Nicholas J. Ugik (BA Soc. Sce)
1.0
PENDAHULUAN
Peristiwa kebangkitan nasionalisme di Tanah
Melayu dan Sarawak menjadi lebih ketara selepas Perang Dunia Kedua apabila dua
peristiwa utama telah berlaku di Sarawak dan Tanah Melayu. Ini bukan disebabkan
oleh faktor semerta-merta yang membangkitkan kesedaran ini tetapi disebabkan
beberapa peristiwa yang telah berlaku dalam tahun 1930-an lagi. Dasar penjajah
British yang menghantar anak-anak bangsawan Melayu untuk melanjutkan pelajaran
sudah mula menampakkan kesannya dengan kebangkitan perasaan nasionalisme yang
timbul dalam diri mereka selepas melihat sendiri keadaan di negara luar yang
memperjuangkan hak kemerdekaan. Pelajar yang menuntut di Universiti Al-Azhar
telah terpengaruh dengan gerakan Pan-Islam di Timur Tengah. Tambahan itu juga,
kejayaan Jepun dalam Perang Rusia-Jepun 1905 juga menjadi pemangkin kerana
sebuah negara Asia yang kecil mampu menumbangkan Rusia yang gah.
Tunjuk perasaan orang Melayu untuk membantah penubuhan Malayan Union |
Di Sarawak, Gerakan Anti Penyerahan (Anti-cession Movement) dan di Tanah Melayu diwarnai dengan penentangan terhadap Malayan Union iaitu sebuah gagasan yang ingin membentuk negara bangsa (nation state). Ia bertujuan untuk menyamaratakan kerakyatan Tanah Melayu yang menjadi rakyat Jajahan Mahkota British. Manakala di Sarawak ialah menjadikan Sarawak sebagai Tanah Jajahan Mahkota British. Ini menimbulkan penentangan daripada rakyat Sarawak (rata-ratanya bumiputera) yang ingin berkerajaan sendiri dan juga kaum Melayu di Tanah Melayu yang ingin mengekalkan hak keistimewaan Melayu dalam tanah air sendiri.
Situasi tunjuk perasaan aman Anti-Penyerahan Sarawak |
2.0 PERISTIWA ANTI-PENYERAHAN DI SARAWAK
2.1
Perlembagaan 1941
Pertama sekali kita meneliti dulu tentang
peristiwa anti-penyerahan yang berlaku di Sarawak selepas Perang Dunia Kedua.
Peristiwa ini adalah berkaitan dengan perlembagaan 1941 yang diperkenalkan oleh
Rajah Charles Vyner Brooke yang berhasrat menjadikan Sarawak sebuah negara
dengan pentadbiran sendiri.
Raja Sarawak yang terakhir
ialah Charles Vyner Brooke telah menggubal sebuah perlembagaan untuk
menyediakan Sarawak ke arah berkerajaan sendiri. Alasannya untuk memberikan
peluang kepada anak Sarawak mentadbir negara sendiri. Janji ini mendekatkan
Sarawak dengan kemerdekaan. Ini antara lain ialah desakan daripada kerajaan
British agar pembaharuan pentadbiran perlu dilakukan oleh Brooke untuk
mengelakkan Sarawak diambil alih oleh kerajaan British. Dari awal lagi,
pentadbiran British di Negeri-Negeri Selat cuba mengambil Sarawak atas
kepentingan ekonomi. Mereka menganggap Vyner ialah seorang pemerintah yang
lemah dan tidak mampu menjaga kepentingan pelabur British dan Eropah di Sarawak
tetapi kenyataan mereka ternyata meleset kerana beliau tidak memberikan British
peluang untuk campur tangan dalam pentadbiran Sarawak.
Semasa
Perayaan 100 tahun sempena Sarawak di bawah pemerintahan Rajah Putih, Charles Vyner Brooke telah
memperkenalkan Perlembagaan 1941. Seperti yang telah dinyatakan,
perlembagaan ini menjanjikan sebuah kerajaan
sendiri bagi penduduk Sarawak. Namun demikian, perlembagaan ini tidak sempat
dilaksanakan kerana pendudukan Jepun semasa Perang Dunia Kedua (1941 –
1945). Setelah tamat Perang Dunia Kedua, British telah memperkenalkan Pentadbiran
Tentera British (BMA) pada 10 Jun 1945. Ini
merupakan langkah yang perlu diambil untuk memulihkan empayar British
disebabkan kesan peperangan. Kerajaan
British telah mengambil keputusan untuk mengambil alih pentadbiran Sarawak daripada keluarga Brooke.
