About Panggaudayak:
An idea from Nicholas J. Ugik launched on late year 2011. Ugik hold a Bachelor Degree of Social Sciences (History Studies) has deep passion about Iban History and it's culture. His hot debut on thesis writing about Development of Iban Culture and Literature (1980-2000) as a break point for himself in Iban studies. Futhermore, he put his lifework on Panggaudayak as a legacy to the future.

"Make history be a path to future"

N.J. Ugik


Wednesday 22 November 2017

KEBANGKITAN NASIONALISME: SARAWAK DAN MALAYA SELEPAS PERANG DUNIA KEDUA (Bahagian 1)

Nicholas J. Ugik (BA Soc. Sce)

1.0 PENDAHULUAN
Peristiwa kebangkitan nasionalisme di Tanah Melayu dan Sarawak menjadi lebih ketara selepas Perang Dunia Kedua apabila dua peristiwa utama telah berlaku di Sarawak dan Tanah Melayu. Ini bukan disebabkan oleh faktor semerta-merta yang membangkitkan kesedaran ini tetapi disebabkan beberapa peristiwa yang telah berlaku dalam tahun 1930-an lagi. Dasar penjajah British yang menghantar anak-anak bangsawan Melayu untuk melanjutkan pelajaran sudah mula menampakkan kesannya dengan kebangkitan perasaan nasionalisme yang timbul dalam diri mereka selepas melihat sendiri keadaan di negara luar yang memperjuangkan hak kemerdekaan. Pelajar yang menuntut di Universiti Al-Azhar telah terpengaruh dengan gerakan Pan-Islam di Timur Tengah. Tambahan itu juga, kejayaan Jepun dalam Perang Rusia-Jepun 1905 juga menjadi pemangkin kerana sebuah negara Asia yang kecil mampu menumbangkan Rusia yang gah. 

Tunjuk perasaan orang Melayu untuk membantah penubuhan Malayan Union

Di Sarawak, Gerakan Anti Penyerahan (Anti-cession Movement) dan di Tanah Melayu diwarnai dengan penentangan terhadap Malayan Union iaitu sebuah gagasan yang ingin membentuk negara bangsa (nation state). Ia bertujuan untuk menyamaratakan kerakyatan Tanah Melayu yang menjadi rakyat Jajahan Mahkota British. Manakala di Sarawak ialah menjadikan Sarawak sebagai Tanah Jajahan Mahkota British. Ini menimbulkan penentangan daripada rakyat Sarawak (rata-ratanya bumiputera) yang ingin berkerajaan sendiri dan juga kaum  Melayu di Tanah Melayu yang ingin mengekalkan hak keistimewaan Melayu dalam tanah air sendiri.
Situasi tunjuk perasaan aman Anti-Penyerahan Sarawak

2.0 PERISTIWA ANTI-PENYERAHAN DI SARAWAK
2.1 Perlembagaan 1941
Pertama sekali kita meneliti dulu tentang peristiwa anti-penyerahan yang berlaku di Sarawak selepas Perang Dunia Kedua. Peristiwa ini adalah berkaitan dengan perlembagaan 1941 yang diperkenalkan oleh Rajah Charles Vyner Brooke yang berhasrat menjadikan Sarawak sebuah negara dengan pentadbiran sendiri.
Raja Sarawak yang terakhir ialah Charles Vyner Brooke telah menggubal sebuah perlembagaan untuk menyediakan Sarawak ke arah berkerajaan sendiri. Alasannya untuk memberikan peluang kepada anak Sarawak mentadbir negara sendiri. Janji ini mendekatkan Sarawak dengan kemerdekaan. Ini antara lain ialah desakan daripada kerajaan British agar pembaharuan pentadbiran perlu dilakukan oleh Brooke untuk mengelakkan Sarawak diambil alih oleh kerajaan British. Dari awal lagi, pentadbiran British di Negeri-Negeri Selat cuba mengambil Sarawak atas kepentingan ekonomi. Mereka menganggap Vyner ialah seorang pemerintah yang lemah dan tidak mampu menjaga kepentingan pelabur British dan Eropah di Sarawak tetapi kenyataan mereka ternyata meleset kerana beliau tidak memberikan British peluang untuk campur tangan dalam pentadbiran Sarawak.
            Semasa Perayaan 100 tahun sempena Sarawak di bawah pemerintahan Rajah Putih, Charles Vyner Brooke telah memperkenalkan Perlembagaan 1941. Seperti yang telah dinyatakan, perlembagaan ini menjanjikan sebuah kerajaan sendiri bagi penduduk Sarawak. Namun demikian, perlembagaan ini tidak sempat dilaksanakan kerana pendudukan Jepun semasa Perang Dunia Kedua (1941 – 1945). Setelah tamat Perang Dunia Kedua, British telah memperkenalkan Pentadbiran Tentera British (BMA) pada 10 Jun 1945. Ini merupakan langkah yang perlu diambil untuk memulihkan empayar British disebabkan kesan peperangan. Kerajaan British telah mengambil keputusan untuk mengambil alih pentadbiran Sarawak daripada keluarga Brooke. Charles Vyner Brooke telah  bersetuju menyerahkan Sarawak kepada British.
Pertabalan Charles Vyner Brooke sebagai Rajah Sarawak ketiga

