About Panggaudayak:
An idea from Nicholas J. Ugik launched on late year 2011. Ugik hold a Bachelor Degree of Social Sciences (History Studies) has deep passion about Iban History and it's culture. His hot debut on thesis writing about Development of Iban Culture and Literature (1980-2000) as a break point for himself in Iban studies. Futhermore, he put his lifework on Panggaudayak as a legacy to the future.

"Make history be a path to future"

N.J. Ugik


Sunday 1 November 2015

Jajahan Mahkota: Sabah dan Sarawak selepas Perang Dunia Kedua

Oleh: Nicholas J. Ugik BA Soc. Sci (UMS)

Pengenalan                                                                                  
Selepas Perang Dunia Kedua, British telah menguasai Sabah dan Sarawak yang sebelum ini ditadbir Syarikat Berpiagam Borneo Utara di Sabah dan Rajah Brooke di Sarawak. Perang Dunia Kedua telah memberikan British peluang untuk campur tangan secara terus di Sabah dan Sarawak. Peluang ini memang ditunggu oleh British untuk mengukuhkan ekonomi dan loji pertahanannya di Asia Tenggara pada masa itu. Minat British ke atas Sarawak tertanam semenjak dari pemerintahan Rajah Charles Brooke lagi tetapi malangnya hasrat British tidak kesampaian kerana Charles seorang pentadbir yang cekap dan berjaya mengelakkan campurtangan daripada British. Pejabat Kolonial meneruskan cita-citanya untuk menguasai Sarawak secara terus ketika zaman Rajah Charles Vyner Brooke dan mereka menganggap beliau ialah seorang pemerintah yang lemah tetapi kenyataan mereka ternyata meleset kerana beliau tidak memberikan British peluang untuk campur tangan dalam pentadbiran Sarawak.
Hasrat British untuk menguasai Sarawak tidak kesampaian sehingga Perang Dunia Kedua. Bagi British North Borneo Company (BNBC) di Sabah, campur tangan British memang sudah mula bertapak dengan pengurniaan Piagam Diraja pada 1881 iaitu corak pentadbiran syarikat ditentukan oleh Pejabat kolonial di London. Tambahan pula, British telah mendirikan penempatan di Labuan yang mengawal kepentingan ekonomi dan pertahanan di Borneo Utara di bawah Gabenornya W.H Treacher. Sama keadaannya dengan di Sarawak iaitu British belum menguasai Sabah dengan secara langsung sehingga meletusnya Perang Dunia Kedua.

Faktor-Faktor Pengambilan Sabah dan Sarawak Oleh British Pada 1946
1.1        Faktor Dalaman Brooke dan British North Borneo Company
Charles Vyner Brooke yang sudah semakin uzur pada ketika itu di usia 72 tahun sangat risau yang beliau tidak ada pengganti dalam meneruskan pemerintahan Rajah Brooke di Sarawak kerana beliau tidak mempunyai anak lelaki yang boleh menggantikan beliau. Dalam undang-Undang kerajaan Sarawak pada masa itu, hanya pewaris lelaki yang dibenarkan untuk mewarisi takhta.  Selain itu, Vyner tidak yakin dengan kebolehan anak saudaranya Anthony Brooke untuk mewarisi takhta. Adik beliau, Bertram Brooke yang membantu beliau menguruskan pentadbiran Sarawak selama ini  dilihat tidak mampu menjadi pengganti beliau kerana sudah tua dan uzur. Masalah pewarisan takhta ini membuatkan Vyner menyerahkan pentadbiran Sarawak kepada British.
         Vyner juga memberikan alasan yang Sarawak menghadapi masalah kewangan selepas Perang Dunia Kedua dan kerajaan Brooke tidak mampu membangunkan Sarawak selepas Perang. Beliau percaya yang kerajaan Britain mampu memulihkan keadaan insfrastruktur di Sarawak dengan adanya sumbangan dari Welfare Plan Pejabat Kolonial untuk tujuan pembinaan semula insfrasruktur.
         Bagi pentadbiran British North Borneo Company pula, masalah kewangan yang yang dihadapi dilihat kesannya selepas Perang Dunia Kedua iaitu kekurangan sumber kewangan untuk membangunkan infrastruktur yang musnah teruk selepas perang dan kadar beban hutang yang tinggi di kalangan pelabur. Oleh itu, BNBC telah menyerahkan kedaulatan wilayah Sabah kepada British yang mengambil alih pentadbiran kerana BNBC tidak mampu untuk memikul tanggungjawab dalam pembinaan semula Sabah.

