About Panggaudayak:
An idea from Nicholas J. Ugik launched on late year 2011. Ugik hold a Bachelor Degree of Social Sciences (History Studies) has deep passion about Iban History and it's culture. His hot debut on thesis writing about Development of Iban Culture and Literature (1980-2000) as a break point for himself in Iban studies. Futhermore, he put his lifework on Panggaudayak as a legacy to the future.

"Make history be a path to future"

N.J. Ugik


Friday 6 May 2011

Konsep Bejalai : Urbanisasi dan Perubahan Budaya di Kalangan Masyarakat Iban (1980-2000)

Oleh: Nicholas J. Ugik (BA Soc. Sci., UMS)

Perubahan dan Perkembangan Kebudayaan Iban Menjelang Era 1980-2000

Memang sudah menjadi lumrah bahawa berlakunya perubahan terhadap kebudayaan sesuatu bangsa dan kaum kerana dipengaruhi oleh persekitaran yang lebih dominan dan mudah diterima ramai. Begitu juga dengan kaum Iban yang mengalami perubahan budaya yang sangat ketara apatah lagi dipengaruhi oleh arus pemodenan yang berlaku di sekeliling sekitar 1980-an dan juga ada sesetengah budaya tersebut tidak sinonim lagi diamalkan pada masa kini. Namun yang demikian, ada juga budaya tersebut berasmilasi dan juga disesuaikan dengan cara hidup kontemporari kerana pengekalan terhadap budaya adalah menunjukkan identiti satu rumpun bangsa dan juga etnik yang wajar dipertahankan.

          Dapat dilihat dengan begitu jelas kebudayaan kaum Iban yang harus menjadi warisan adalah ia tidak tabu dan bersesuaian dengan peredaran zaman telah dipertahankan. Perubahan kebudayaan ini juga turut mempengaruhi cara kehidupan masyarakat Iban secara keseluruhannya. Kebanyakan mereka sudah meninggalkan amalan hidup yang lama dan memulakan diari kehidupan yang baru. Perkembangan ini secara jelasnya membawa kepada kelahiran masyarakat Iban yang baru. Dari satu aspek yang lain ia dilihat sebagai ancaman kepada pengekalan kebudayaan dan boleh dianggapkan melupuskan identiti sesuatu kaum seandainya pemeliharaan tidak dilakukan terhadap warisan budaya yang berharga ini.

 Perubahan Budaya Hidup dan Pengamalan Adat Asal

Amalan kehidupan yang dapat dilihat mengalami perubahan besar dalam konteks ini terutamanya menjelang 1980-an ekoran Malaysia sudah mencapai era pemodenan maka ia secara tidak langsung membawa sama masyarakat Iban mengalami perubahan untuk terus relevan kekal sebagai anggota masyarakat yang dinamik. Ini juga bersangkutan dengan keperluan ekonomi yang sudah berubah di mana kegiatan ekonomi tradisional yang sudah ditinggalkan kerana tidak sesuai dengan peredaran zaman.[1] Budaya hidup yang tidak konsisten menyebabkan sebilangan besar masyarakat Iban terutamanya golongan belia juga memilih gaya hidup moden. Perkembangan teknologi maklumat memainkan peranannya apabila media cetak dan elektronik mula menjadi pilihan masyarakat untuk mengikuti keadaan semasa. Faktor penolak kepada isu ini ialah budaya baru yang dominan mengambil alih tempat kebudayaan tradisional yang dilihat tidak begitu popular bagi masyarakat Iban. Tambahan pula golongan muda lebih senang menerima budaya baru memandangkan mereka mula berhijrah ke kawasan bandar dan juga merantau ke tempat orang. Dalam keadaan yang sedemikian juga, pilihan haruslah ditentukan sama ada memilih corak hidup lama atau melih corak kehidupan baru.

