Kepercayaan Masyarakat Iban
tentang Alam Kematian: Penceritaan Sejarah Lisan Masyarakat Iban Saribas.
Oleh: Nicholas J. Ugik (BA Soc. Sci., UMS)
Prakata
Masa berlalu terlampau
pantas dan kadang-kadang kita terlupa bahawa kita telah tertinggal banyak
perkara dan benda yang cukup bernilai di masa lalu. Jika kita sorot kembali,
sesungguhnya perkara dan benda yang tertinggal itu harus digali semula agar ia
tidak lenyap ditelan masa bersama-sama dengan generasi terdahulu yang
telah melangkah pergi meninggalkan dunia persinggahan ini. Penulis (saya)
banyak mengimbas masa lalu untuk mencari adakah saya telah tertinggal banyak
kenangan yang berharga. Maka dengan itu, maka saya terpanggil untuk
menghasilkan tulisan ini yang merupakan data sumber primer yang saya hasilkan
menjadi data sekunder. Seandainya pengalaman pelaku iaitu generasi terdahulu
gagal untuk didokumentasikan maka pengalaman itu akan hilang sebegitu sahaja.
Pengalaman empirikal yang menjadikan penulis secara tidak langsung telah
mengumpul data-data yang berharga untuk dicurahkan menjadi tulisan ini. Dalam
pada itu juga, penulis juga mengajak pengkaji dan pejuang budaya asal usul kaum
Iban untuk bersama-sama berdebat bagi membaiki kecacatan serta kecurangan fakta
yang mungkin secara tidak sengaja hadir dalam tulisan ini. Jika kita telah
melalui banyak perdebatan dan pertukaran idea, tidak mustahil menghasilkan
dapatan kajian baru yang lebih tepat dan pengurangan unsur babad menjadi wadah
rujukan kepada pembaca dan pengkaji yang terkemudian.
Ini
ialah sumber daripada penceritaan lisan masyarakat Iban di bahagian Saribas
tentang sesuatu yang ghaib dan mitos yang tidak dapat dirungkai oleh kaedah
empirikal sains sosial sehinggalah ke hari ini. Bukan itu masalahnya, objektif
penulis ingin memelihara budaya dan cerita lisan yang telah diwariskan secara
turun temurun agar semua cerita ini tidak lenyap begitu sahaja. Penulis dalam
beberapa tahun yang lepas cuba menyelami cerita lisan tentang dunia selepas
mati ini daripada beberapa orang generasi emas yang mahir dalam perkara ini.
Jika tidak diterjemahkan dalam bentuk tulisan seperti ini, maka warisan ini
akan hilang bersama-sama dengan generasi emas yang arif tentangnya. Penulis
tidak menganggap kajian ini sempurna tetapi sebagai wadah untuk memulakan satu
dimensi baru dalam kajian. Penulis sekali lagi menyeru agar perdebatan untuk
perkara ini dilakukan untuk penambahbaikan kajian dan fakta.
Adat dan Ritual Kematian Masyarakat Iban Saribas
Setiap kumpulan
masyarakat di dunia ini mempunyai satu amalan tradisi yang melambangkan identiti
masyarakat tersebut. Baik di mana latar tempat, bangsa dan benua sekalipun
pastinya ada adat tradisi yang tersendiri. Dalam kajian yang menggarap sejarah
lisan ini, sukanya penulis membawa para pembaca untuk mengetahui dengan serba
sedikit tentang kepercayaan tradisi masyarakat Iban tentang kehidupan selepas
mati. Mungkin ada wujudnya perbezaan kepercayaan masyarakat Iban dengan
kumpulan etnik yang lain tetapi penulis melihat memang ada persamaan biarpun
hanya sedikit. Anggapan masyarakat Iban terhadap dunia selepas mati turut
mempengaruhi nilai kepercayaan animisme mereka yang menjadi pegangan hidup
masyarakat Iban tradisional. Menurut pensejarahan lisan masyarakat Iban, zaman petempatan
awal masyarakat Iban untuk memulakan ketamadunan bermula dengan hikayat Bejie Nangga Hari (mendaki langit). Bejie dan adiknya Bada
mendapat utusan daripada Dewa Raja
Semarugah untuk mendirikan satu petempatan iaitu sebuah rumah panjang bagi menghimpunkan sekalian pengikutnya. Puntang Raga (pengikut dewa) telah diutus
oleh dewa untuk memberikan panduan kepada orang Iban memulakan sebuah
petempatan rumah panjang. Dengan ini, bermulalah masyarakat dan petempatan dalam
sejarah lisan kaum Iban.
