Oleh: Nicholas J. Ugik
1.0 Pendahuluan
Setiap tamadun manusia yang unggul mempunyai kekuatan pertahanan yang kuat dan efektif demi menjaga kelangsungan tamadun tersebut daripada ancaman luar dan dalam tamadun tersebut. Begitu juga dengan tamadun China yang telah bermula lebih kurang 3000 S. M di Lungshan apabila masyarakatnya mula menjalankan kegiatan pertanian dan membina satu komuniti di Lungshan.[1] Adalah mustahil untuk tamadun China mengekalkan keutuhan tamadunnya tanpa memiliki satu sistem pertahanan yang diwarisi dari dinasti ke dinasti. Walaupun dinasti telah bertukar ganti tetapi yang menjadi keunikan ialah pengekalan konsep ‘kecinaan’ di setiap dinasti tersebut. Begitu juga dengan sistem pertahanan dan karya-karya peperangan yang tetap menjadi rujukan walaupun dihasilkan dalam dinasti yang berbeza. Tamadun China mempunyai satu sistem pertahanan yang sistematik untuk mempertahankan dinastinya. Hampir kesemua dinasti dalam tamadun China diasaskan melalui kekuatan tentera kerana ia melibatkan peperangan yang agak besar untuk menggulingkan sebuah dinasti yang baru.
2.0 Teknik dan Sistem Ketenteraan Dalam Tamadun China
Kemunculan tamadun China bermula dengan Dinasti Shang yang bertapak di Luyang iaitu di kawasan Sungai Kuning lebih kurang 3000 S. M. . Pada zaman awal, Raja Shang sentiasa berperang kerana beliau beranggapan perang sebagai kejadian yang menguntungkan raja dan negaranya. Kemenangan dalam peperangan menjadikannya kaya dan berkuasa. Kadang kala Raja Shang menawan musuhnya sebagai korban kepada dewa. Tentera Shang terdiri daripada tentera berjalan kaki dan berkereta kuda yang menjadi asas pertahanan kerajaan Shang. Tentera berjalan kaki (infantri) berjalan di belakang pasukan berkereta kuda. Kereta kuda yang digunakan ditunggangi oleh dua orang iaitu seorang pemanah dan seorang pengendali kereta kuda sambil menggunakan lembing. [2]
Pasukan infantri Shang lazimnya membawa bersama lembing dan pedang di medan peperangan. Pada mulanya lembing digunakan semasa melaku teknik rempuhan pada permulaan peperangan. Kemudian barulah pedang digunakan apabila jarak dengan pihak musuh semakin dekat. Tentera Shang biasanya memakai baju perisai dan peralatan perang yang diperbuat daripada gangsa. Ini disebabkan pengetahuan menggunakan gangsa yang tinggi pada zaman tersebut.
Pada masa awal pemerintahan Shih Huang Ti, beliau telah mengarahkan askar mencari alat-alat perang di dalam setiap rumah. Semua alat itu dirampas dan dihantar ke ibu kota Siang Yang dan dileburkan menjadi loceng besar dan patung besi. Melalui cara itu Shih Huang Ti berharap rakyatnya atau wakil lindungan tidak akan melancarkan pemberontakan terhadap kerajaannya malah kerajaan pusat cuba menetapkan satu sistem monopoli dalam kuasa tentera. Tenaga buruh bagi tentera diperolehi dari sistem kerahan dalam berbagai-bagai daerah tentera yang dikatakan sebagai Chun. Apabila kerajaan Chin hendak mengerahkan askarnya, beliau mengambil golongan pemimpin tentera dalam Chun tersebut.
Kerajaan pusat juga melantik pegawai sebagai pemimpin tentera bagi kempen peperangan. Dari segi taktik peperangan, Shih Huang Ti berperang menggunakan taktik orang Tartar (ganas),dan menggunakan tentera berkuda. Beliau juga telah mengumpulkan penjahat dan dijadikan askar dan dihantar berperang ke sempadan. Beliau juga telah membina rangkaian jalan tentera dan terusan untuk memudahkan pergerakan/serangan.