 3.0 Sebab-sebab Penyerahan Sarawak Kepada Kerajaan British
3.1 Desakan British
Desakan yang berterusan daripada kerajaan British sejak sebelum Perang dunia Kedua dibuat agar pelaburan British di Sarawak lebih terjamin. Ini antara lain sebab Perlembagaan 1941 diperkenalkan agar pembaharuan pentadbiran ada dilihat dan dapat menyangkal alasan British yang mengambil Sarawak sebagai tanah jajahan. Lawatan dua wakil Parti Buruh ke Sarawak pada 1920 menyatakan Sarawak harus dibangunkan dengan lebih pesat lagi. Sir Cecil Clementi yang menjadi Gabenor Negeri-Negeri Selat ingin menggabungkan pentadbiran Sarawak, Sabah dan Tanah Melayu dalam satu unit pentadbiran.
3.2 Masalah Kewangan
Perang Dunia Kedua telah meninggalkan kesan yang amat serius terhadap Sabah dan Sarawak kerana kemusnahan infrastrukrur dan kelumpuhan ekonomi selepas perang. Bagi Sarawak, kemusnahan telaga minyak di Miri menyebabkan kerajaan Brooke menghadapi masalah kewangan untuk membangunkan semula Sarawak. Di samping itu juga, tindakan Tentera Diraja Australia yang menyerang tentera Jepun di Sarawak telah menyebabkan kemusnahan infrastruktur seperti 35 buah bangunan sekolah yang musnah di bom serta tindakan tentera British menggunakan dasar “Bumi Hangus” apabila kalah di dalam peperangan bagi mengelakkan Jepun mengeksploitasi ekonomi Sarawak. Tindakan tentera British dan Australia secara langsung melumpuhkan kegiatan ekonomi di Sarawak. Ini dijadikan alasan oleh Vyner untuk menyerahkan Sarawak kepada British kerana beliau menyatakan hanya British yang mampu memulihkan ekonomi Sarawak pada ketika itu.

