Oleh: Nicholas J. Ugik BA Soc. Sci (UMS)
Pengenalan
Selepas
Perang Dunia Kedua, British telah menguasai Sabah dan Sarawak yang sebelum ini
ditadbir Syarikat Berpiagam Borneo Utara di Sabah dan Rajah Brooke di Sarawak.
Perang Dunia Kedua telah memberikan British peluang untuk campur tangan secara
terus di Sabah dan Sarawak. Peluang ini memang ditunggu oleh British untuk
mengukuhkan ekonomi dan loji pertahanannya di Asia Tenggara pada masa itu. Minat
British ke atas Sarawak tertanam semenjak dari pemerintahan Rajah Charles
Brooke lagi tetapi malangnya hasrat British tidak kesampaian kerana Charles
seorang pentadbir yang cekap dan berjaya mengelakkan campurtangan daripada
British. Pejabat Kolonial meneruskan cita-citanya untuk menguasai Sarawak
secara terus ketika zaman Rajah Charles Vyner Brooke dan mereka menganggap beliau
ialah seorang pemerintah yang lemah tetapi kenyataan mereka ternyata meleset
kerana beliau tidak memberikan British peluang untuk campur tangan dalam
pentadbiran Sarawak.
Hasrat
British untuk menguasai Sarawak tidak kesampaian sehingga Perang Dunia Kedua.
Bagi British North Borneo Company (BNBC) di Sabah, campur tangan British memang
sudah mula bertapak dengan pengurniaan Piagam Diraja pada 1881 iaitu corak
pentadbiran syarikat ditentukan oleh Pejabat kolonial di London. Tambahan pula,
British telah mendirikan penempatan di Labuan yang mengawal kepentingan ekonomi
dan pertahanan di Borneo Utara di bawah Gabenornya W.H Treacher. Sama
keadaannya dengan di Sarawak iaitu British belum menguasai Sabah dengan secara
langsung sehingga meletusnya Perang Dunia Kedua.
Faktor-Faktor Pengambilan Sabah dan
Sarawak Oleh British Pada 1946
1.1
Faktor
Dalaman Brooke dan British North Borneo Company
Charles
Vyner Brooke yang sudah semakin uzur pada ketika itu di usia 72 tahun sangat
risau yang beliau tidak ada pengganti dalam meneruskan pemerintahan Rajah
Brooke di Sarawak kerana beliau tidak mempunyai anak lelaki yang boleh
menggantikan beliau. Dalam undang-Undang kerajaan Sarawak pada masa itu, hanya
pewaris lelaki yang dibenarkan untuk mewarisi takhta. Selain itu, Vyner tidak yakin dengan
kebolehan anak saudaranya Anthony Brooke untuk mewarisi takhta. Adik beliau,
Bertram Brooke yang membantu beliau menguruskan pentadbiran Sarawak selama
ini dilihat tidak mampu menjadi
pengganti beliau kerana sudah tua dan uzur. Masalah pewarisan takhta ini
membuatkan Vyner menyerahkan pentadbiran Sarawak kepada British.
Vyner juga memberikan alasan yang
Sarawak menghadapi masalah kewangan selepas Perang Dunia Kedua dan kerajaan
Brooke tidak mampu membangunkan Sarawak selepas Perang. Beliau percaya yang
kerajaan Britain mampu memulihkan keadaan insfrastruktur di Sarawak dengan
adanya sumbangan dari Welfare Plan Pejabat Kolonial untuk tujuan pembinaan
semula insfrasruktur.
Bagi pentadbiran British North Borneo
Company pula, masalah kewangan yang yang dihadapi dilihat kesannya selepas
Perang Dunia Kedua iaitu kekurangan sumber kewangan untuk membangunkan
infrastruktur yang musnah teruk selepas perang dan kadar beban hutang yang
tinggi di kalangan pelabur. Oleh itu, BNBC telah menyerahkan kedaulatan wilayah
Sabah kepada British yang mengambil alih pentadbiran kerana BNBC tidak mampu
untuk memikul tanggungjawab dalam pembinaan semula Sabah.