Bagi mempertahankan negerinya dari ancaman luar terutamanya orang Tartar/Monggol, Shih Huang Ti telah membina tembok yang dikenali sebagai Tembok Besar Negeri China. Tembok ini dibina dari tahun 228SM hingga 210SM yang merentasi bukit bukau dan lembah. Panjang tembok ini ialah 2250 batu dengan ketinggigan 15 kaki hingga 20 kaki. Tembok ini dibina lengkap dengan menara pengawal. Terdapat sebanyak 20,000 menara pengawal. Setiap satunya di tempatkan sepasukan tentera yang mengandungi 100 orang. Mereka mengawal dengan menggunakan panah. Di samping menara pengawal yang besar tadi, terdapat juga menara pengawal yang lebih kecil sebanyak 10,000 buah.[3]
Bagi mempertahankan negerinya dari ancaman luar terutamanya orang Tartar/Monggol, Shih Huang Ti telah membina tembok yang dikenali sebagai Tembok Besar Negeri China. Tembok ini dibina dari tahun 228SM hingga 210SM yang merentasi bukit bukau dan lembah. Panjang tembok ini ialah 2250 batu dengan ketinggigan 15 kaki hingga 20 kaki. Tembok ini dibina lengkap dengan menara pengawal. Terdapat sebanyak 20,000 menara pengawal. Setiap satunya di tempatkan sepasukan tentera yang mengandungi 100 orang. Mereka mengawal dengan menggunakan panah. Di samping menara pengawal yang besar tadi, terdapat juga menara pengawal yang lebih kecil sebanyak 10,000 buah.[3]
Selain daripada peranan tembok besak yang dapat mempertahankan wilayah Shih Huang Ti, penemuan serbuk letupan mula mendapat perhatian Shih Huang Ti apabila ahli kimia Taoist menjumpai cara menggunakan bahan letupan. Waris beliau, Erh Shih telah memperbaharui pembuatan busur bersilang. Dalam Art of War, telah mencatatkan yang Erh Shih mempunyai seramai 50 000 orang tentera dalam pasukan pemanah.[4]
Manakala dalam Dinasti Qin, inovasi telah berlaku dalam ketenteraan. Dapat dilihat dengan jelas dalam senjata peperangan iaitu penggunaan gangsa telah digantikan dengan penggunaan besi. Pedang besi yang mula digunakan telah mengadaptasikan cara pembuatan pedang dari puak nomad di utara China iaitu orang Mongolia. Selain daripada itu juga, pembuatan panah juga telah berubah iaitu penggunaan panah bersilang telah digunakan. Ini kerana ia lebih senang dan dapat digunakan dengan pantas. Ketepatan bidikan juga lebih baik daripada busur biasa. [5]
Pada tahap ini juga, pasukan infantri dalam organisasi ketenteraan juga menjadi semakin penting. Ini disebabkan mereka lebih pantas bergerak dalam pelbagai bentuk muka bumi. Peranan pasukan infantri menjadi lebih penting apabila ia mula dilihat mampu memberikan sokongan kepada pasukan berkuda.[6] Inovasi juga turut berlaku dalam tentera berkuda. Penggunaan seluar panjang mula diperkenalkan. Ini lebih memudahkan pergerakan dan dapat menunggang kuda dalam keadaaan yang selesa.
Dalam diansti Han, teknik ketenteraan juga menunjukkan pembaharuan apabila strategi ketenteraan telah diperbaharui. Jeneral Dinasti Han yang terkenal iaitu Li Ling telah menggunakan teknik baru dalam pasukan tenteranya. Ini berlaku semasa beliau menyekat kemaraan puak nomad dari utara. Pasukan tenteranya hanya berjumlah 5000 orang dan pasukan tentera nomad berjumlah 30000 orang. Untuk mematahkan kemaraan seranagan musuh terutamanya rempuhan pasukan berkuda, beliau telah membahagikan pasukan tenteranya kepada dua barisan. Barisan yang pertama bersedia menggunakan perisai dan lembing yang panjang. Manakala barisan kedua menggunakan panah untuk menembak tentera musuh.[7] Ini boleh dikatakan strategi pertahanan yang agak efektif kerana dalam membuat pertahanan telah dapat melancarkan serangan. Teknik ini juga telah dijumpai dalam tamadun Rom yang dinamakan unit phalanx.