Setelah
sekian lama berumah panjang, ada seorang ketua masyarakat Iban bernama Serapuh
yang memimpin anak buahnya dalam satu komuniti rumah panjang masih tidak tahu
dalam menguruskan manusia yang telah meninggal. Pada masa itu, mayat
tidak melalui upacara kematian dan pengkebumian tetapi hanya dibuang dan
diletakkan di celah-celah banir kayu yang besar di dalam hutan. Sehinggalah
pada satu hari, ketika penghuni rumah panjang Serapuh hendak membuang mayat ke
dalam hutan, seorang lelaki menyapa mereka dari seberang sungai tepian mandi
bertanyakan apa yang mereka sedang buat. Lelaki tersebut nampak hairan melihat
kelakuan yang tidak ada adat dalam pengurusan mayat. Sejak daripada hari itu,
penghuni rumah panjang Serapuh meninggal seorang demi seorang setiap hari
sehinggalah perkara ini telah merunsingkan Serapuh melihat penghuni rumah
panjangnya ramai yang telah meninggal. Menurut penceritaan lisan, pada suatu
malam ketika penghuni rumah panjang masih berjaga disebabkan ada kematian dan mayat belum dibuang kerana menunggu keesokkan paginya dan dibiarkan terbaring di
tengah-tengah anjung rumah panjang. Setelah malam semakin larut, tiba-tiba
datang seorang lelaki yang tidak dikenali terus meratapi jenazah tersebut serta
menutup mulut dan mata si mati yang masih terbuka. Serapuh dalam keadaan yang
kehairanan terus bertanya siapa lelaki misteri tersebut. Lelaki tersebut
memperkenalkan dirinya sebagai Puntang Raga iaitu seorang utusan Dewa Raja Semarugah. Puntang Raga terus
mengajar Serapuh tentang cara-cara menguruskan upacara kematian dan juga
tentang beberapa pantang larangnya. Peristiwa ini dinamakan Pesan Puntang Raga terus menjadi teladan dan panduan dalam budaya
hidup masyarakat Iban tradisional dalam upacara kematian.
Dalam
upacara dan adat kematian kaum Iban di bahagian Saribas, jika ada orang
meninggal seorang penghuni rumah panjang akan bergegas ke kawasan bukit di
rumah panjang tersebut untuk memukul beberapa dentuman gong sebagai isyarat
adanya kematian kepada rumah panjang-rumah panjang yang berdekatan. Sementara
itu, jenazah dimandikan serta alu
(penumbuk kayu) dan lesung ditempatkan melintang pada kedua-dua pintu masuk
utama rumah panjang untuk mengelakkan roh kematian (bala sebayan) datang ke rumah menganggu roh si mati dan yang
masih hidup. Penumbuk kayu tersebut digambarkan sebagai ular tedung dan lesung
ialah bukit untuk menyekat roh kematian daripada naik ke rumah panjang. Dengan
ini, roh kematian sekadar berlegar-legar di bawah rumah panjang. Setelah si
mati dimandikan, terus dipakaikan dengan pakaian yang terbaik (ngepan), sementara kaki yang telah
dirapatkan diikat dengan benang merah dan diletakkan bulu landak. Mata dan
mulutnya dirapatkan supaya tidak dapat melihat dan memanggil roh orang yang
masih hidup. Secara ritualnya, sekeping pinggan akan digerakkan beberapa kali dari posisi atas ke bawah jenazah bagi
mengelakkan jenazah tersebut cepat rosak. Kemudian ahli keluarganya
membekalkan barang keperluan (baya)
untuk digunakan di alam kematian.