3.3 Masalah Keluarga
Charles Vyner Brooke yang sudah uzur pada ketika itu mencecah usia 72 tahun. Beliau sangat risau tidak ada pengganti dalam meneruskan pemerintahan Rajah Brooke di Sarawak kerana tidak mempunyai anak lelaki yang boleh menggantikan beliau. Dalam undang-Undang kerajaan Sarawak pada masa itu, hanya pewaris lelaki yang dibenarkan untuk mewarisi takhta.  Selain itu, Vyner tidak yakin dengan kebolehan anak saudaranya Anthony Brooke untuk mewarisi takhta. Malah pernah timbul krisis antara Vyner dengan Anthony apabila jawatan Raja Muda pernah dilucutkan daripada Anthony. Vyner juga melihat anak saudaranya tidak mampu dalam mentadbir Sarawak apabila menghadapi masalah dalam berurusan dengan para pegawai kerajaan Sarawak. Adik beliau, Bertram Brooke yang membantu beliau menguruskan pentadbiran Sarawak selama ini  dilihat tidak mampu menjadi pengganti kerana sudah tua dan uzur. Masalah pewarisan takhta ini membuatkan Vyner menyerahkan pentadbiran Sarawak kepada British.
            Vyner juga memberikan alasan yang Sarawak menghadapi masalah kewangan selepas Perang Dunia Kedua dan kerajaan Brooke tidak mampu membangunkan Sarawak selepas Perang. Beliau percaya yang kerajaan Britain mampu memulihkan keadaan insfrastruktur di Sarawak dengan adanya sumbangan dari Welfare Plan Pejabat Kolonial untuk tujuan pembinaan semula insfrasruktur.
3.4 Faktor-Faktor Ekonomi
Pada mulanya Kepulauan Borneo tidak begitu dipandang oleh kuasa Barat sebagai sebuah tempat untuk menjana pulangan ekonomi yang lumayan. Tetapi sejak pertengahan abad yang kesembilan belas, banyak kuasa Barat yang mengetahui potensi ekonomi Borneo (Brunei, Sabah dan Sarawak) terutamanya dari hasil bumi yang memberikan keuntungan yang sangat besar. Pejabat Kolonial telah melihat potensi ekonomi Sarawak yang begitu menguntungkan terutamanya lombong petroleum yang terdapat di Miri menyebabkan mereka begitu iri hati. Mereka menggunakan alasan yang hasil ekonomi Sarawak begitu penting untuk membangunkan taraf sosial di kebanyakan wilayah jajahan British yang lain. Oleh itu, mereka mesti mengusahakan sumber ekonomi ini dengan sebaiknya.
            Selain daripada itu juga, British berpendapat Sarawak yang begitu bernilai tidak wajar dimerdekakan dengan segera dan mereka menggunakan slogan “Penstrukturan Semula Asia Tenggara Selepas Perang.” Walaupun Piagam Atlantik telah menegaskan imperialisme wajar dihapuskan selepas Perang Dunia Kedua namun British tetap ingin menguasai ekonomi di Borneo melalui imperialism.
            Sehubungan dengan itu, perlombongan minyak di Miri telah diusahakan sebuah syarikat milik British, iaitu Shell Berhad yang menguruskan Sarawak Oil Company dan kerajaan negeri Sarawak hanya mendapat royalti daripada hasil perlombongan minyak ini. Perusahaan pertanian komersial juga telah dieksploitasi sepenuhnya oleh British. Pada dasarnya, British memperkenalkan dasar “Tanah Lebih Banyak Untuk Penanaman Makanan” tetapi pengusahaan lada hitam, getah dan sagu yang tinggi kerana ia adalah eksport dunia yang terpenting. Selain itu, Rancangan Lima Tahun telah diperkenalkan oleh British di Sarawak bagi memulihkan ekonomi dan infrastrukur.
3.5  Membina Ekonomi British yang Lumpuh Selepas Perang Dunia Kedua
Perang Dunia Kedua yang meletus telah memberikan kesan yang teruk kepada British kerana perang yang turut berlaku di Eropah menyebabkan kemusnahan yang teruk di England khasnya serangan dari Jerman dan Itali. British juga turut berperang di Asia dan Afrika untuk melindungi tanah jajahannya daripada ditakluki. Peperangan telah menelan kos yang banyak untuk kegunaan angkatan tenteranya dan pembinaan semula negara selepas perang.
            Menyedari hakikat ini, Parti Buruh di England telah menekan Vyner Brooke agar menandatangani Supplementary Act  sejak Oktober 1941 kerana British telah melihat potensi ekonomi Sarawak yang  mampu menampung keperluan British di masa depan. British juga dapat mengukuhkan kewangan untuk program-program ekonomi kerana sumber mentah Sarawak yang begitu bernilai. Walaupun British telah menghadapi masalah tenaga buruh yang menjana pendapatan ekonominya namun telah melakar satu pelan jangka panjang untuk membawa keluar lebihan kewangan dan tabungan apabila ia sudah mencukupi bagi kegunaan di England. Borneo Company dan Shell Berhad juga menyokong tindakan British mengambil alih Sarawak daripada Rajah Brooke kerana mereka yakin yang British mampu menjaga kepentingan ekonomi mereka di Sarawak.
            Perang Dunia Kedua telah memberikan kesan yang teruk kepada British kerana kekurangan bahan mentah untuk keperluan industry di Eropah dan juga menampung perbelanjaan di tanah jajahan yang lain. Dengan ini, kegiatan ekonomi utama seperti getah, lada hitam, kelapa, kayu balak, sagu dan tembakau telah diusahakan secara besar-besaran.