Charles Vyner Brooke telah bersetuju
menyerahkan Sarawak kepada British.
Pertabalan Charles Vyner Brooke sebagai Rajah Sarawak ketiga |
3.0 Sebab-sebab Penyerahan Sarawak Kepada Kerajaan British
3.1
Desakan British
Desakan yang berterusan daripada kerajaan British sejak sebelum Perang dunia Kedua dibuat
agar pelaburan British di Sarawak lebih terjamin. Ini
antara lain sebab Perlembagaan 1941 diperkenalkan agar pembaharuan pentadbiran
ada dilihat dan dapat menyangkal alasan British yang mengambil Sarawak sebagai
tanah jajahan. Lawatan dua wakil Parti Buruh ke Sarawak pada 1920
menyatakan Sarawak harus dibangunkan dengan lebih pesat lagi. Sir Cecil Clementi yang menjadi Gabenor Negeri-Negeri
Selat ingin menggabungkan pentadbiran Sarawak, Sabah dan Tanah Melayu dalam
satu unit pentadbiran.
3.2
Masalah Kewangan
Perang
Dunia Kedua telah meninggalkan kesan yang amat serius terhadap Sabah dan
Sarawak kerana kemusnahan infrastrukrur dan kelumpuhan ekonomi selepas perang.
Bagi Sarawak, kemusnahan telaga minyak di Miri menyebabkan kerajaan Brooke
menghadapi masalah kewangan untuk membangunkan semula Sarawak. Di samping itu
juga, tindakan Tentera Diraja Australia yang menyerang tentera Jepun di Sarawak
telah menyebabkan kemusnahan infrastruktur seperti 35 buah bangunan sekolah
yang musnah di bom serta tindakan tentera British menggunakan dasar “Bumi
Hangus” apabila kalah di dalam peperangan bagi mengelakkan Jepun
mengeksploitasi ekonomi Sarawak. Tindakan tentera British dan Australia secara
langsung melumpuhkan kegiatan ekonomi di Sarawak. Ini dijadikan alasan oleh
Vyner untuk menyerahkan Sarawak kepada British kerana beliau menyatakan hanya
British yang mampu memulihkan ekonomi Sarawak pada ketika itu.
3.3
Masalah Keluarga
Charles
Vyner Brooke yang sudah uzur pada ketika itu mencecah usia 72 tahun. Beliau
sangat risau tidak ada pengganti dalam meneruskan pemerintahan Rajah Brooke di
Sarawak kerana tidak mempunyai anak lelaki yang boleh menggantikan beliau.
Dalam undang-Undang kerajaan Sarawak pada masa itu, hanya pewaris lelaki yang
dibenarkan untuk mewarisi takhta. Selain
itu, Vyner tidak yakin dengan kebolehan anak saudaranya Anthony Brooke untuk
mewarisi takhta. Malah pernah timbul krisis antara Vyner dengan Anthony apabila
jawatan Raja Muda pernah dilucutkan daripada Anthony. Vyner juga melihat anak
saudaranya tidak mampu dalam mentadbir Sarawak apabila menghadapi masalah dalam
berurusan dengan para pegawai kerajaan Sarawak. Adik beliau, Bertram Brooke
yang membantu beliau menguruskan pentadbiran Sarawak selama ini dilihat tidak mampu menjadi pengganti kerana
sudah tua dan uzur. Masalah pewarisan takhta ini membuatkan Vyner menyerahkan
pentadbiran Sarawak kepada British.
Vyner
juga memberikan alasan yang Sarawak menghadapi masalah kewangan selepas Perang
Dunia Kedua dan kerajaan Brooke tidak mampu membangunkan Sarawak selepas
Perang. Beliau percaya yang kerajaan Britain mampu memulihkan keadaan
insfrastruktur di Sarawak dengan adanya sumbangan dari Welfare Plan Pejabat Kolonial untuk tujuan pembinaan semula
insfrasruktur.
3.4
Faktor-Faktor Ekonomi
Pada mulanya Kepulauan Borneo tidak begitu
dipandang oleh kuasa Barat sebagai sebuah tempat untuk menjana pulangan ekonomi
yang lumayan. Tetapi sejak pertengahan abad yang kesembilan belas, banyak kuasa
Barat yang mengetahui potensi ekonomi Borneo (Brunei, Sabah dan Sarawak)
terutamanya dari hasil bumi yang memberikan keuntungan yang sangat besar.