Si
mati kemudian akan ditempatkan dalam satu kawasan yang bertirai dengan kain
tenunan pua kumbu (sapat) di anjung
rumah panjang. Sapat dinaikkan
sebagai tanda pemisah dunia kematian dengan dunia nyata. Barang keperluan yang
dibawa bersama si mati diletakkan di anjung warisnya di satu kawasan yang
dipanggil tempuan iaitu satu laluan
kecil di antara anjung tengah dengan bilik. Sebiji tembikar (tajau) dibawa bersama sebagai batu nisan si mati di perkuburan
kelak. Unggun api dinyalakan di dapur kecil yang dibuat khas di tempuan untuk tujuan menerangi roh si
mati dalam perjalanannya ke alam kematian. Dalam pada itu, tukang kayu dan
beberapa sahabat handai akan segera membuat sebuah keranda yang digunakan oleh
si mati. Dalam masyarakat tradisional Iban Saribas, bentuk estitika pada
keranda diukir mengikut darjat si mati tersebut. Jika seorang pahlawan, ketua
masyarakat atau seseorang yang berkemahiran maka nilai estitika itu akan
menjadi lebih indah jika dibandingkan dengan orang biasa. Biasanya pada hari
kedua jenazah akan terus disimpan dalam keranda kerana ada kemungkinan jenazah sudah
mula mereput. Setelah si mati dibaringkan dalam sapat, posisi kepalanya mengarah ke arah beranda terbuka (tanju) dan kakinya ke arah bilik di
rumah panjang tersebut. Hal ini bagi memudahkan perjalanan rohnya ke alam
kematian (sebayan).
Setelah
si mati telah diletakkan di dalam sapat,
salah satu anggota keluarganya harus tetap berjaga untuk memastikan anjing atau
kucing tidak akan melompat melewati jenazah. Waris si mati akan meratapi
pemergiannya dalam sapat tersebut dan juga memberikan penghormatan yang
terakhir. Hidangan makanan yang disukai mendiang akan disediakan di tepi tempat
pembaringannya sepanjang tempoh upacara kematian ini. Setelah upacara
melewati malam kedua, sabak bebuah
diperlukan bagi mengiringi perjalanan rohnya ke alam kematian. Maka seorang
seorang penyair ritual kematian (lemambang)
yang biasanya seorang wanita yang berumur diperlukan untuk menyanyikan lagu
pengkebumian (sabak bebuah). Dalam
pada itu, wakil ketua rumah panjang (Tuai
Rumah) akan menghimpunkan pemegang tampuk adat istiadat, ketua-ketua rumah
panjang dan orang-orang tua berkumpul di anjung waris si mati untuk
membincangkan soal adat penghormatan yang patut diberikan kepada si mati.
Biasanya pencapaian sepanjang hayatnya dan juga status si mati diambilkira
dalam menentukan adat penghormatan tersebut.
Lagu
pengkebumian ini akan terus dinyanyikan pada malam ketiga. Lemambang akan membaca
lagu pengkebumian (sabak bebuah)
sekitar pukul sembilan malam. Dia duduk di dalam sapat iaitu di sebuah kerusi yang terletak di tepi
keranda. Lagu pengkebumian ini biasanya akan mengenang kembali mendiang semasa
hayatnya dan juga memandu perjalanan roh si mati melangkah ke alam kematian
agar tidak tersasar ke tempat lain. Setelah semua tetamu yang menghadiri
upacara selesai untuk makan malam, para tetamu akan berbicara dengan waris keluarga
yang telah ditinggalkan si mati. Kemudian sekitar pukul sepuluh malam, minuman
dan juadah ringan akan disajikan. Pada ketika inilah orang akan berkumpul di
anjung rumah panjang dan mendengar seorang wakil yang akan menceritakan sejarah
hidup si mati dan juga penyebab kepada kematian mendiang serta pencapaian dalam
hidupnya, taraf penghormatan yang akan diberikan kepada mendiang, tempoh
berkabung dan adat istiadat lain yang berkaitan dengan kematian.
Pada
keesokan paginya iaitu sekitar pukul enam, keranda diikat pada pengusung (buluh tepayan) untuk dibawa ke tanah
perkuburan. Tetapi sebelum itu, si mati diberikan makanan terakhir secara
simbolik iaitu pinggan dan mangkuk yang
mengandungi makanan yang telah dipersembahkan kepada si mati akan dihantukkan
ke atas keranda serta dihancurkan berkeping-keping dan serpihan dibuang melalui
lubang-lubang lantai anjung rumah panjang. Setelah keranda yang dibawa ke tanah
perkuburan, unggun api yang telah dinyalakan di anjung rumah panjang sepanjang malam-malam
upacara kematian dibawa mendahului keranda, biasanya anak si mati yang paling
tua yang memimpin iringan ke tanah perkuburan. Beberapa potongan bara
api dibawa ke bilik untuk diletakkan di dapur kayu waris keluarga si mati untuk
dinyalakan sebagai unggun api semasa tiga malam, lima atau tujuh malam
berturut-turut bergantung kepada status mendiang di rumah panjang atau dalam
komuniti. Tempoh ini dikenali sebagai "Petang Menyalakan Api" (Lemai Tungkun Api).