1.2 Imej
Britsh yang Mempunyai Peranan yang Besar di Sarawak dan Sabah Selepas Perang
Dunia Kedua
Sarawak
telah diambil oleh British secara rasminya dari Dinasti Brooke pada 1 Julai
1946. Clement Atlee telah menggubal satu rancangan pembaharuan negara Sarawak
selepas perang dengan penubuhan Jawatankuasa Kabinet yang menguruskan hal-ehwal
wilayah di Borneo dan Malaya selepas perang. Selain daripada itu juga, British Adminstration
Army (BMA) telah bertapak di Sarawak selepas perang yang memulihkan keadaan
insfrastruktur dan membantu pentadbiran di Sarawak. Ini telah menaikkan imej
British di rantau ini yang dilihat penduduk tempatan sebagai penyelamat mereka
daripada kesan perang yang menjejaskan keperluan ekonomi dan keperluan sosial.
British juga telah menyatakan yang mereka perlu bertapak di Asia Tenggara untuk
menjamin ekonomi, sosial dan politik Tanah Jajahannya pada masa depan. Dalam
meneruskan dasar ini, British telah menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai Crown
Colony bagi memudahkan campur tangan secara terus ke atas kedua-dua wilayah
Borneo ini.
Keadaan di Sabah adalah sangat teruk
selepas Perang Dunia Kedua, BMA telah mengambil alih pentadbiran daripada
Tentera Diraja Australia yang dipimpin oleh Komandan Kesembilan F. Wooden.
Beliau berjaya mengalahkan pihak Jepun di Jesselton (Kota Kinabalu) pada
penghujung Perang Dunia Kedua (1945) seterusnya berjaya merampas Sabah dari
pihak Jepun. BMA yang dipimpin oleh C. F Macaskie telah memulihkan keadaan
infrastruktur di Sabah yang musnah teruk akibat kesan perang yang keadaannya
lebih teruk berbanding dengan di Sarawak. Sabah dijadikan Crown Colony British
secara sepenuhnya pada 15 Julai 1946.
1.3
Kepentingan
Ekonomi British di Sabah dan Sarawak
Pada
mulanya Borneo tidak begitu dipandang oleh kuasa Barat sebagai sebuah tempat
untuk menjana pulngan ekonomi yang lumayan. Tetapi sejak pertengahan abad yang
kesembilan belas, kuasa Barat telah menyedari
potensi ekonomi Borneo terutamanya dari hasil bumi yang memberikan
keuntungan yang sangat besar seperti pembalakan dan petroleum. Pejabat Kolonial
telah melihat potensi ekonomi Sarawak yang begitu menguntungkan terutamanya
lombong petroleum yang terdapat di Miri menyebabkan mereka begitu iri hati.
Mereka menggunakan alasan yang hasil ekonomi Sarawak begitu penting untuk
membangunkan taraf sosial di kebanyakan wilayah jajahan British yang lain. Oleh
itu, mereka mesti mengusahakan sumber ekonomi ini dengan sebaiknya.
Selain daripada itu juga, British
berpendapat Sarawak yang begitu bernilai tidak wajar dimerdekakan dengan segera
dan mereka menggunakan slogan “Penstrukturan Semula Asia Tenggara Selepas
Perang”. Walaupun Piagam Atlantik telah menegaskan imperialisme wajar
dihapuskan selepas Perang Dunia Kedua namun British tetap ingin menguasai
ekonomi di Borneo.
Sehubungan dengan itu, perlombongan
minyak di Miri telah diusahakan sebuah syarikat milik British, iaitu Shell
Berhad yang menguruskan Sarawak Oil Company dan kerajaan negeri Sarawak hanya
mendapat royalti daripada hasil perlombongan minyak ini. Perusahaan pertanian komersial juga telah dieksploitasi
sepenuhnya oleh British. Pada dasarnya, British memperkenalkan dasar “Tanah
Lebih Banyak Untuk Penanaman Makanan” tetapi pengusahaan lada hitam,getah dan
sagu yang lebih diberi perhatian kerana ia adalah eksport dunia yang terpenting.