Maharaja Dinasti Han, Han Wu Ti juga telah mengambil berat kajian tentang serbuk letupan agar dapat digunakan dalam peperangan. Sehubungan dengan itu, teknik serangan menggunakan panah berapi mula diperkenalkan dalam ketenteraan Dinasti Han. Ini juga membawa kepada peningkatan dalam kajian serbuk letupan apabila bom saltpetre mula digunakan iaitu bahan yang mempunyai campuran sulfur dan belerang. Malah ia menjadi semakin hebat apabila dihasilkan dengan lebih banyak pada tahun 1221 M.[8]
Kemajuan Dinasti Han dalam bidang letupan yang menyumbangkan inovasi dalam pasukan ketenteraan bukan setakat itu sahaja. Malah penggunaan bahan kimia dan racun juga telah digunakan. Falsafah Mo Ti juga menjelaskan pasukan tentera Han telah menggunakan bahan kimia dan semburan beracun dalam peperangan.[9] Dapat dijelaskan yang tamadun China purba menjadi pengasas kepada penggunaan bahan letupan dan juga bahan kimia.
Zaman Tiga Negara (Three Kingdom) ialah period yang amat penting dalam sejarah China. Dalam tempoh ini, ketenteraan memainkan peranan yang amat penting terutamanya dalam mempertahankan wilayah masing-masing. Oleh hal yang demikian, terdapat banyak pembahuruan dalam peralatan dan teknik ketenteraan. Antara tokoh ketenteraan yang terkenal dalam zaman ini ialah Ma Jun iaitu seorang Jeneral dari Negara Wei di bahagian utara China. Beliau telah mencipta sejenis jentera peperangan iaitu penembak batu. Alat ini mampu memecahan kubu pihak lawan.[10]
Perdana Menteri Wei, Cao Cao mempunyai angkatan tentera yang besar dan beliau telah menggabungkan kekuatan tentera lautnya dan tentera darat dalam ekspedisi menyerang Negara Wu di selatan. Pasukan tentera daratnya terdiri daripada infantri dan berkuda. Terdapat pembaharuan dalam tentera laut beliau yang menghilir Sungai Yang-Tze iaitu kapal-kapal boleh dicantum dan dipisahkan untuk membentuk armada yang besar. Ini teknik ketenteraan yang baru dalam tamadun China.
Seterusnya ialah ketenteraan dalam Negara Wu yang juga mempunyai pembaharuan.Dengan keadaan geografinya yang terletak di selatan dan sudah tentunya mahir dalam peperangan maritim dan tentera laut diberikan perhatian. Oleh itu Sun Quan juga telah membina kapal dan membentuk armada yang dapat memuatkan 10 000 tentera dalam sebuah armada tersebut.[11]
Tokoh yang amat penting dalam zaman Tiga Negara ialah Perdana Menteri dan Strategis Negara Shu iaitu Zhuge Liang. Beliau telah membuat pembaharuan dalam busur bersilang iaitu boleh menembakkan 10 anak panah secara berturutan. Dengan dapat menjadikan serangan lebih berkesan dan cepat. Selain daripada itu juga, beliau bijak dalam merancang strategi pasukan tenteranya dan mengambil kira faktor bentuk muka bumi, cuaca dan keseimbangan dengan tentera musuh.