Setibanya
di tanah perkuburan dan sebelum kubur digali, lokasi tapak lubang kubur disapu
dengan darah ayam, ditaburi dengan butiran beras dan garam untuk
mempersembahkan kepada Dewa Sempulang
Gana agar menerima si mati yang dikebumikan. Kedalaman minimum kubur adalah
enam kaki. Sebelum keranda diturunkan ke dalam lubang kubur, lubang harus
dibersihkan dari daun segar yang jatuh ke dalam kubur yang dilarang daripada
terkubur bersama-sama si mati. Menurut kepercayaan tradisional Iban, ia boleh
menyebabkan roh orang mati bangkit menakut-nakutkan manusia yang masih hidup. Ketika
kubur telah siap digali dan dibersihkan, keranda kemudian diturunkan ke
dalamnya. Setelah ditimbus, pondok kecil didirikan atas kubur terbabit sebagai
rumah kepada si mati. Semua barang-barang peribadi yang dibekalkan bersama-sama
si mati diletakkan dalam pondok kecil tersebut. Bagi menandakan lokasi kubur,
mereka meletakkan tajau atau
bentuk-bentuk gerabah (kayu keras tebelian) pada arah mana kepala mendiang
diletakkan. Itulah sebabnya dalam kubur Iban tradisional, ada banyak tajau dan
gerabah di sekitarnya.
Semua
orang yang telah terlibat dalam menggali kubur akan membuat pengait kecil
daripada ranting kayu dan naik melaui tangga kecil dari dalam lubang kubur
untuk mengelakkan roh mereka tertinggal di tanah perkuburan. Selepas itu, semua
orang yang turut mengiringi penghantaran si mati ke perkuburan akan berkumpul
di tepi sungai tanah perkuburan tersebut untuk memakan makanan yang dibawa dari
rumah panjang bagi melengkapkan ritual di tanah perkuburan. Seorang ahli
keluarga mendiang merupakan orang terakhir meninggalkan perkuburan akan membuat
buluh yang diraut tajam ditanam terbalik di tepi kubur untuk mencegah roh dari
alam kematian mengikuti mereka dari belakang. Setelah semua orang sampai dari
tanah perkuburan, mereka serta saudara mara dan penghuni dari rumah panjang
keluarga yang ditinggalkan akan berkumpul di anjung rumah panjang keluarga si
mati. Pada pertemuan tersebut, perbincangan terhadap tempoh berkabung dilambangkan
tiga, lima atau tujuh tompok beras hitam yang diletakkan pada sebilah pisau.
Jumlah beras bergantung pada panjang tempoh berkabung. Dalam masyarakat Iban
tradisional Saribas, mereka akan membuka jendela kecil (telenga atap) di bumbung untuk menerangi
rumah sepanjang tempoh berkabung disebabkan waris si mati tidak keluar rumah dalam beberapa hari selepas kematian. Segala upacara keramaian adalah ditegah sama
sekali buat waris dan penghuni rumah panjang. Di pintu masuk utama rumah
panjang dan pintu bilik waris akan digantung tanda (tambai) yang menandakan mereka dalam saat bersedih dan berkabung
kerana ditinggalkan oleh si mati. Adat penghormatan si mati bergantung kepada
statusnya semasa hayat. Paling rendah ialah satu
jabir (nilai matawang seringgit), satu
panding (nilai matawang dua ringgit) dan juga satu alas (nilai matawang empat ringgit). Jika ada individu yang
melanggar peraturan berkabung maka dia harus membayar kepada waris si mati
mengikut adat penghormatan yang telah ditetapkan.