          Pertama sekali yang boleh dilihat ialah proses urbanisasi yang berlaku dengan secara giatnya terutamanya perkembangan bandar-bandar utama di Sarawak khususnya industri gas di Bintulu dan juga industri minyak di Miri telah menyebabkan ramai masyarakat Iban yang berpindah ke banda-bandar ini khususnya selepas tahun 1990-an yang menyebabkan pola petempatan kaum Iban berubah selepas daripada tempoh tersebut. Malah generasi mudanya mula berhijrah ke bandar untuk mencuba nasib. Dari satu aspek yang lain, ini boleh diklasfikasilan sebagai perintis kepada adat ‘bejalai” yang telah diamalkan semenjak daripada zaman Iban tradisional iaitu mengembara dari satu tempat ke satu tempat untuk mencari pengalaman.[2]

          Pada zaman moden ini, ia telah berubah konsep menjadi amalan keluar daripada rumah panjang untuk mencari rezeki dan juga menambahkan pengalaman hidup. Malah kepatuhan kepada adat juga membuatkan pemuda Iban ini tidak akan kembali seandainya gagal mendapatkan sesuatu yang boleh menjadi tanda kebanggaan bahawa mereka sudah memperolehi kejayaan di perantauan. Selain daripada itu juga, perkembangan pendidikan di kalangan kaum Iban juga menyebabkan mereka jauh di perantauan untuk menuntut ilmu dan juga berharap dapat mengubah nasib keluarga mereka agar menjadi lebih baik sesuai dengan tuntutan persekitaran yang sudah banyak berubah.

          Penyemaian semangat nenek moyang yang menerapkan amalan ”berjalai “ telah tertanam di dalam diri mereka untuk mendapatkan hasil yang berharga iaitu berjaya dalam pelajaran kerana harapan dan maruah keluarga adalah terletak pada tangan mereka. Namun secara jelasnya ada yang terus menetap di bandar dan tidak lagi mempunyai pemikiran yang Iban haruslah duduk di rumah panjang.[3] Ini menyebabkan ramai orang Iban terutamanya generasi muda zaman ini tidak ramai yang tinggal dalam rumah panjang. Mereka sudah berpecah ke merata tempat dan kawasan. Pekerjaan dan pendidikan adalah paling diutamakan. Pengaruh etnik Iban telah mengubah corak kehidupan rumah panjang dari tradisional ke konsep moden iaitu rumah teres. Pada zaman moden rumah teres dibangunkan di bandar dan penghuninya terdiri dari pelbagai kaum dan etnik seperti Melayu, Cina, India, Melanau dan sebagainya’.[4] Malah ini menyebabkan ruang lingkup sosial masyarakat Iban yang mengalami proses urbanisasi menjadi lebih luas dengan bercampur dengan komuniti lain di kawasan bandar dan tidak hanya terhad di rumah panjang yang hanya terdiri daripada kelompok komuniti Iban sahaja.

          Persoalannya mengapakah kaum Iban dapat menerima perubahan budaya ini dan lari daripada budaya yang lama. Ini sudah tentulah disebabkan perubahan norma dan pegangan masyarakat semasa yang lebih dominan mengatasi amalan tradisi. Penyebaran agama Kristian telah bermula di Sarawak sejak zaman pemerintahan Rajah Brooke iaitu didahului dengan kemasukan Roman Katolik dengan pendakwahnya yang bernama Father Pereira[5] dan kemudiannya diikuti dengan Anglican dan juga Protestan yang lebih dominan di Bahagian Betong manakala Roman Katolik lebih dominan di sekitar bandar Kuching. Setelah itu, kemasukan aliran yang lain seperti Sidang Injil Borneo, Advant Hari Ketujuh dan juga Baptist turut merancakkan pengembangan agama Kristian terutamanya di kalangan masyarakat Iban yang secara majoritinya menganut fahaman tersbut. [6] Ini akhirnya mengubah sudut pandang universal tentang kehidupan dan juga tentang fahaman moden termasuk juga pendidikan barat yang mula diterima oleh masyarakat Iban. Antara Iban Kristian ini juga membuang terus fahaman tradisonal dan juga kepercayaan kepada Tuhan Adat dan pengamalan terhadap budaya juga dikikis sama sekali kerana ia bercanggah dengan ajaran agama.