Contohnya, beliau menggunakan teknik tortoise semasa menyekat kemaraan tentera Wei. Ia merupakan sejenis teknik yang membentuk aturan pasukan tentera yang menyamai garisan-garisan yang terdapat pada cengkerang kura-kura. Ia ialah teknik bertahan dan menyerang. Beliau juga turut memanfaatkan kedaan alam, bentuk muka bumi dan cuaca seperti arah tiupan angin untuk menggunakan serangan api dan kabus yang tebal untuk mengelirukan pihak musuh. Selain daripada itu juga, memecahkan musuh dari dalam amat penting dengan menghantar perisik. Melemahkan musuh dengan menghasut tentera musuh dan menyebarkan khabar angin adalah antara strategi yang digunakan oleh beliau.[12]
Pada zaman Dinasti Tang, serbuk letupan juga telah digunakan iaitu hasil penemuan golongan Taoist. Ia telah digunakan secara meluas dalam peperangan dan satu teknik telah diciptakan iaitu Flying Fire. Teknik ini digunakan dalam mempertahankan kubu pertahanan dan juga dalam posisi menyerang. Seperti juga dinasti-dinasti yang terdahulu yang menjadikan kubu pertahanan elemen yang penting dalam ketenteraan, zaman Tang memperlihatkan kubu pertahanan yang memagari kawasan ataupun kota yang penting bagi golongan pemerintah yang mempunyai pos kawalan untuk para pengawal membuat tinjauan.[13]
Dalam Dinasti Song, pembaharuan dalam teknik menggunakan letupan iaitu balistik telah digunakan untuk melontarkan api dan bahan letupan. Ia menjadi semakin tepat dan senang digunakan dalam jangka masa yang lebih cepat. Selain daripada itu juga, tentera yang berkapal telah dikembangkan lagi untuk menguasai Sungai Yang Tze. Menurut Temple, penggunaan bahan letupan telah digunakan tentera Song mempertahankan China daripada pencerobohan tentera Mongol dari utara namun Dinasti Song tetap gagal pada akhirnya dan Mongol telah membentuk Dinasti Yuan yang menguasai China antara tahun 1161 hingga 1234 M.[14]
Penggunaan pasukan tentera laut yang besar-besaran telah dipertingkatkan pada zaman Dinasti Ming (1235-1644 M). Walaupun sebelum ini telah ada penggunaan kapal namun ia hanya bertujuan untuk peringkat domestik dan hanya berperang di sungai utama China iaitu Sungai Hwang Ho dan Sungai Yang Tze. Tetapi dalam Dinasti Ming, tentera laut bukan sahaja di Sungai Hwang Ho dan Yang Tze tetapi telah meluas sehingga Asia Tenggara dan Timur Tengah dan juga Afrika. Tokoh yang terpenting dalam perkara ini ialah Laksamana Cheng Ho.
Inovasi dalam pembinaan kapal telah dapat di lihat dengan lebih jelas apabila saiz kapal yang lebih besar, pembinaan lima tiang layar pada kapal dan juga prinsip sekatan dalam kapal telah dibuat untuk menngelakkan kapal tersebut daripada karam apabila bahagian lantai dasar kapal tersebut pecah. Kapal telah dilengkapi dengan tentera pemanah di samping tentera biasa dan juga bahagian unit mariam yang digunakan semasa berperang di laut dan juga untuk kegiatan penaklukan.[15]
Pemimpin tentera dalam tamadun China menggunakan beberapa teknik dalam pertahanan dan juga untuk menyerang. Antaranya ialah memusnahkan tempat berlindung di luar kota pertahanan seperti rumah, pokok dan rumpun buluh untuk persediaan pertahanan. Kawalan ke atas rakyat juga perlu dikenakan untuk mengelakkan mereka membantu pihak musuh. Dengan ini, sistem kad pengenalan telah digunakan dan larangan untuk keluar pada waktu malam. Selain itu, bekalan makanan juga disimpan dalam jumlah yang difikirkan mencukupi untuk kegunaan semasa perang. Dalam sesebuah bandar dikehendaki menyimpan sekurang-kurangnya 20 000 bushels gandum dan kekacang.[16]
3.0 Pemikir Ketenteraan Dalam Tamadun China
Tamadun China telah melahirkan ramai pemikir ketenteraan lantaran keadaan yang anarki dan berperang. Karya- karya mereka telah menjadi rujukan oleh pemimpin ketenteraan China dalam meluaskan wilayah dan juga mempertahankan kekuasaan negara masing- masing. Bukan sahaja menjadi rujukan sezaman tetapi ada di antara karya pemikir ketenteraan ini telah digunakan dalam zaman selepas berakhirnya zaman dinasti di China.