Pejabat Kolonial telah melihat potensi ekonomi Sarawak yang begitu
menguntungkan terutamanya lombong petroleum yang terdapat di Miri menyebabkan
mereka begitu iri hati. Mereka menggunakan alasan yang hasil ekonomi Sarawak
begitu penting untuk membangunkan taraf sosial di kebanyakan wilayah jajahan
British yang lain. Oleh itu, mereka mesti mengusahakan sumber ekonomi ini
dengan sebaiknya.
Selain
daripada itu juga, British berpendapat Sarawak yang begitu bernilai tidak wajar
dimerdekakan dengan segera dan mereka menggunakan slogan “Penstrukturan Semula
Asia Tenggara Selepas Perang.” Walaupun Piagam Atlantik telah menegaskan
imperialisme wajar dihapuskan selepas Perang Dunia Kedua namun British tetap
ingin menguasai ekonomi di Borneo melalui imperialism.
Sehubungan
dengan itu, perlombongan minyak di Miri telah diusahakan sebuah syarikat milik
British, iaitu Shell Berhad yang menguruskan Sarawak Oil Company dan kerajaan
negeri Sarawak hanya mendapat royalti daripada hasil perlombongan minyak ini. Perusahaan pertanian komersial juga telah
dieksploitasi sepenuhnya oleh British. Pada dasarnya, British memperkenalkan
dasar “Tanah Lebih Banyak Untuk Penanaman Makanan” tetapi pengusahaan lada
hitam, getah dan sagu yang tinggi kerana ia adalah eksport dunia yang
terpenting. Selain itu, Rancangan Lima Tahun telah diperkenalkan oleh British
di Sarawak bagi memulihkan ekonomi dan infrastrukur.
3.5 Membina Ekonomi British yang Lumpuh Selepas
Perang Dunia Kedua
Perang Dunia Kedua yang meletus telah
memberikan kesan yang teruk kepada British kerana perang yang turut berlaku di
Eropah menyebabkan kemusnahan yang teruk di England khasnya serangan dari
Jerman dan Itali. British juga turut berperang di Asia dan Afrika untuk
melindungi tanah jajahannya daripada ditakluki. Peperangan telah menelan kos
yang banyak untuk kegunaan angkatan tenteranya dan pembinaan semula negara
selepas perang.
Menyedari
hakikat ini, Parti Buruh di England telah menekan Vyner Brooke agar
menandatangani Supplementary Act sejak
Oktober 1941 kerana British telah melihat potensi ekonomi Sarawak yang mampu menampung keperluan British di masa
depan. British juga dapat mengukuhkan kewangan untuk program-program ekonomi
kerana sumber mentah Sarawak yang begitu bernilai. Walaupun British telah
menghadapi masalah tenaga buruh yang menjana pendapatan ekonominya namun telah
melakar satu pelan jangka panjang untuk membawa keluar lebihan kewangan dan
tabungan apabila ia sudah mencukupi bagi kegunaan di England. Borneo Company
dan Shell Berhad juga menyokong tindakan British mengambil alih Sarawak
daripada Rajah Brooke kerana mereka yakin yang British mampu menjaga
kepentingan ekonomi mereka di Sarawak.
Perang
Dunia Kedua telah memberikan kesan yang teruk kepada British kerana kekurangan
bahan mentah untuk keperluan industry di Eropah dan juga menampung perbelanjaan
di tanah jajahan yang lain. Dengan ini, kegiatan ekonomi utama seperti getah,
lada hitam, kelapa, kayu balak, sagu dan tembakau telah diusahakan secara
besar-besaran.
4.0 Penyerahan Sarawak Kepada Kerajaaan British
Selepas berakhirnya Perang Dunia
Kedua, pentadbiran di Sarawak adalah di bawah Pentadbiran Tentera British
(BMA). Selepas Sarawak kembali stabil, Charles Vyner Brooke telah pulang ke
Sarawak untuk menuntut semula takhtanya. Namun demikian, desakan daripada
Pejabat Kolonial telah menyebabkan Brooke mengambil keputusan untuyk melepaskan
takhta Sarawak. Oleh itu, pada Disember
1945, Charles Vyner Brooke telah mengadakan rundingan dengan Pejabat Tanah
Jajahan dan bersetuju untuk
menyerahkan Sarawak kepada kerajaan
British.