4.0 Penyerahan Sarawak Kepada Kerajaaan British
Selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua, pentadbiran di Sarawak adalah di bawah Pentadbiran Tentera British (BMA). Selepas Sarawak kembali stabil, Charles Vyner Brooke telah pulang ke Sarawak untuk menuntut semula takhtanya. Namun demikian, desakan daripada Pejabat Kolonial telah menyebabkan Brooke mengambil keputusan untuyk melepaskan takhta Sarawak. Oleh itu,  pada Disember 1945, Charles Vyner Brooke telah mengadakan rundingan dengan Pejabat Tanah Jajahan dan bersetuju untuk menyerahkan Sarawak kepada kerajaan British.
            Sehubungan dengan ini, Charles Vyner Brooke telah menghantar Gerald T. MacBryan untuk mendapatkan tandatangan pemimpin-pemimpin tempatan dan ketua-ketua bumiputera dalam Majlis Tertinggi Sarawak. Gerald T. MacBryan telah menggunakan muslihat dan telah berjaya mendapat persetujuan. Tanggal 8 Februari 1946, Charles Vyner Brooke mengumumkan persetujuan Majlis Tertinggi Sarawak untuk menyerahkan Sarawak sebagai Tanah Jajahan Mahkota British tetapi pengumuman ini telah menimbulkan bantahan pelbagai pihak, terutamanya orang Melayu dan Iban. Ini disebabkan tindakan McBryan yang menipu mereka dalam mendapatkan tandatangan untuk persetujuan. Berdasarkan daripada kenyataan ini, Pejabat Tanah Jajahan telah mengarahkan Charles Vyner Brooke mendapatkan persetujuan penyerahan Sarawak secara perundangan dan demokrasi. Setelah dibahaskan selama tiga hari, Majlis Negeri telah meluluskan Rang Undang-­Undang Penyerahan Sarawak kepada kerajaan British atau Cession Bill dengan 18 undi menyokong dan 16 undi menentang. Berdasarkan daripada majoriti kecil ini, Sarawak diisytiharkan sebagai Jajahan Mahkota British pada 1 Julai 1946 dan Sir Charles Arden Clarke pula dilantik sebagai Gabenor British yang pertama di Sarawak.
Rajah Charles Vyner Brooke (duduk kiri) menandatangani surat penyerahan Sarawak
kepada kerajaan British di hadapan Gerald T MacBrayan (duduk dua kanan) sambil
disaksikan para pembesar Majlis Tertinggi Sarawak 

4.1 Sebab-Sebab Penentangan
Tindakan Charles Vyner Brooke yang menyerahkan Sarawak kepada British telah menyebabkan Gerakan Anti-Penyerahan. Orang-orang Melayu dan Iban terus menentang penyerahan tersebut kerana undi yang menyokong usul penyerahan Sarawak diperoleh daripada ahli-ahli bukan bumiputera. Penentangan masyarakat Melayu diketuai oleh Datu Patinggi Abang Haji Abdillah bin Datu Patinggi Haji Mohamad Kassim (Ketua Datu­-Datu dan masyarakat Melayu) dan kaum Melayu terpelajar. Di samping itu, penentangan juga dilakukan oleh Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS), Barisan Pemuda Melayu Sibu (BPM), Barisan Pemuda Sarawak (BPS) dan Persatuan Dayak Sarawak (PDS). Penentangan untuk penyerahan Sarawak ini wujud atas beberapa faktor. Antara faktor-faktor wujudnya Gerakan Anti-penyerahan Sarawak disebabkan bertentangan dengan Perlembagaan 1941. Ini menyebabkan orang-orang Melayu dan Iban menentang penyerahan Sarawak kerana bertentangan dengan Perlembagaan 1941 yang menjanjikan kerajaan sendiri kepada Sarawak. Usaha mereka untuk mendapatkan kemerdekaan akan semakin sukar jika Sarawak menjadi  jajahan mahkota British. Tindakan tipu muslihat Charles Vyner Brooke telah membuat keputusan sendiri tanpa berunding dengan ketua-ketua bumiputera dan pemimpin tempatan. Raja Sarawak yang seterusnya iaitu Anthony Brooke diketepikan untuk mewarisi takhta Sarawak. Barisan Pemuda Melayu mendesak Anthony Brooke ditabalkan sebagai Raja Sarawak  yang baru kerana kesinambungan permerintahan keluarga Brooke akan memudahkan usaha-usaha ke arah kemerdekaan Sarawak.
4.2 Penentangan Oleh Gerakan Anti-Penyerahan Sarawak
Gerakan untuk menentang penyerahan Sarawak sebagai Crown Colony semakin sengit apabila semangat kemerdekaan yang semakin mendalam di kalanagan penduduk Sarawak terutamanya di antara mereka yang mendapat pendidikan yang menggerakkan rakyat terbanyak bumiputera Sarawak untuk turut serta. Penentangan dilakukan dengan menghantar surat bantahan, kawat, dan telegram kepada kerajaan British. PKMS pula menganjurkan tunjuk perasaan secara besar-besaran untuk menentang penyerahan Sarawak. Tunjuk perasaan terus diadakan pada 1 Julai setiap tahun. Tunjuk perasaan yang terbesar diadakan di Kuching pada 1 Julai 1947. Tunjuk perasaan ini disertai oleh PKMS, BPM, dan Persatuan Dayak Sarawak. la bertujuan untuk membantah pelantikan Gabenor Sarawak yang pertama, iaitu Sir Charles Arden Clarke. Kaum wanita juga turut terlibat dengan demonstrasi menentang penyerahan Sarawak seperti Kaum ibu PKMS yang diketuai oleh Cikgu Lily Eberwein sanggup memasuki  kawasan pedalaman untuk mendapatkan simpati dan sokongan daripada orang-orang Iban. Manakala, Hajah Sharifah Sifah Tunku Osman, Dayang Fauziah, dan Cikgu Ajibah   Abol   (wakil kaum ibu BPM) mengatur pelbagai demonstrasi untuk menentang penyerahan Sarawak kepada British.
Sehubungan dengan ini, pada 31 Disember 1946, British telah mengeluarkan satu notis dikenali sebagai Surat Pekeliling No.9 yang memberi amaran kepada kakitangan kerajaan supaya terus setia kepada kerajaan agar tidak terlibat dalam gerakan anti-penyerahan Sarawak. Namun pekeliling ini menambahkan kemarahan golongan anti-penyerahan Sarawak dan pada 2 April 1947, seramai 338 orang kakitangan kerajaan (kebanyakannya guru-guru Melayu) meletakkan jawatan menyebabkan 22 buah sekolah kerajaan terpaksa ditutup. Pada 3 April 1947, seramai 56 orang pelajar Maktab Perguruan Melayu Sarawak bertindak meninggalkan pengajian mereka kerana membantah surat pekeliling tersebut. Barisan Pemuda Melayu (BPM) mengadakan perhimpunan di Sibu dan dihadiri oleh 250 perwakilan bumiputera dari seluruh cawangan BPM. Setiap kampung dikerah membuat poster dan sepanduk. Antara kata-kata anti-penyerahan yang ditulis di poster dan sepanduk ialah:-
 "Kami Membantah Dengan Sekeras-kerasnya Atas Tindakan Brooke Menyerahkan
       Sarawak Kepada Kolonial Inggeris "
 "Sarawak Adalah Hak Kami, Leburkan Koloni ".