Selain itu, Rancangan Lima Tahun turut diperkenalkan oleh British di Sabah dah
dan Sarawak bagi memulihkan ekonomi dan infrastrukur.
British telah membina semula kemudahan
infrasruktur yang telah musnah semasa perang seperti jalan, pelabuhan dan
landasan keretapi untuk membangunkan semula ekonomi Sabah terutamanya getah dan
kayu balak dan juga sedikit tanaman kelapa copra dan manila hemp. Walaupun ini adalah satu tugas yang sulit namun British
berjaya meningkatkan pengeluaran getah
iaitu sebanyak 15 ribu tan getah setahun untuk dieksport. Getah yang
menjadi punca ekonomi British di Sabah telah diusahakan dengan lebih komersial
dengan cara baru dalam penaman getah seperti penebangan pokok getah yang sudah
tua dan penaman semula pokok-pokok muda yang dapat menghasilkan lebih banyak
lagi susu getah.
Perusahaan kayu balak juga antara yang menyumbang
kepada pendapatan ekonomi Sabah pada masa itu kerana ia juga komoditi dunia
yang terpenting. Penguasaan British terhadap komoditi ini telah meningkatkan
kuantiti eksport balak sebanyak 1, 567, 000 cubic
feet setahun. Dalam pada itu, monopoli konsesi balak oleh British Borneo
Timber Company telah dibuka kepada
syarikat balak British yang lain untuk meningkatkan pengeluaran balak seperti
Kennedy Bay Timber Company, The Burma Bombay Trading Corporation dan The North
Borneo Timbers Limited. Semua ini telah memberikan pulngan yang lumayan kepada
British yang mengeksploitasi ekonomi Sabah dan Sarawak.
1.4
Membina
Ekonomi British yang Lumpuh Selepas Perang Dunia Kedua
Perang
Dunia Kedua yang meletus telah memberikan kesan yang teruk kepada British
kerana perang yang turut berlaku di Eropah telah menyebabkan kemusnahan yang
teruk di Britain khasnya serangan dari Jerman dan Itali. Britain juga turut
berperang di Asia dan Afrika untuk melindungi tanah jajahannya daripada
ditakluki. Ini telah menelan kos yang banyak untuk kegunaan anagkatan
tenteranya dan pembinaan semula negara selepas perang.
Menyedari hakikat ini, Parti Buruh telah
menekan Charles Vyner Brooke agar menandatangani Supplementary Act sejak Oktober 1941 lagi kerana British telah
melihat potensi ekonomi Sarawak yang mampu
menampung keperluan British di masa depan. Britain juga dapat mengukuhkan
kewangan untuk program-program ekonomi kerana sumber mentah Sarawak yang begitu
bernilai. Walaupun Britain telah menghadapi masalah tenaga buruh untuk menjana
pendapatan ekonominya namun telah melakar satu pelan jangka panjang untuk membawa
keluar lebihan kewangan apabila ia sudah mencukupi bagi kegunaan di Britain.
Borneo Company dan Shell Berhad juga menyokong tindakan British mengambil alih
Sarawak daripada Rajah Brooke kerana mereka yakin yang British mampu menjaga
kepentingan ekonomi mereka di Sarawak.
Perang Dunia Kedua telah memberikan
kesan yang teruk kepada British kerana kekurangan bahan mentah untuk
kegunaannya di Eropah dan juga menampung perbelanjaan di tanah jajahan yang
lain. Sabah dilihat mampu membekalkan bahan mentah untuk kepentingan British.
Eksploitasi ekonomi ini telah menyebabkan British mengaut keuntungan yang besar
dan mempunyai modal yang banyak tetapi mereka mengabaikan pembangunan untuk
penduduk peribumi dan hanya membangunkan infrastrukur yang berkaitan dengan
kepentingan ekonomi mereka sahaja seperti jalan raya, jalan keretapi dan
bangunan yang dibina di kawasan yang mempunyai potensi ekonomi kepada British.