Sehubungan
dengan ini, Charles Vyner Brooke telah menghantar Gerald
T. MacBryan untuk mendapatkan tandatangan
pemimpin-pemimpin tempatan dan
ketua-ketua bumiputera dalam Majlis
Tertinggi Sarawak. Gerald T. MacBryan
telah menggunakan muslihat dan telah berjaya mendapat persetujuan.
Tanggal 8 Februari 1946, Charles Vyner Brooke mengumumkan persetujuan Majlis Tertinggi Sarawak untuk menyerahkan Sarawak
sebagai Tanah Jajahan Mahkota British tetapi pengumuman ini telah menimbulkan bantahan pelbagai pihak, terutamanya orang Melayu dan Iban. Ini disebabkan tindakan McBryan yang menipu
mereka dalam mendapatkan tandatangan untuk persetujuan. Berdasarkan daripada
kenyataan ini, Pejabat Tanah Jajahan telah mengarahkan Charles Vyner Brooke mendapatkan
persetujuan penyerahan Sarawak secara perundangan dan demokrasi. Setelah
dibahaskan selama tiga hari, Majlis Negeri telah meluluskan Rang Undang-Undang Penyerahan Sarawak kepada kerajaan British atau Cession Bill dengan 18
undi menyokong dan 16 undi menentang.
Berdasarkan daripada majoriti kecil ini, Sarawak diisytiharkan sebagai Jajahan Mahkota British pada 1 Julai 1946 dan Sir Charles Arden Clarke
pula dilantik sebagai Gabenor British yang
pertama di Sarawak.
4.1 Sebab-Sebab Penentangan
Tindakan Charles Vyner Brooke yang
menyerahkan Sarawak kepada British telah menyebabkan Gerakan Anti-Penyerahan. Orang-orang Melayu
dan Iban terus menentang penyerahan tersebut
kerana undi yang menyokong usul penyerahan Sarawak diperoleh
daripada ahli-ahli bukan bumiputera. Penentangan masyarakat Melayu
diketuai oleh Datu Patinggi Abang Haji
Abdillah bin Datu Patinggi Haji
Mohamad Kassim (Ketua Datu-Datu dan
masyarakat Melayu) dan kaum Melayu
terpelajar. Di samping itu, penentangan
juga dilakukan oleh Persatuan Kebangsaan
Melayu Sarawak (PKMS), Barisan
Pemuda Melayu Sibu (BPM), Barisan Pemuda Sarawak
(BPS) dan Persatuan Dayak Sarawak
(PDS). Penentangan untuk penyerahan Sarawak ini wujud atas beberapa faktor.
Antara faktor-faktor wujudnya Gerakan
Anti-penyerahan Sarawak disebabkan bertentangan
dengan Perlembagaan 1941. Ini
menyebabkan orang-orang Melayu dan
Iban menentang penyerahan Sarawak kerana bertentangan
dengan Perlembagaan 1941 yang menjanjikan
kerajaan sendiri kepada Sarawak. Usaha
mereka untuk mendapatkan kemerdekaan
akan semakin sukar jika Sarawak
menjadi jajahan mahkota British.
Tindakan tipu muslihat Charles Vyner Brooke telah membuat keputusan sendiri tanpa berunding dengan ketua-ketua bumiputera dan pemimpin tempatan.
Raja Sarawak yang seterusnya iaitu Anthony
Brooke diketepikan untuk mewarisi takhta Sarawak. Barisan Pemuda Melayu
mendesak Anthony Brooke ditabalkan sebagai
Raja Sarawak yang baru kerana
kesinambungan permerintahan keluarga Brooke akan memudahkan usaha-usaha ke arah kemerdekaan
Sarawak.