          Ini ditambah oleh pengaruh urbanisasi yang mula mempengaruhi kehidupan masyarakat Iban.[7]Bagi mereka, ia adalah sesuatu berat untuk diamalkan terutamanya generasi baru yang tidak memahami adat dan budaya Iban dengan secara mendalam terutamanya dalam upacara miring yang begitu kompleks prosesnya dan juga banyak pantang larang yang diamalkan. Tambahan pula, hidup dengan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum di bandar menyebabkan penghayatan kepada kebudayaan Iban yang sejati tidak dapat diamalkan.[8] Malah beberapa adat lain seperti amalan percaya kepada bunyi burung sebagai petanda atau petunjuk alamat juga tidak dapat dijalankan kerana kurang faham dan tidak mengenali burung yang dipercayai dalam amalan Iban tradisional. Atas alasan bahawa pengetahuan yang mendalam, maka ia dirasakan lebih elok untuk dibuang begitu sahaja dan pegangan kepada amalan Kristian yang lebih senang diamalkan dan moderat dengan kebudayaan semasa adalah menjadi pilihan.
          Walau bagaimanapun, tidak semua masyarakat Iban moden yang melupakan tentang perihal kebudayaan asal dan juga adat istiadat malah ada yang masih mengamalkannya juga. Ini merujuk kepada masyarakat Iban yang dominannya masih mendiami rumah panjang dan belum memeluk Kristian. Amalan seperti miring, upacara ritual dan juga perayaan kebanyakan masih dikekalkan kerana mereka percaya ia akan mempengaruhi kehidupan sehari harian da juga akan menimbulkan petanda yang kurang baik terhadap kehidupan masa depan mereka. Di samping itu juga, bagi sesetengah masyarakat Iban pada hari ini menerima agama kristian sebagai pegangan, tetapi dalam masa yang sama masih mengekalkan nilai adat resam dan ciri-ciri kebudayaan yang menjadi lambang tradisi masyarakat Iban.[9]

          Ini adalah berteraskan fahaman mendukung identiti dan warisan bangsa agar tidak melenyapkan sejarah bangsa Iban itu sendiri. Bukanlah halangan bagi mereka untuk menerima Kristian sebagai agama tetapi berpendapat bahawa adat dan budaya patut dipegang memandangkan ia adalah penting. Malah mereka juga menganggap Kristian adalah agama, tetapi budaya dan adat istiadat Iban adalah corak kehidupan masyarakat Iban kerana di situlah asal usul bermula sehinggalah melahirkan jurai keturunan pada hari ini. Hal ini turut ditegaskan aktivis adat asal dan kebudayaan Iban agar identiti kaum Iban perlulah dikekalkan di samping perubahan dalam arus pemodenan yang kian rancak di samping fahaman baru yang turut mempengaruhi corak pemikiran masyarakat Iban moden. [10] Tetapi zaman telah berubah, kini ramai anak-anak kaum Iban telah mempunyai pendidikan, mereka telah mempunyai pekerjaan yang lebih baik untuk menyara keluarga, mereka tidak lagi mengikut jejak orang tua mereka seperti masuk hutan, meghasilkan kraftangan, berhuma dan sebagainya. Tapi ada di antara mereka tetap mengikut adat mereka walapun zaman telah berubah.
          Antara budaya yang tidak diamalkan lagi pada masa kini ialah tradisi dan amalan ngayap tidak lagi diamalkan di dalam arus pembangunan dan cara hidup yang lebih bersifat kemodenan, justeru itu perjumpaan si teruna dan dara dijalankan semasa maljlis keramaian, seperti gawai, pergaulan di sekolah, di institusi pengajian tinggi, atau di tempat kerja pasangan masing-masing.[11] Namun demikian ngayap adalah sebahagian kecil daripada budaya warisan Iban, untuk mengelakan budaya ini dari disalahgunakan oleh generasi baru, maka amalan ini harus dihadkan untuk orang Iban sahaja,sekiranya terdapat pelanggaran adap atau campur tangan kaum lain di dalam amalan ini, maka undang-undang boleh diambil seperti yang termaktup dalam Seksyen 132 Adat Iban, 1993.[12]