Selama 17 tahun British bertapak di Sabah dan Sarawak, mereka memaksimumkan
keuntungan dengan sepenuhnya untuk kepentingan ekonomi British. Hasil ekonomi
utama seperti getah, lada hitam, kelapa, kayu balak, sagu dan tembakau telah
diusahakan secara besar-besaran.
1.5
Kepentingan Singapura Sebagai Entreport di Asia Tenggara
Oleh
sebab Sabah dan Sarawak yang mempunyai hasil bumi yang banyak dan berperanan
sebagai pembekal kepada Singapura maka British mesti menjajah Sabah dan Sarawak
secara terus sebelum kuasa Barat lain mengambil kesempatan ke atas kekayaan
hasil bumi kedua buah negara ini. Sejak zaman Rajah Charles Brooke lagi,
Sarawak telah membekalkan bahan mentah untuk pelabuhan Singapura seperti sagu
dan antimoni. Keadaan ini ingin diteruskan oleh British demi menjamin kepentingan
Singapura sebagai entreport yang penting di Asia Tenggara. Selepas pendudukan
British di Sarawak, Royal Air Force (R.A.F) telah menghubungkan perkhidmatan
udara di antara Sarawak dan Singapura. Kontrak ini kemudiannya diteruskan oleh
Dakotas Airways sebelum diserahkan kepada Malayan Airways bagi tujuan yang
lebih komersial dan memudahkan perhubungan Sarawak, Sabah, Brunei dan juga
Singapura.
Seperti di Sarawak juga, Sabah
dihubungkan dengan dengan Singapura apabila Malayan Airways memulakan
perkhidmatan pada Mei 1949. Di samping itu, hasil bumi yang diangkut ke
pelabuhan terutamanya getah dan balak telah terus dieksport ke Singapura dengan
adanya perkhidmatan perkapalan dari The Straits Steamship Company yang
menghubungkan semua pelabuhan di Sabah dengan Singapura. Perkhidmatan ini semua
telah memudahkan British mendapatkan bahan mentah yang diperlukan di Singapura
di samping Sarawak dan Sabah yang menjadi pasaran barang keluaran British dan
juga produk siap yang di hasilkan di Singapura.
1.6
Kepentingan Pertahanan British di Rantau Ini
Kedudukan
Borneo adalah amat strategik dan penting untuk melindungi Malaya dan Singapura.
British juga berhasrat untuk menyusun semula tanah jajahan di Asia Tenggara. Oleh
sebab itu, pihak British harus menguasainya untuk kepentingan pertahanan untuk
masa depan khasnya menghadapi serangan dari arah lautan Pasifik. Penempatan
loji tentera difikirkan logik dan sesuai di Borneo khasnya di utara Borneo.
Untuk tujuan itu, Pejabat Kolonial mengarahkan Sir Harold McMichael menggunakan
Foreign Jurisdiction Act 1890 untuk mengambil Sarawak sebagai Crown Colony serta mengurangkan kuasa Brooke
di bawah pentadbiran Malaya.
Sehubungan dengan itu, British telah
mengambil kira tentang kepentingan perusahaan melombong minyak yang dijalankan
di Miri dan Seria. British risau terhadap kuasa barat lain yang cuba campur
tangan di Brunei kerana kekayaan Brunei dengan hasil petroleum. Ini tentu
sekali mengancam niat British untuk mengukuhkan ekonomi mereka di Borneo dan
rantau Asia Tenggara. Penguasaan secara terus ke atas Sabah dan Sarawak
membolehkan British menempatkan armada tentera lautnya di Borneo.
British juga khuatir dengan kebangkitan
kesedaran sesetengah penduduk Sabah dan Sarawak yang berpendidikan untuk membebaskan
diri dari cengkaman penjajah yang boleh menjejaskan pelaburan British secara langsung.
Di samping itu, gerakan nasionalisme yang muncul di Indonesia, khuatir dengan
tindak tanduk Australia dan sentimen anti-penjajahan Amerika Syarikat dilihat
mampu mempengaruhi semangat nasionalisme penduduk Sabah dan Sarawak pada masa
itu.