Pada tahap pertama ialah kaedah ketenteraan yang menjadi rujukan dalam ketenteraan China ialah Kaedah Ssu Ma Fa yang bermaksud Kaedah Peperangan yang membincangkan tentang undang-undang, nilai-nilai asas dan strategi.
Seterusnya ialah Karya Sun Tzu yang cukup terkenal di kalangan pemimpin ketenteraan China sebagai bahan rujukan. Beliau telah menyarankan beberapa perkara yang perlu dalam sebuah organisasi tentera untuk tujuan pertahanan dan juga menyerang pihak musuh. Antara fikiran beliau ialah
(i) Strategi Anggaran :
- Beliau menyarankan para pemerintah melakukan kajian yang teliti sebelum melancarkan peperangan. Lima perkara harus di pertimbangkan dalam sesuatu peperangan iaitu alasan moral, bentuk muka bumi, iklim, kepimpinan dan pengendalian peperangan.
(ii) Melancarkan Peperangan :
- Seorang panglima tentera harus memastikan kemenangan dicapai dalam masa yang singkat.
(iii) Strategi Menyerang :
- Seseorang pakar harus mengatur strategi untuk melawan musuh tanpa peperangan berlarutan. Panglima perang harus mengetahui kelebihan dan kelemahan diri sendiri dan musuh. Kekalahan berlaku jika ada tiga kesilapan iaitu jahil dalam ilmu peperangan, urusan pentadbiran ketenteraan dan mengarah tentera mara ke hadapan atau berundur apabila tidak patut berbuat demikian.
(iv) Strategi Serangan Menggunakan Api :
- Strategi ini hanya digunakan dalam keadaan terdesak.
(v) Strategi Menggunakan Tali Barut :
- Musuh dilemahkan dengan menggunakan ejen-ejen perisik.[17]
Pada tahap kedua ialah teknik Wu Tzu. Beliau membincangkan teknik ketenteraan dalam enam bab yang menumpukan tentang perbincangan yang kritikal hal-ehwal ketenteraan seperti perancangan untuk negara, menilai musuh, mengawal tentera, tindak balas kepada perubahan dan merangsangkan kepada pegawai.[18]
Pada tahap yang ketiga dalam Tamadun China terdapat tiga orang pemikir yang membincangkan teknik ketenteraan. Pertama ialah Wei Liao Tzu yang merupakan seorang strategis dan pemerhati yang cekap menyedari bahawa dengan mengintergrasikan rakyat awam dan tentera maka sesebuah negara akan dapat bertahan dalam keadaan yang aman dan tidak berlaku huru hara. Seterusnya ialah Pegawai T’ai Kung yang menghasilkan Enam Rahsia Pengajaran T’ai Kung. Pemikiran beliau ini ialah ajaran taktikal dan nasihat-nasihat politik kepada raja-raja Wen dan Wu dari Dinasti Chou yang direkodkan. Antara lain pemikir dalam tahap ketiga ini ialah Huang Shih-Kung yang mengutarakan Tiga Strategi Huang Shih-Kung. Buku ini menfokuskan kepada pentadbiran kerajaan dan ketenteraan dan kawalan. Teks ini juga membincangkan kepada konsep kerajaan, penyatuan rakyat, ciri-ciri seorang jeneral yang berkebolehan, kaedah untuk mencipta asas kehidupan kebendaan, motivasi untuk tentera, perlaksanaan ganjaran dan hukuman, cara-cara memelihara kesetiaan kepada raja dan keperluan untuk menseimbangkan antara kehidupan orang senang dan juga susah. Ia tidak membincangkan tentang kempen strategi dan taktik peperangan.