Rali tunjuk perasaan Anti-Penyerahan pada 1 Julai 1947
sempena setahun Sarawak menjadi Tanah Jajahan British 
4.3 Penentangan Rukun Tiga Belas
Menjelang akhir tahun 1947, kegiatan gerakan antipenyerahan semakin lemah akibat pelbagai propaganda dan kempen yang dilakukan oleh British. Keadaan ini menyebabkan golongan muda BPM  Sibu bertemu secara sulit dan menubuhkan kumpulan yang dikenali sebagai "Rukun Tiga Belas" yang dianggotai oleh 13 orang ahli BPM yang radikal. Mereka telah bersumpah untuk menghapuskan pegawai-pegawai Eropah dan pemimpin-­pemimpin Melayu yang menyokong penyerahan Sarawak kepada kerajaan British. Rosli Dhobi ditugaskan untuk membunuh Sir Duncan Stewart (Gabenor Sarawak kedua).
Barisan Pemuda Melayu Sarawak. Rosli Dhobi duduk empat dari kiri

           
Pada 3 Disember 1949, semasa Sir Duncan Stewart mengadakan lawatan rasmi ke Sibu, beliau telah ditikam oleh Rosli Dhobi. Akibat daripada serangan ini, Duncan Stewart meninggal dunia di hospital Singapura seminggu kemudian. Pembunuhan Duncan Stewart menyebabkan British menggunakan kekerasan bagi melemahkan gerakan anti-penyerahan. Ini mengakibatkan Rosli Dhobi, Morshidi Sidek, Awang Rambli, dan Bujang Suntong telah dijatuhi hukuman gantung sampai mati. Anggota Rukun Tiga Belas yang lain dipenjarakan. Selepas peristiwa ini, kedudukan British semakin kukuh di Sarawak dan  terus berkuasa sehinggalah Sarawak menyertai Malaysia pada tahun 1963.
Rosli Dhobi ditangkap sejurus selepas menikam Gabenor Sarawak Sir Duncan Stewart
semasa lawatan beliau ke Sibu
** Bersambung ke Bahagian Dua yang mengupas tentang gerakan menentang Malayan Union di Malaya.

No comments:

Post a Comment