4.2 Penentangan Oleh Gerakan
Anti-Penyerahan Sarawak
Gerakan untuk menentang
penyerahan Sarawak sebagai Crown Colony
semakin sengit apabila semangat kemerdekaan yang semakin mendalam di kalanagan
penduduk Sarawak terutamanya di antara mereka yang mendapat pendidikan yang
menggerakkan rakyat terbanyak bumiputera Sarawak untuk turut serta. Penentangan dilakukan dengan menghantar surat bantahan,
kawat, dan telegram kepada
kerajaan British. PKMS pula menganjurkan tunjuk perasaan secara besar-besaran
untuk menentang penyerahan Sarawak. Tunjuk perasaan terus diadakan pada 1 Julai setiap tahun. Tunjuk perasaan yang terbesar diadakan
di Kuching pada 1 Julai 1947. Tunjuk perasaan ini disertai oleh PKMS,
BPM, dan Persatuan Dayak Sarawak. la
bertujuan untuk membantah pelantikan
Gabenor Sarawak yang pertama, iaitu
Sir Charles Arden Clarke. Kaum wanita juga
turut terlibat dengan demonstrasi menentang penyerahan Sarawak seperti Kaum ibu PKMS yang diketuai oleh Cikgu Lily Eberwein sanggup memasuki kawasan
pedalaman untuk mendapatkan simpati dan sokongan daripada orang-orang
Iban. Manakala, Hajah Sharifah Sifah Tunku Osman, Dayang Fauziah, dan Cikgu Ajibah Abol (wakil kaum ibu BPM) mengatur pelbagai demonstrasi untuk menentang penyerahan
Sarawak kepada British.
Sehubungan dengan ini, pada 31 Disember 1946, British telah mengeluarkan satu
notis dikenali sebagai Surat Pekeliling No.9 yang memberi amaran kepada
kakitangan kerajaan supaya terus setia kepada kerajaan agar tidak terlibat
dalam gerakan anti-penyerahan Sarawak. Namun pekeliling
ini menambahkan kemarahan golongan
anti-penyerahan Sarawak dan pada 2 April 1947, seramai 338 orang kakitangan kerajaan (kebanyakannya guru-guru
Melayu) meletakkan jawatan menyebabkan
22 buah sekolah kerajaan terpaksa
ditutup. Pada 3 April 1947, seramai 56
orang pelajar Maktab Perguruan Melayu
Sarawak bertindak meninggalkan
pengajian mereka kerana membantah
surat pekeliling tersebut. Barisan
Pemuda Melayu (BPM) mengadakan
perhimpunan di Sibu dan dihadiri oleh
250 perwakilan bumiputera dari seluruh cawangan BPM. Setiap kampung dikerah membuat poster dan sepanduk. Antara kata-kata anti-penyerahan yang ditulis di poster dan sepanduk ialah:-
"Kami
Membantah Dengan Sekeras-kerasnya Atas Tindakan Brooke Menyerahkan
Sarawak Kepada Kolonial Inggeris "
"Sarawak
Adalah Hak Kami, Leburkan Koloni ".
Rali tunjuk perasaan Anti-Penyerahan pada 1 Julai 1947 sempena setahun Sarawak menjadi Tanah Jajahan British |
4.3 Penentangan Rukun Tiga Belas
Menjelang
akhir tahun 1947, kegiatan gerakan antipenyerahan
semakin lemah akibat pelbagai propaganda
dan kempen yang dilakukan oleh British. Keadaan
ini menyebabkan golongan muda BPM Sibu bertemu secara sulit dan menubuhkan
kumpulan yang dikenali sebagai "Rukun Tiga
Belas" yang dianggotai oleh 13
orang ahli BPM yang radikal. Mereka telah bersumpah untuk menghapuskan pegawai-pegawai Eropah dan pemimpin-pemimpin Melayu
yang menyokong penyerahan Sarawak kepada kerajaan British. Rosli Dhobi ditugaskan untuk membunuh Sir Duncan Stewart (Gabenor Sarawak kedua).
Barisan Pemuda Melayu Sarawak. Rosli Dhobi duduk empat dari kiri |
Pada 3 Disember 1949, semasa Sir Duncan Stewart mengadakan lawatan rasmi ke Sibu, beliau telah ditikam oleh Rosli Dhobi. Akibat daripada serangan ini, Duncan Stewart meninggal dunia di hospital Singapura seminggu kemudian. Pembunuhan Duncan Stewart menyebabkan British menggunakan kekerasan bagi melemahkan gerakan anti-penyerahan. Ini mengakibatkan Rosli Dhobi, Morshidi Sidek, Awang Rambli, dan Bujang Suntong telah dijatuhi hukuman gantung sampai mati. Anggota Rukun Tiga Belas yang lain dipenjarakan. Selepas peristiwa ini, kedudukan British semakin kukuh di Sarawak dan terus berkuasa sehinggalah Sarawak menyertai Malaysia pada tahun 1963.
Rosli Dhobi ditangkap sejurus selepas menikam Gabenor Sarawak Sir Duncan Stewart semasa lawatan beliau ke Sibu |
** Bersambung ke Bahagian Dua yang mengupas tentang gerakan menentang Malayan Union di Malaya.