1.2     Imej Britsh yang Mempunyai Peranan yang Besar di Sarawak dan Sabah Selepas Perang Dunia Kedua
Sarawak telah diambil oleh British secara rasminya dari Dinasti Brooke pada 1 Julai 1946. Clement Atlee telah menggubal satu rancangan pembaharuan negara Sarawak selepas perang dengan penubuhan Jawatankuasa Kabinet yang menguruskan hal-ehwal wilayah di Borneo dan Malaya selepas perang. Selain daripada itu juga, British Adminstration Army (BMA) telah bertapak di Sarawak selepas perang yang memulihkan keadaan insfrastruktur dan membantu pentadbiran di Sarawak. Ini telah menaikkan imej British di rantau ini yang dilihat penduduk tempatan sebagai penyelamat mereka daripada kesan perang yang menjejaskan keperluan ekonomi dan keperluan sosial. British juga telah menyatakan yang mereka perlu bertapak di Asia Tenggara untuk menjamin ekonomi, sosial dan politik Tanah Jajahannya pada masa depan. Dalam meneruskan dasar ini, British telah menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai Crown Colony bagi memudahkan campur tangan secara terus ke atas kedua-dua wilayah Borneo ini.
         Keadaan di Sabah adalah sangat teruk selepas Perang Dunia Kedua, BMA telah mengambil alih pentadbiran daripada Tentera Diraja Australia yang dipimpin oleh Komandan Kesembilan F. Wooden. Beliau berjaya mengalahkan pihak Jepun di Jesselton (Kota Kinabalu) pada penghujung Perang Dunia Kedua (1945) seterusnya berjaya merampas Sabah dari pihak Jepun. BMA yang dipimpin oleh C. F Macaskie telah memulihkan keadaan infrastruktur di Sabah yang musnah teruk akibat kesan perang yang keadaannya lebih teruk berbanding dengan di Sarawak. Sabah dijadikan Crown Colony British secara sepenuhnya pada 15 Julai 1946.

1.3        Kepentingan Ekonomi British di Sabah dan Sarawak
Pada mulanya Borneo tidak begitu dipandang oleh kuasa Barat sebagai sebuah tempat untuk menjana pulngan ekonomi yang lumayan. Tetapi sejak pertengahan abad yang kesembilan belas, kuasa Barat telah menyedari  potensi ekonomi Borneo terutamanya dari hasil bumi yang memberikan keuntungan yang sangat besar seperti pembalakan dan petroleum. Pejabat Kolonial telah melihat potensi ekonomi Sarawak yang begitu menguntungkan terutamanya lombong petroleum yang terdapat di Miri menyebabkan mereka begitu iri hati. Mereka menggunakan alasan yang hasil ekonomi Sarawak begitu penting untuk membangunkan taraf sosial di kebanyakan wilayah jajahan British yang lain. Oleh itu, mereka mesti mengusahakan sumber ekonomi ini dengan sebaiknya.
         Selain daripada itu juga, British berpendapat Sarawak yang begitu bernilai tidak wajar dimerdekakan dengan segera dan mereka menggunakan slogan “Penstrukturan Semula Asia Tenggara Selepas Perang”. Walaupun Piagam Atlantik telah menegaskan imperialisme wajar dihapuskan selepas Perang Dunia Kedua namun British tetap ingin menguasai ekonomi di Borneo.
         Sehubungan dengan itu, perlombongan minyak di Miri telah diusahakan sebuah syarikat milik British, iaitu Shell Berhad yang menguruskan Sarawak Oil Company dan kerajaan negeri Sarawak hanya mendapat royalti daripada hasil perlombongan minyak ini. Perusahaan  pertanian komersial juga telah dieksploitasi sepenuhnya oleh British. Pada dasarnya, British memperkenalkan dasar “Tanah Lebih Banyak Untuk Penanaman Makanan” tetapi pengusahaan lada hitam,getah dan sagu yang lebih diberi perhatian kerana ia adalah eksport dunia yang terpenting. Selain itu, Rancangan Lima Tahun turut diperkenalkan oleh British di Sabah dah dan Sarawak bagi memulihkan ekonomi dan infrastrukur.
         British telah membina semula kemudahan infrasruktur yang telah musnah semasa perang seperti jalan, pelabuhan dan landasan keretapi untuk membangunkan semula ekonomi Sabah terutamanya getah dan kayu balak dan juga sedikit tanaman kelapa copra dan manila hemp. Walaupun ini adalah satu tugas yang sulit namun British berjaya meningkatkan pengeluaran getah  iaitu sebanyak 15 ribu tan getah setahun untuk dieksport. Getah yang menjadi punca ekonomi British di Sabah telah diusahakan dengan lebih komersial dengan cara baru dalam penaman getah seperti penebangan pokok getah yang sudah tua dan penaman semula pokok-pokok muda yang dapat menghasilkan lebih banyak lagi susu getah.
         Perusahaan kayu balak juga antara yang menyumbang kepada pendapatan ekonomi Sabah pada masa itu kerana ia juga komoditi dunia yang terpenting. Penguasaan British terhadap komoditi ini telah meningkatkan kuantiti eksport balak sebanyak 1, 567, 000 cubic feet setahun. Dalam pada itu, monopoli konsesi balak oleh British Borneo Timber Company  telah dibuka kepada syarikat balak British yang lain untuk meningkatkan pengeluaran balak seperti Kennedy Bay Timber Company, The Burma Bombay Trading Corporation dan The North Borneo Timbers Limited. Semua ini telah memberikan pulngan yang lumayan kepada British yang mengeksploitasi ekonomi Sabah dan Sarawak.