Tahap yang terakhir iaitu keempat memperlihatkan Soal Jawab Antara T’ang T’ai Sung dengan Li Wei-Kung yang membincangkan tentang strategi-strategi yang telah diuji dan digunakan dalam pertempuran-pertempuran yang kritikal dan bukan haya konsep-konsep yang bersifat teori. Secara keseluruhannya ialah ringkasan dan rumusan perbincangan tentang tiga tahap yang terdahulu.[19]
4.0 Kesimpulan
Ringkasnya ketenteraan di China telah dirancang secara sistematik memandangkan ia adalah elemen yang sangat penting untuk kelangsungan sesebuah tamadun. Pelbagai strategi dan taktik yang diasaskan dan juga diperbaharui melalui inovasi yang tinggi. Sistem tentera juga telah disusun dan wujudnya organisasi ketenteraan bagi memudahkan kawalan dan perancangan strategi yang lebih teratur. Para pemikir tentera yang wujud semasa berlangsungnya tamadun China memperlihatkan betapa pentingnya organisasi tentera pada ketika itu. Para pemikir yang mengeluarkan idea sebagai rujukan kepada ketenteraan China dan menjadi rujukan pada zaman selepasnya. Dapat dirumuskan yang Tamadun China adalah unggul sebagai mana tamadun –tamadun awal yang lain.
SENARAI RUJUKAN:
Bozan Jian et.al., 1986. A Consist History of China. Foreign Language Press
Ebrey Buckley Patricia, 1996. The Cambridge Illustrated History of China. London: Cambridge University Press
Gernet Jaques, 1996. A History of Chienese Civillization, Second Edition. London: Cambridge University Press
Loke Cheng Hoe, 2000. Tamadun China: Corak, Pemikiran, Sains dan Kesusasteraan. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia
Lourette Scott, 2000. The Chinese: Their History and Culture. New York: Longman
Morton Scott W., 1995. China: Its History and Culture, Third Edition. McGraw-Hill
Sivachandralingam Sundra Raja & Ayadurai Letchumanan, 2005. Tamadun Dunia, Edisi Semakan. Selangor: Penerbit Fajar Bakti
Temple Robert, 1995. The Genius of China: 3000 Years of Science and Invention. McGraw Hill Press
Suffian Mansur , 2003. Tamadun China. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
[1] Morton Scott W., 1995. China: Its History and Culture, Third Edition. McGraw-Hill, hlm 15
[2] Ebrey Buckley Patricia, 1996. The Cambridge Illustrated History of China. London: Cambridge University Press, hlm 24
[3] Gernet Jaques, 1996. A History of Chienese Civillization, Second Edition. London: Cambridge University Press,106
[4] Suffian Mansur , 2003. Tamadun China. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 114
[5] Morton, op.cit, hlm 26
[6] Gernet, op.cit, hlm 66
[7] Morton, op.cit , hlm 56
[8] Suffian, op.cit , hlm 114
[9] Lourette Scott, 2000. The Chinese: Their History and Culture. New York: Longman, hlm 132
[10] Bozan Jian et.al., 1986. A Consist History of China. Foreign Language Press, hlm 34
[11] Ibid, 35
[12] Ibid,35-36
[13] Gernet, op.cit, hlm 310
[14] Temple Robert, 1995. The Genius of China: 3000 Years of Science and Invention. McGraw Hill Press, hlm 246
[15] Loke Cheng Hoe, 2000. Tamadun China: Corak, Pemikiran, Sains dan Kesusasteraan. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia, hlm 27
[16] Sivachandralingam Sundra Raja & Ayadurai Letchumanan, op.cit, hlm 250
[17] Sivachandralingam Sundra Raja & Ayadurai Letchumanan, op.cit, hlm 272
[18] Ibid, hlm 273
[19] Ibid, hlm 274
No comments:
Post a Comment