1.7 Alasan Sarawak dan Sabah Menghadapi Masalah Kewangan Selepas Perang
Perang
Dunia Kedua telah meninggalkan kesan yang amat serius terhadap Sabah dan
Sarawak kerana kemusnahan infrastrukrur dan kelumpuhan ekonomi. Bagi Sarawak,
kemusnahan telaga minyak di Miri menyebabkan kerajaan Brooke menghadapi masalah
kewangan untuk membangunkan semula Sarawak. Di samping itu juga, tindakan
tentera British menggunakan dasar “Bumi Hangus” apabila kalah di dalam
peperangan bagi mengelakkan Jepun mengeksploitasi ekonomi Sarawak. Tindakan ini
telah melumpuhkan kegiatan ekonomi di Sarawak. Ini dijadikan alasan oleh Vyner Brooke
untuk menyerahkan Sarawak kepada British kerana beliau menyatakan hanya British
yang mampu memulihkan ekonomi Sarawak pada ketika itu.
British North Borneo Company (BNBC) di
Sabah menghadapi masalah kewangan yang lebih teruk berbanding dengan Sarawak
kerana awal-awal lagi BNBC menghadapi masalah dalam pengurusan kewangan dan
keadaan semakin teruk selepas perang. BNBC merasakan yang penstrukturan semula Sabah
adalah sangat berat dan bercadang menyerahkan Sabah sebagai Crown Colony kepada British bagi tujuan mendapatkan
pampasan untuk menampung dana syarikat dan membayar beban butang kepada
pelabur. Dengan itu, British bersetuju memberikan pampasan sebanyak £ 860,600 untuk
BNBC menyerahkan Sabah kepada British. British telah melihat peluang ini adalah
cukup baik untuk mereka menjajah Sarawak dan Sabah secara terus untuk
merealisasikan impian mereka semenjak penghujung abad kesembilan belas lagi.
Kesimpulan
Secara
ringkasnya, sebab British ingin menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai Crown
Colony pada 1946 adalah kerana kepentingan pertahanan dan ekonomi British di
rantau ini. Dari segi pertahanan, Borneo adalah antara kawasan yang strategik
untuk melindungi ekonomi dan perusahaan British di Singapura dan kawasan
sekitar Asia Tenggara di samping Sabah dan Sarawak sangat kaya dengan hasil
buminya. Dari aspek ekonomi pula, kekayaan Sabah dan Sarawak dengan hasil bumi
dapat membantu perindustrian British di Singapura dan Britain di samping banyak
daripada hasil bumi ini adalah eksport dunia yang terpenting.
Senarai
Rujukan:
Abdul Rahman Hj. Ismail (2005) Malaysia: Sejarah Kenegaraan dan Politik. Dewan Bahasa
dan Pustaka dan Dawana Sdn. Bhd.
Irwin, Graham (terjemahan Mohd. Nor Ghani dan Noraini
Ismail) (1986) Borneo Abad Kesembilan Belas. Dewan Bahasa dan
Pustaka
Jayum Jawan (1994) Iban
Politics and Economic Development. Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.
Kasim Thukiman (2002) Malaysia: Perspektif Sejarah dan Politik. Universiti Teknologi Malaysia, Sekudai, Johor.
Kennedy,
Joseph (1993) A History of Malaya. SAM
Publishing, Kuala Lumpur.
Mohd Isa Othman (2002) Sejarah Malaysia (1800-1963). Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd.
Pollard, Elizabeth (1997) Kuching (1839-1970). Dewan Bahasa dan Pustaka,Kuala Lumpur.
Reece, R. H. W (1982) The Name of Brooke: The End of White Rajah Rule in Sarawak. Oxford University Press. Kuala Lumpur.
Ruslan Zainudin
(2003) Kursus Komprehensif Fajar Bakti :
Sejarah Malaysia Edisi Kedua. Penerbit Fajar Bakti.
Tregoning, K. G (1965) A History of Modern Sabah. Universiti of Malaya Press, Singapore