1.4        Membina Ekonomi British yang Lumpuh Selepas Perang Dunia Kedua
Perang Dunia Kedua yang meletus telah memberikan kesan yang teruk kepada British kerana perang yang turut berlaku di Eropah telah menyebabkan kemusnahan yang teruk di Britain khasnya serangan dari Jerman dan Itali. Britain juga turut berperang di Asia dan Afrika untuk melindungi tanah jajahannya daripada ditakluki. Ini telah menelan kos yang banyak untuk kegunaan anagkatan tenteranya dan pembinaan semula negara selepas perang.
        Menyedari hakikat ini, Parti Buruh telah menekan Charles Vyner Brooke agar menandatangani Supplementary Act  sejak Oktober 1941 lagi kerana British telah melihat potensi ekonomi Sarawak yang  mampu menampung keperluan British di masa depan. Britain juga dapat mengukuhkan kewangan untuk program-program ekonomi kerana sumber mentah Sarawak yang begitu bernilai. Walaupun Britain telah menghadapi masalah tenaga buruh untuk menjana pendapatan ekonominya namun telah  melakar satu pelan jangka panjang untuk membawa keluar lebihan kewangan apabila ia sudah mencukupi bagi kegunaan di Britain. Borneo Company dan Shell Berhad juga menyokong tindakan British mengambil alih Sarawak daripada Rajah Brooke kerana mereka yakin yang British mampu menjaga kepentingan ekonomi mereka di Sarawak.
         Perang Dunia Kedua telah memberikan kesan yang teruk kepada British kerana kekurangan bahan mentah untuk kegunaannya di Eropah dan juga menampung perbelanjaan di tanah jajahan yang lain. Sabah dilihat mampu membekalkan bahan mentah untuk kepentingan British. Eksploitasi ekonomi ini telah menyebabkan British mengaut keuntungan yang besar dan mempunyai modal yang banyak tetapi mereka mengabaikan pembangunan untuk penduduk peribumi dan hanya membangunkan infrastrukur yang berkaitan dengan kepentingan ekonomi mereka sahaja seperti jalan raya, jalan keretapi dan bangunan yang dibina di kawasan yang mempunyai potensi ekonomi kepada British. Selama 17 tahun British bertapak di Sabah dan Sarawak, mereka memaksimumkan keuntungan dengan sepenuhnya untuk kepentingan ekonomi British. Hasil ekonomi utama seperti getah, lada hitam, kelapa, kayu balak, sagu dan tembakau telah diusahakan secara besar-besaran.

            1.5 Kepentingan Singapura Sebagai Entreport di Asia Tenggara
Oleh sebab Sabah dan Sarawak yang mempunyai hasil bumi yang banyak dan berperanan sebagai pembekal kepada Singapura maka British mesti menjajah Sabah dan Sarawak secara terus sebelum kuasa Barat lain mengambil kesempatan ke atas kekayaan hasil bumi kedua buah negara ini. Sejak zaman Rajah Charles Brooke lagi, Sarawak telah membekalkan bahan mentah untuk pelabuhan Singapura seperti sagu dan antimoni. Keadaan ini ingin diteruskan oleh British demi menjamin kepentingan Singapura sebagai entreport yang penting di Asia Tenggara. Selepas pendudukan British di Sarawak, Royal Air Force (R.A.F) telah menghubungkan perkhidmatan udara di antara Sarawak dan Singapura. Kontrak ini kemudiannya diteruskan oleh Dakotas Airways sebelum diserahkan kepada Malayan Airways bagi tujuan yang lebih komersial dan memudahkan perhubungan Sarawak, Sabah, Brunei dan juga Singapura.
         Seperti di Sarawak juga, Sabah dihubungkan dengan dengan Singapura apabila Malayan Airways memulakan perkhidmatan pada Mei 1949. Di samping itu, hasil bumi yang diangkut ke pelabuhan terutamanya getah dan balak telah terus dieksport ke Singapura dengan adanya perkhidmatan perkapalan dari The Straits Steamship Company yang menghubungkan semua pelabuhan di Sabah dengan Singapura. Perkhidmatan ini semua telah memudahkan British mendapatkan bahan mentah yang diperlukan di Singapura di samping Sarawak dan Sabah yang menjadi pasaran barang keluaran British dan juga produk siap yang di hasilkan di Singapura.