Perjalanan
ke Alam Kematian
Masyarakat Iban tradisional di Sarawak dan di kawasan Saribas
khususnya mempercayai kewujudan dunia selepas mati. Bagi mereka, si mati akan
melalui perjalanan yang begitu ritual untuk melangkah ke alam kematian. Dengan
sebab itulah si mati akan dibekalkan dengan bekalan untuk kegunaan di alam
kematian (baya) dan juga perlu diiringi
dengan lagu kematian (sabak bebuah) agar
roh si mati dapat melangkah dengan dengan sempurna ke alam kematian. Menurut
penceritaan lisan generasi emas yang arif dengan adat budaya masyarakat Iban
tradisional, mereka menggambarkan bahawa dunia kematian ini bertentangan dengan
dunia nyata manusia. Digambarkan terdapat situasi yang berlawanan seperti mana
di sana malam manakala dunia nyata siang. Masyarakat Iban juga mempercayai alam
kematian dapat berinteraksi dengan manusia alam nyata hanya melalui pawang
tradisional (manang) dan juga melalui
pengalaman tidur iaitu mimpi. Situasi ini seringkali dijadikan panduan dan juga
pantang larang bagi masyarakat Iban dalam rutin seharian kerana mempercayai
mimpi ini satu alamat yang harus dipatuhi.
Dalam penceritaan masyarakat
tradisional Iban Saribas seringkali menyebut bahawa alam kematian ini terletak
di Sungai Mandai. Kalau dari pengetahuan geografi moden, lokasi ini terletak di
pedalaman Kalimantan, Indonesia. Ia mungkin dikaitkan dengan kawasan ini
disebabkan petempatan awal masyarakat Iban terletak di Kalimantan terutamanya
di Sungai Kapuas dan juga Sungai Merakai. Sampai satu ketika, berlakunya proses
penghijrahan masyarakat Iban ke beberapa kawasan di Sarawak untuk memulakan
petempatan baru. Dalam pada itu, penceritaan ada juga menyebut bahawa Sungai
Mandai ini tidak mempunyai kuala dan juga hulu. Ia digambarkan sebatang sungai
yang tidak berpenghujung. Di kawasan ini juga digambarkan terletaknya
gelanggang sabung ayam para manusia separuh dewa (demigods) dari rumah panjang alam ghaib iaitu Panggau Libau Giau Takang Isang, Panggau Lendat Betungkatka Dan Sabang.
Watak dalam hikayat tradisional Iban seperti Keling, Bungai Nuing,
Sempurai, Pungga dan Laja dikatakan mengunjungi gelanggang sabung ayam
tersebut. Menurut penceritaan lagi, tangga Bejie yang runtuh selepas gagal
digunakan untuk mendaki ke langit juga ada terdapat di Sungai Mandai. Malah
telaga Kumang (isteri Keling dalam hikayat tradisional Iban) juga dikatakan
terletak di Sungai Mandai dan juga Bukit Penguji iaitu bukit berbatu-batuan
yang curam serta licin juga terdapat di situ. Puncak bukit ini terdapatnya
buluh perindu yang menjadi buruan setiap orang yang percaya kepada ilmu pelaris.
Masyarakat Iban
mempercayai keadaan dunia selepas mati (sebayan)
ini umpama satu dunia yang misteri dan digambarkan ia mempunyai beberapa
ciri persamaan dengan keadaan dunia nyata seperti terdapatnya petempatan rumah
panjang, sistem sosial dan juga ada ciri-ciri budaya yang hampir menyerupai
masyarakat Iban tradisional. Dalam bait-bait puisi ritual nyanyian kematian,
ada menyebut bahawa roh si mati akan melalui satu titian yang kecil yang
digelar Titi Rawan iaitu satu titi
yang sangat kecil dan digambarkan sehalus benang. Roh digambarkan berjalan
berhati-hati melalui titian tersebut supaya tidak terjatuh ke dalam lubuk
sungai yang dalam yang permukaannya berwarna hitam dan berpusar. Mengikut
kepercayaan, seandainya roh gagal melakukan titian ini dan terjatuh ke dalam pusaran
air tadi, maka rohnya akan kembali kepada jasadnya dan dipercayai akan hidup
semula. Selepas melalui titian ini, roh dikatakan akan sampai ke satu tepian
mandi (pendai mandi) yang dirujuk
kepada satu kawasan tebingan sungai yang menjadi tempat penduduk sesebuah rumah
panjang tradisional sebagai tempat pelabuhan perahu, mandi, mencuci dan juga mengambil air. Penceritaan
lisan mengambarkan begitu banyak perahu-perahu yang pelbagai saiz berlabuh di
tempat tersebut dan dapat dilihat seluas mata memandang. Keadaan juga
digambarkan meriah dengan begitu ramai orang-orang dari alam kematian
berpakaian Iban tradisional (ngepan)
termasuk lelaki dan wanita dengan segala kelengkapan instrumen muzik Iban
tradisional berkumandang untuk menyambut kedatangan si mati ke alam baru.
