, anggota keluarga dan penghuni rumah panjang akan pergi ke satu tempat khas yang biasanya terletak di tebingan sungai pangkalan rumah panjang untuk menghantar makanan dan juga juga menyalakan unggun api (lemai tungkun api) kerana roh-roh dari alam kematian dipercayai datang ke tempat tersebut untuk mengambil makanan yang disediakan dan juga untuk berdiang di unggun api yang dinyalakan. Secara ritualnya, rombongan sekalian roh alam kematian akan datang dengan perahu yang dihiasi indah dan berlabuh di pangkalan rumah panjang yang ditimpa kematian tersebut. Setelah petang semakin suram dan gelap, penduduk rumah panjang akan segera kembali ke rumah untuk mengelakkan roh mereka yang masih hidup bercampur gaul dengan roh dari dunia kematian di tempat unggun api tersebut.
Menjelang malam di dunia nyata, ahli keluarga, saudara mara dan penghuni rumah panjang akan berkumpul lagi di anjungan (ruai) waris si mati untuk menemani mereka agar tidak terlampau berdukacita menghadapi kesusahan yang telah menimpa mereka. Ahli keluarga akan menghidangkan minuman dan juadah ringan untuk dinikmati bersama-sama pada tiga malam berturut-turut selepas pengkembumian (makai pana). Sepanjang tempoh perkabungan berlangsung, anjung waris si mati dan juga bilik mesti dinyalakan pelita dan juga hidangan makanan kesukaan si mati akan diletakkan khas di tengah-tengah bilik warisnya kerana dipercayai roh ini masih berkeliaran dan mengunjungi tempat tinggalnya di dunia nyata. Si mati tidak akan mengetahui dirinya telah meninggal dunia sehinggalah upacara perkabungan selesai.
Setelah tiga bulan berlalu, maka tempoh perkabungan tamat dan upacara Ngetas Ulit akan diadakan bagi menandakan tempoh berkabung telah tamat. Bagi menyempurnakan upacara ini dalam masyarakat Iban tradisional, maka kepala musuh akan dicari bagi kegunaan ritual. Dalam pada itu, Iban dari kawasan Saribas biasanya melakukan ekspedisi kecil (kayau anak) ke kawasan telah diisytiharkan sebagai kawasan musuh bagi mendapatkan sebiji kepala. Semasa pemerintahan Rajah Brooke kedua iaitu Charles Johnson Brooke telah melarang amalan pemburuan kepala. Adat persembahan korban menggunakan kepala telah diubah kepada babi sebagai korban. Setelah itu, upacara Ngetas Ulit akan diketuai oleh pawang tradisional Iban (manang) yang melakukan upacara bagi memberitahu roh si mati bahawa dia bukan lagi kepunyaan dunia ini dan seharusnya kembali ke alam kematian supaya rohnya tenang di sana. Pada masa ini juga, balu si mati juga akan menjalani upacara ritual iaitu ngambi entabalu yang dilakukan oleh pawang Iban tradisional tadi. Peringkat yang terakhir dalam upacara ialah beserara bungai sebagai simbolik bahawa roh si mati dengan manusia yang masih hidup akan terpisah buat selama-lamanya. Menurut penceritaan lisan, setelah roh mati sebanyak tujuh kali di alam kematian Dewa Sempulang Gana akan menukarkan rohnya menjadi embun dan kemudian embun tersebut akan melekat di badan wanita yang sedang hamil. Dengan itu, rohnya akan dilahirkan semula ke alam nyata ini setelah melalui perjalanan yang panjang di alam kematian.

Penutup
Kehidupan kita di dunia ini adalah sementara ataupun sekadar transit sebelum kita melangkah ke alam kematian yang harus dialami semua kita yang hidup. Walaupun berbeza pandangan dan juga tafsiran tentang dunia selepas mati namun semua kita mempercayai tentang kewujudan dunia selepas mati. Tafsiran kita berbeza lantaran perbezaan landskap masyarakat, sosiobudaya dan juga agama. Ada di antara budaya dan kepercayaan tentang kelahiran semula seperti masyarakat Iban tradisional iaitu Buddha dan Hindu. Bagi agama Kristian dan Islam, roh-roh alam kematian akan dibangkitkan pada Hari Pengadilan kelak untuk menentukan sama ada roh tersebut dihumbankan ke neraka atau diterima menjadi sebahagian penghuni syurga. Pada masa kini, amalan Iban tradisional ini menjadi semakin luntur atas gerakan pemodenan, urbanisasi dan juga disebabkan oleh faktor dominan seperti Kristianisasi yang berasmilasi dengan sebahagian budaya masyarakat Iban. Ini mengubah sudut pandang masyarakat dan mengamalkan budaya baru termasuk kepercayaan tentang dunia selepas mati. Walau bagaimanapun, penulis percaya bahawa budaya baru ini tidak melenyapkan seratus peratus identiti masyarakat Iban kerana secara praktikalnya Kristianisasi mengamalkan akulturasi terhadap pertembungan budaya di antara Kristianisasi dan juga kebudayaan Iban. Diharapkan perubahan zaman yang pantas tidak memadamkan asal usul kita dan atas kesedaran kelangsungan budaya dan kaum Iban seharusnya setiap daripada anak Iban terus mendukung tanggunjawab untuk memelihara identiti asal usul walaupun sekadar pemahaman minda sekalipun jika tidak diamalkan dalam kehidupan sehari-harian.




7 comments:

  1. Terima kasih kerana berkunjung sahabat

    ReplyDelete
  2. ..saya suka membaca cerita² mengenai kepercayaan satu² kaum atau agama, sekadar utk menambah pengetahuan, terima kasih krn menulis artikel ni..

    ReplyDelete
  3. manah amai..bisi agi journal tauka artikel pasal beserara bungai

    ReplyDelete
  4. manah amai..bisi agi journal tauka artikel pasal beserara bungai

    ReplyDelete
  5. ada kah pbezaan adat berkahwin dolok dengan kinek tuk?

    ReplyDelete
  6. Lebih banyak perkara yang tersirat berbanding yang tersurat

    ReplyDelete