          Tetapi, menjelang zaman moden amalan ini mula dihapuskan secara beransur-ansur malah ia terhapus dengan sendirinya apabila ia dilihat bukanlah cara yang sesuai dengan norma kehidupan masyarakat Iban itu sendiri. Malah ia dianggap tabu dan juga boleh menjerumuskan kepada perlakuan sumbang mahram kerana dalam zaman moden, adat bukanlah keutamaan tetapi gaya hidup dan pengaruh persekitaran yang memainkan peranan.[13] Dalam hal ini seperti yang telah dinyatakan, kedudukan dan peranan wanita dalam masyarakat Iban mula diberikan perhatian dan ini jelas apabila Persatuan Wanita Dayak Iban Sarawak (SADIA) ditubuhkan. Malah beberapa tokoh wanita Iban yang terkenal seperti Tan Sri Tra Zender yang berperanan dalam Dayak Cultural Association dan juga Datuk Seri Empiang Jabu yang turut bergiat dalam bidang politik tanah air dan juga persatuan-persatuan yang melibatkan masyarakat Iban.

          Seterusnya dalam menentukan status dan juga kedudukan yang pada masa dulunya adalah ditentukan jumlah tajau dan juga kebolehan dalam ekspedisi perang. Pada masa ini, kekayaan bahan-bahan tersebut tidak lagi dianggap sebagai barang berharga dari generasi sekarang kecuali tanah adat mereka yang perlu dipertahankan sebagai warisan. Tanah adat ini telah dianggap sebagai milik yang berharga dan warisan oleh Iban dalam perkembangan pertanian komersial.[14] Dalam pada itu, hak-hak orang-orang Iban atas tanah tersebut telah menjadi subjek isu politik oleh para pemimpin pemerintah masa kini. Kekayaan material yang lain telah menjadi sekadar pusaka keluarga. Ini telah digantikan dengan taraf pendidikan yang boleh digunakan untuk menguruskan pengetahuan pertanian dan komersil serta suara untuk menyertai dalam pemerintahan dan pembangunan negara, untuk mencari pekerjaan di kawasan bandar yang lebih penting untuk generasi sekarang.

          Amalan memburu kepala yang menjadi perkara wajib dalam adat tradisonal Iban juga telah lama dihapuskan kerana ia dianggap tidak berperikemanusian dan barbarian. Tetapi konsep ini telah diubah kepada hidup moden yang berkuncikan kepada kesungguhan dan sifat tidak berputus asa. Ini akan merintis kejayaan mereka dalam bidang mereka sendiri dan hidup dan sifat yang dimiliki akan menentukan status mereka dalam komuniti mereka seperti nenek moyang terdahulu yang meneroka kawasan baru untuk petempatan dan juga aktiviti memburu kepala (ngayau). Itulah sebabnya Iban kontemporari akan selalu berusaha untuk meniru kejayaan nenek moyang mereka. Para Iban harus gigih, tajam, rajin dan sabar jika mereka berjaya menguasai cabaran hidup moden.[15] Ini akan menentukan maruah dan juga status mereka dalam masyarakat malah inilah tuntutan cabaran hidup yang perlu dipenuhi. Mereka harus meniru semangat perintis nenek moyang mereka, yang telah berjaya memenuhi matlamat mereka atau cita-cita dalam mencari tanah baru pada hari-hari merintis dan dan juga dalam amalan memburu kepala. Semangat yang sama mesti dijaga dan digunakan untuk menghadapi cabaran hidup moden.