Menurut penceritaan
lagi, si mati akan dialu-alukan kerana si mati juga mengenakan pakaian yang
terbaik dan berbau wangian. Jika keadaan di sebaliknya, maka si mati akan ditolak
ke dalam sungai di tepian mandi tersebut dan rohnya dalam keadaan yang
tergantung di antara maya dan nyata. Sebab itulah waris si mati akan memandikan
jenazah dan memakaikan jenazah dengan kelengkapan yang terbaik agar diterima
tanpa halangan di alam kematian. Setelah melalui sambuatan yang meriah di
tempat tadi, roh si mati dikatakan melalui satu lagi perjalanan ke fasa yang
baru. Dia dikatakan melalui satu padang yang luas sejauh mana mata mampu
memandang. Pada masa ini, dia seolah-olah terdengar bunyi loceng
berdering-dering mengiringi perjalanannya. Deringan loceng ini ialah
suara-suara pilu tangisan sahabat handai yang meratapi kehilangannya di dunia. Kemudian
dia akan melalui satu kawasan yang ditanami dengan pelbagai jenis buah-buahan
yang berkulit untuk menutupi isinya. Dia akan cuba memetik buah tersebut untuk
memakan isinya. Apabila dibuka, isi di dalamnya kosong namun si mati masih
tidak menyedari bahawa dia sebenarnya sudah memasuki dunia kematian. Dia akan
meneruskan perjalanannya lagi kerana dia masih-masih tercari destinasi yang
ditujuinya. Sabak bebuah atau lagu
kematian dinyanyikan oleh penyair lagu kematian (tukang sabak) untuk memandu roh si mati ini selamat ke destinasinya.
Si mati kemudian
sampai ke satu kawasan yang baru, sebuah kawasan yang nampak ceria dan penuh
ketenangan. Beransur-ansur dia akan melihat ada sebuah petempatan yang dipenuhi
oleh kanak-kanak yang masih kecil. Di halaman rumah panjang tersebut dipenuhi
oleh kanak-kanak yang sedang bermain. Di situ dia akan ternampak seorang wanita
berumur menjaga kanak-kanak tersebut yang dikenali Indai Lipai dalam
penceritaan Iban tradisional. Dalam amalan kebudayaan dan keagamaan tradisional
Iban, kanak-kanak yang meninggal dalam kandungan, semasa lahir dan sebelum
tumbuh gigi pertama (mati lulus) tidak
akan melalui proses ritual seperti yang dilakukan dalam adat kematian biasa.
Kanak-kanak yang meninggal sekadar diuruskan dengan sempurna iaitu dibalut
dengan kain oleh waris keluarga yang terbabit dan sekadar dibekalkan dengan
sebiji pinggan untuk melindungi roh kanak-kanak tersebut. Kemudiannya akan
dihantar ke kawasan perkuburan kanak-kanak yang berasingan tempat dengan
perkuburan biasa. Kawasan perkuburan ini dikatakan sebagai kubur tidak
bertanda. Roh mereka ini akan dijaga oleh Indai Lipai sebagai penjaga mereka di
alam kematian (sebayan).
Berbalik kepada
perjalanan si mati tadi, penceritaan mengatakan roh si mati akan tetap
meneruskan perjalanan kerana masih lagi belum sampai ke destinasi. Setelah
meneruskan satu perjalanan, si mati akan sampai ke tebingan sungai kecil dan di
situ ada sebuah rumah. Dikatakan si mati akan berhenti untuk melihat keadaan
rumah tersebut. Dalam puisi ritual kematian mengatakan rumah tersebut dimiliki
oleh Bunsu Bubut. Bunsu ialah satu gelaran untuk ketua kepada sesuatu spesis
haiwan dan dipercayai oleh masyarakat Iban tradisional boleh bertukar menjadi
manusia. Manakala Bubut ialah sejenis burung ataupun dikenali dalam bahasa
sainstifik Centropus Sinensis iaitu
dalam keluarga Cuculade yang memakan
serangga. Dalam kepercayaan masyarakat Iban, burung ini akan berbunyi apabila
ada kematian untuk memberi isyarakat telah berlaku kematian berhampiran dengan
sesebuah rumah panjang. Ini sekaligus memberikan isyarat yang tidak baik kerana
ada berlakunya kesusahan yang seumpama itu.
Diceritakan si mati
melihat rumah Bunsu Bubut cukup berbau, kotor dan dipenuhi dengan najis. Si
mati telah diperlawa oleh Bunsu Bubut untuk berhenti daripada meneruskan
perjalanannya dengan lebih jauh ke alam kematian. Namun yang demikian, si mati
terus menolak disebabkan rumah Bunsu Bubut cukup kotor untuk didiami.
Seandainya si mati bersetuju, maka rohnya dapat dikembalikan ke jasadnya yang
masih diratapi oleh saudara maranya di dunia. Si mati terus menyeberangi sungai
kecil tersebut bagi meneruskan perjalannya ke alam kematian. Di dunia nyata,
penyair ritual yang menyanyikan sabak
bebuah akan terus mengiringi perjalanan si mati. Apabila sudah sampai ke
tahap ini, jenazah sudah menunggu masa untuk dikebumikan ke tanah perkuburan
rumah panjang tersebut. Di dunia selepas mati, roh si mati akan menjumpai
sebuah rumah panjang yang cukup besar dan indah. Di pintu utama rumah panjang
tersebut tersebut sudah sedia penghuni rumah panjang untuk menyambut kedatangannya
dengan berpakaian Iban tradisional disertai alunan muzik tradisional.
Menurut penceritaan
lisan, ketua alam kematian (Ketuai
Sebayan) akan melihat punca kematian si mati. Seandainya punca kematiannya
ialah membunuh diri, maka rohnya akan ditempatkan di bawah rumah panjang
tersebut disebabkan membunuh diri bukan cara kematian yang dipersetujui dalam
amalan budaya Iban tradisional. Roh-roh yang ditempatkan di bawah rumah panjang tersebut sering meronta-ronta seperti minta dilepaskan. Jika di sebaliknya, maka roh si mati akan
diterima masuk ke dalam rumah panjang tersebut. Ahli keluarganya yang meninggal
terdahulu daripadanya akan menyambut kedatangan si mati untuk menyertai mereka
di alam kematian. Namun demikian, perjalanan roh si mati belum berakhir begitu
sahaja. Tempoh berkabung (ngulit)
yang dilakukan oleh anggota keluarga, saudara mara, sahabat handai dan juga
juga penghuni rumah panjang yang tinggal dengannya di alam nyata menyebabkan
rohnya masih berlegar-legar antara dunia nyata dan kematian. Tempoh berkabung
masyarakat Iban tradisional biasanya boleh berlarutan selama tiga bulan. Bagi
tiga hari pertama selepas pengkebumian iaitu di sebelah petang, anggota
keluarga dan penghuni rumah panjang akan pergi ke satu tempat khas yang
biasanya terletak di tebingan sungai pangkalan rumah panjang untuk menghantar
makanan dan juga juga menyalakan unggun api (lemai
tungkun api) kerana roh-roh dari alam kematian dipercayai datang ke tempat
tersebut untuk mengambil makanan yang disediakan dan juga untuk berdiang di
unggun api yang dinyalakan. Secara ritualnya, rombongan sekalian roh alam
kematian akan datang dengan perahu yang dihiasi indah dan berlabuh di pangkalan
rumah panjang yang ditimpa kematian tersebut. Setelah petang semakin suram dan
gelap, penduduk rumah panjang akan segera kembali ke rumah untuk mengelakkan
roh mereka yang masih hidup bercampur gaul dengan roh dari dunia kematian di
tempat unggun api tersebut.