 Perkembangan Dalam Perayaan Masyarakat Iban

Seiring dengan perubahan zaman yang menganjak ke arah ke pemodenan, maka cara dan pendekatan yang dilakukan oleh kaum Iban dalam mengadakan perayaan juga turut berubah. Banyak perkara yang perlu diambil kira dalam perubahan yang dilakukan oleh masyarakat Iban ini. Dalam perkara ini, perubahan yang dilakukan telah mengubah landskap budaya itu sendiri kerana keaslian budaya tradisi telah berasmilasi dengan budaya baru yang datang menyerap ke dalam kehidupan masyarakat Iban.[16] Dalam perayaan dan festival tradisional yang dilangsungkan, sudah tertera dengan jelas bagaimana bentuk yang dimaksudkan tersebut.

           Namun yang demikian, ada juga segelintir daripada kumpulan masyarakat Iban yang sedaya upaya mempertahankan keaslian budaya tersebut khususnya sebahagian besar masyarakat Iban pedalaman dan tidak kurang juga orang Iban yang berpendidikan juga masih memegang kuat adat dan mengadakan festival dan perayaan mengikut adat tradisi kerana seperti yang sudah dijelaskan mereka masih patuh kepada pemikiran bahawa kaum Iban ini masih berpegang kuat kepada perkara yang spiritual dan juga roh alam ghaib sentiasa bersama mereka.[17] Memang tidak dapat dinafikan bahawa kemasukan budaya baru dan juga penyerapan agama luar khususnya Kristian dan juga sebilangan kecil yang menganut Islam telah mengikis tatacara yang diamalkan dalam menyambut perayaan dalam masyarakat Iban.

          Gawai besar yang diamalkan oleh masyarakat Iban seperti Gawai Antu telah mengalami banyak perubahan terutamanya dalam ritual dan juga pengisiannya. Dalam era pemodenan yang telah mula bercambah di Sarawak, kaum Iban lebih senang merayakannya dengan cara yang baru dengan alasan tidak bercanggah dengan ajaran Kristian. Manakala yang sudah menganut Islam sebilangan kecilnya tidak merayakannya kerana ia adalah tabu dalam pegangan mereka. Upacara seperti mengap (nyanyian ritual), ngirup jalong (tuak yang telah mengalami proses nyanyian ritual) dan nyungkup (menganyam) langsung tidak ada dalam pengisian tetapi digantikan dengan upacara menyalakan lilin di kuburan dan kerja membersihkan kubur dan juga paderi mengambil alih tempat untuk memimpin dalam ritual memperingati roh si mati dengan doa dan juga amalan Kristian.

          Pada malam perayaan, penghuni rumah panjang dan tetamu hanya dihidang dengan juadah dan minuman serta berhibur dengan hiburan kontemporari sehinggalah ke pagi keesokkannya. Kalau hendak diambil perbandingan, hanya segelintir kecil yang masih mengamalkan amalan sambutan Gawai Antu secara tradisi dan tidak dapat dipastikan sampai bila ia akan dapat dipertahankan. Bagi yang sudah beremigrasi ke kawasan bandar, perayaan ini langsung tidak disambut dan hanya pergi menziarahi kuburan ahli keluarga bila tibanya Krismas untuk sedekahkan doa dan mengingati si mati. Kekangan budaya terhadap cara hidup mungkin menjadi punca masyarakat Iban moden mengambil pendekatan membuang amalan yang kompleks dan mengambil yang masih relevan dalam mengadakan festival Gawai Antu.

          Sehubungan dengan itu juga, Gawai Pangkong Tiang dan juga Gawai Burong juga mengalami nasib yang sama seperti mana gawai Antu. Keasliannya tidak ada lagi dan banyak menyerap masuk budaya luar dalam pengisiannya. Motifnya bukanlah untuk semata-mata ritual untuk rumah panjang yang telah didirikan tetapi sebagai medan untuk menunjukkan status dengan kecantikan renovasi rumah panjang, jumlah tetamu yang dijemput, jumlah saudara mara dan juga hubungan dengan orang-orang kenamaan juga ditonjolkan di sini melalui jemputan.[18] Malah kuantiti hidangan yang disediakan di samping minuman keras yang mahal-mahal juga ditonjolkan semasa perayaan ini. Ini sekaligus mengangkat status dengan kekayaan yang cuba ditunjukkan. Malah persaingan di kalangan penghuni rumah panjang dalam menyediakan layanan yang terbaik adalah menjadi buah mulut dan segala kekurangan akan cuba diatasi agar tidak menjadi berita yang kurang manis.