Menjelang malam di dunia
nyata, ahli keluarga, saudara mara dan penghuni rumah panjang akan berkumpul
lagi di anjungan (ruai) waris si mati
untuk menemani mereka agar tidak terlampau berdukacita menghadapi kesusahan
yang telah menimpa mereka. Ahli keluarga akan menghidangkan minuman dan juadah
ringan untuk dinikmati bersama-sama pada tiga malam berturut-turut selepas
pengkembumian (makai pana). Sepanjang
tempoh perkabungan berlangsung, anjung waris si mati dan juga bilik mesti
dinyalakan pelita dan juga hidangan makanan kesukaan si mati akan diletakkan
khas di tengah-tengah bilik warisnya kerana dipercayai roh ini masih
berkeliaran dan mengunjungi tempat tinggalnya di dunia nyata. Si mati tidak
akan mengetahui dirinya telah meninggal dunia sehinggalah upacara perkabungan
selesai.
Setelah tiga bulan
berlalu, maka tempoh perkabungan tamat dan upacara Ngetas Ulit akan diadakan bagi
menandakan tempoh berkabung telah tamat. Bagi menyempurnakan upacara ini dalam
masyarakat Iban tradisional, maka kepala musuh akan dicari bagi kegunaan
ritual. Dalam pada itu, Iban dari kawasan Saribas biasanya melakukan ekspedisi
kecil (kayau anak) ke kawasan telah
diisytiharkan sebagai kawasan musuh bagi mendapatkan sebiji kepala. Semasa pemerintahan Rajah Brooke kedua iaitu Charles Johnson Brooke telah melarang amalan pemburuan kepala. Adat persembahan korban menggunakan kepala telah diubah kepada babi sebagai korban. Setelah
itu, upacara Ngetas Ulit akan diketuai oleh pawang
tradisional Iban (manang) yang
melakukan upacara bagi memberitahu roh si mati bahawa dia bukan lagi kepunyaan
dunia ini dan seharusnya kembali ke alam kematian supaya rohnya tenang di sana.
Pada masa ini juga, balu si mati juga akan menjalani upacara ritual iaitu ngambi entabalu yang dilakukan oleh
pawang Iban tradisional tadi. Peringkat yang terakhir dalam upacara ialah beserara bungai sebagai simbolik bahawa
roh si mati dengan manusia yang masih hidup akan terpisah buat selama-lamanya.
Menurut penceritaan lisan, setelah roh mati sebanyak tujuh kali di alam kematian Dewa Sempulang Gana akan menukarkan
rohnya menjadi embun dan kemudian embun tersebut akan melekat di badan wanita
yang sedang hamil. Dengan itu, rohnya akan dilahirkan semula ke alam nyata ini
setelah melalui perjalanan yang panjang di alam kematian.
Penutup
Kehidupan kita di dunia ini adalah sementara ataupun sekadar
transit sebelum kita melangkah ke alam kematian yang harus dialami semua kita
yang hidup. Walaupun berbeza pandangan dan juga tafsiran tentang dunia selepas
mati namun semua kita mempercayai tentang kewujudan dunia selepas mati.
Tafsiran kita berbeza lantaran perbezaan landskap masyarakat, sosiobudaya dan
juga agama. Ada di antara budaya dan kepercayaan tentang kelahiran semula
seperti masyarakat Iban tradisional iaitu Buddha dan Hindu. Bagi agama Kristian
dan Islam, roh-roh alam kematian akan dibangkitkan pada Hari Pengadilan kelak untuk
menentukan sama ada roh tersebut dihumbankan ke neraka atau diterima menjadi
sebahagian penghuni syurga. Pada masa kini, amalan Iban tradisional ini menjadi
semakin luntur atas gerakan pemodenan, urbanisasi dan juga disebabkan oleh
faktor dominan seperti Kristianisasi yang berasmilasi dengan sebahagian budaya
masyarakat Iban. Ini mengubah sudut pandang masyarakat dan mengamalkan budaya
baru termasuk kepercayaan tentang dunia selepas mati. Walau bagaimanapun,
penulis percaya bahawa budaya baru ini tidak melenyapkan seratus peratus
identiti masyarakat Iban kerana secara praktikalnya Kristianisasi mengamalkan
akulturasi terhadap pertembungan budaya di antara Kristianisasi dan juga
kebudayaan Iban. Diharapkan perubahan zaman yang pantas tidak memadamkan asal
usul kita dan atas kesedaran kelangsungan budaya dan kaum Iban seharusnya
setiap daripada anak Iban terus mendukung tanggunjawab untuk memelihara
identiti asal usul walaupun sekadar pemahaman minda sekalipun jika tidak
diamalkan dalam kehidupan sehari-harian.