          Gawai Burong yang suatu ketika dulu biasanya upacara individu kerana mendapat alamat daripada dewa menerusi mimpi dan juga untuk amalan ritual.[19] Biasanya ia adalah dilakukan oleh para pahlawan yang ternama dalam sesuatu kelompok masyarakat, tetapi pada masa kini peraturan ini telah diubahsuai di zaman moden dengan peranan askar diambil alih oleh orang-orang senior dan orang kenamaan yang dihormati semasa gawai Burong. Jika dilihat melaui aspek yang lain, perubahan dalam amalan ini adalah disebabkan golongan muda tidak menghayati kebudayaan lama yang tidak relevan dengan mereka dan budaya yang baru menjadi lebih dominan. Amalan ritual yang dilakukan semasa festival juga rumit dan ini menyebabkan mereka menolak perkara-perkara yang tidak difahami.

          Gawai Dayak yang merupakan perayaan tahunan masyarakat Iban untuk menandakan tamatnya musim menuai dan merupakan tahun baru dalam kalendar Iban mula disambut secara komersial dan ia dijadikan perayaan identiti bagi kaum Iban pada zaman moden ini. Setelah Tahun Melawat Malaysia dilancarkan menjelang tahun 1994, maka Gawai Dayak telah dipromosikan dan disambut di peringkat negeri untuk menjadi tatapan pelancong. Di Bandaraya Kuching, perayaan Gawai Dayak bermula seminggu sebelum ketibaan 1 Jun dengan perarakan di jalanan dan aktiviti budaya. Pada menjelang Gawai, sebuah pertandingan  kecantikan diadakan dengan beberapa penobatan Ratu Gawai (Kumang) dan juga Raja Gawai (Keling), bagi masyarakat Iban dan tidak ketinggalan juga bagi masyarakat Bidayuh dan Orang Ulu. Manakala di peringkat rumah panjang pula, hiburan moden telah menggantikan hiburan tradisional bagi memeriahkan perayaan ini dan juga amalan ritual yang seharusnya diamalkan kebanyakan dipinggirkan.

          Namun ada juga segelintirnya masih mengamalkan adat ini walaupun tidak sepenuhnya umpamanya seperti upacara miring dan ngalu petara (simbolik perarakan menyambut kedatangan Dewa) yang kadang-kadangnya terlepas dalam pengisian. Malah ritual yang lain juga sedikit demi sedikit terhakis kerana anggota masyarakat khususnya golongan tua makin berkurangan. Bagi masyarakat Iban di bandar pula, mereka meraikannya dengan makan sekeluarga dan berkunjung ke rumah kenalan yang lain dan unsur-unsur Kristian menggantikan unsur ritual seperti mana juga rumah panjang yang mengamalkan agama Kristian bagi menggantikan budaya tradisi.
 
Kesimpulan

Kebudayaan Iban yang unik ini ialah warisan turun temurun yang berkaitan rapat dengan amalan hidup masyarakat Iban awal. Sehubungan dengan itu juga, kebudayaan ini juga turut berkait rapat dengan kepercayaan tradisional masyarakat Iban kerana beberapa kebudayaan yang mengandungi unsur-unsur ritual yang yang berkaitan rapat dengan kepercayaan. Malah kebudayaan ini dilihat sebagai asas pembinaan ketamadunan Iban walaupun ia tidaklah menonjol namun tetap menarik perhatian untuk dikaji. Seperti dalam perayaan yang mempunyai unsur ritualnya sendiri, dalam upacara miring yang merupakan persembahan kepada Tuhan Adat sehinggakan ke dalam upacara ngayau, menyabung ayam dan juga tenunan yang mempunyai unsur-unsur ghaibnya yang tersendiri. Namun perubahan zaman secara tidak langsung telah menghakis amalan budaya tradisi masyarakat Iban kerana masyarakatnya perlu fleksibel dengan perubahan bagi menjamin kelangsungan hidup yang sungguh mencabar ini. Namun yang demikian, ia masih tidak pupus malah kebudayaan Iban ini masih dikekalkan walaupun secara asasnya ia tidaklah setulen kebudayaan Iban yang lama. Seharusnya kebudayaan adalah sesuatu yang sangat bernilai kerana ia adalah identiti dan juga sebagai warisan asal usul kewujudan satu-satu kaum ataupun bangsa. Tanpa budaya tradisi yang sejati, maka bangsa tersebut tidak akan tahu asal usul dan identiti mereka kelak.


[1] Kedit, Peter M., An Overview of Iban Traditional Cultural Values and Social Norms, and Their Implications for Contemporary Sarawak, Sarawak Museum Journal, (40),Kuching: Sarawak Museum, 1989, hlm. 1.

[2] Ibid,. hlm. 12.

[3] Kedit Peter M., Meanwhile, Back Home...Bejalai and Their Effects on Iban Men and Women, In Female          and Male in Borneo: Contributions and Challenges to Gender Studies…, hlm. 27.

[4] Ngui Sing Yee, Jaequeline, Perubahan Sosial di Kalangan Masyarakat Iban Rumah Panjang Nanga Ribong, Bahagian Daerah Sarikei, Negeri Sarawak, Kuala Lumpur: Universiti Malaya, Jabatan Sosio Budaya, Akademi Pengajian Melayu, 2000, hlm. 79.

[5] Wan Kamal Mujani & Noraizah Yusuf, Islam dan Missionary Di Sarawak: Kesan         Terhadap Pendidikan Pada Zaman Crown Colony, 1841-1941, Jurnal Sosiohumanika, Vol. 3. (2), 2010, hlm. 229.

[6] Ibid,. hlm. 231.

[7] Ngui Sing Yee, Jaequeline. op. cit., hlm 85.

[8] Kedit, Peter M.. op. cit., hlm. 7.

[9] Mohd. Taib Osman, Iban Cultural Heritage nn the Context of Present Day Malaysia, Sarawak Museum Journal, (40), Kuching: Sarawak Museum, 1989,  hlm. 18.

[10] Mohd. Taib Osman, op. cit., hlm. 19.

[11] Leigh, Michael, The Iban: Contemporary Issue and Dilemmas, Sarawak Museum Journal, (40), Kuching: Sarawak Museum, 1989,  hlm. 98.

[12] Adat Iban: Tusun Tunggu, Kuching: Jabatan Ketua Menteri (Majlis Adat Istiadat), 1993.

[13]Ko, Joseph Tee Hock, A Socioeconomic Study of the Iban Today, Sarawak Museum Journal, (40), Kuching: Sarawak Museum, 1989,  hlm. 83.

[14] Native Custom Rights (NCR) telah mula diwujudkan semenjak zaman Charles Brooke lagi bagi menjamin ketuanan peribumi Sarawak terjaga di samping migrasi besar-besaran buruh Cina pada masa itu.          Pringle, Robert, Rajah And The Rebels: The Iban Of Sarawak Under Brooke Rule (1841-194),          New York: MacMillan, 1970, hlm. 54.

[15] Ko, Joseph Tee Hock, op. cit., hlm. 83.

[16] Sultive, H. Vinson. op. cit., hlm 127.

[17] Leigh, Michael, op. cit., hlm. 99.
[18] Temuramah dengan Tunggay Anak Mula. Kesusasteraan dan Kebudayaan Iban, Kediaman beliau di Kuching, 7 Jun 2010.

[19] Temuramah Abang Anak Manjan, Kesusasteraan dan Kebudayaan Iban, Rumah Pengiran, Nanga Rebuh,      Pakan, 26  Mei 2010.

No comments:

Post a Comment