            1.6 Kepentingan Pertahanan British di Rantau Ini
Kedudukan Borneo adalah amat strategik dan penting untuk melindungi Malaya dan Singapura. British juga berhasrat untuk menyusun semula tanah jajahan di Asia Tenggara. Oleh sebab itu, pihak British harus menguasainya untuk kepentingan pertahanan untuk masa depan khasnya menghadapi serangan dari arah lautan Pasifik. Penempatan loji tentera difikirkan logik dan sesuai di Borneo khasnya di utara Borneo. Untuk tujuan itu, Pejabat Kolonial mengarahkan Sir Harold McMichael menggunakan Foreign Jurisdiction Act 1890 untuk mengambil Sarawak sebagai  Crown Colony serta mengurangkan kuasa Brooke di bawah pentadbiran Malaya.
         Sehubungan dengan itu, British telah mengambil kira tentang kepentingan perusahaan melombong minyak yang dijalankan di Miri dan Seria. British risau terhadap kuasa barat lain yang cuba campur tangan di Brunei kerana kekayaan Brunei dengan hasil petroleum. Ini tentu sekali mengancam niat British untuk mengukuhkan ekonomi mereka di Borneo dan rantau Asia Tenggara. Penguasaan secara terus ke atas Sabah dan Sarawak membolehkan British menempatkan armada tentera lautnya di Borneo.
         British juga khuatir dengan kebangkitan kesedaran sesetengah penduduk Sabah dan Sarawak yang berpendidikan untuk membebaskan diri dari cengkaman penjajah yang boleh menjejaskan pelaburan British secara langsung. Di samping itu, gerakan nasionalisme yang muncul di Indonesia, khuatir dengan tindak tanduk Australia dan sentimen anti-penjajahan Amerika Syarikat dilihat mampu mempengaruhi semangat nasionalisme penduduk Sabah dan Sarawak pada masa itu.
           
1.7  Alasan  Sarawak dan Sabah Menghadapi Masalah Kewangan  Selepas Perang
Perang Dunia Kedua telah meninggalkan kesan yang amat serius terhadap Sabah dan Sarawak kerana kemusnahan infrastrukrur dan kelumpuhan ekonomi. Bagi Sarawak, kemusnahan telaga minyak di Miri menyebabkan kerajaan Brooke menghadapi masalah kewangan untuk membangunkan semula Sarawak. Di samping itu juga, tindakan tentera British menggunakan dasar “Bumi Hangus” apabila kalah di dalam peperangan bagi mengelakkan Jepun mengeksploitasi ekonomi Sarawak. Tindakan ini telah melumpuhkan kegiatan ekonomi di Sarawak. Ini dijadikan alasan oleh Vyner Brooke untuk menyerahkan Sarawak kepada British kerana beliau menyatakan hanya British yang mampu memulihkan ekonomi Sarawak pada ketika itu.
         British North Borneo Company (BNBC) di Sabah menghadapi masalah kewangan yang lebih teruk berbanding dengan Sarawak kerana awal-awal lagi BNBC menghadapi masalah dalam pengurusan kewangan dan keadaan semakin teruk selepas perang. BNBC merasakan yang penstrukturan semula Sabah adalah sangat berat dan bercadang menyerahkan Sabah sebagai Crown Colony  kepada British bagi tujuan mendapatkan pampasan untuk menampung dana syarikat dan membayar beban butang kepada pelabur. Dengan itu, British bersetuju memberikan pampasan sebanyak £ 860,600 untuk BNBC menyerahkan Sabah kepada British. British telah melihat peluang ini adalah cukup baik untuk mereka menjajah Sarawak dan Sabah secara terus untuk merealisasikan impian mereka semenjak penghujung abad kesembilan belas lagi.

Kesimpulan
Secara ringkasnya, sebab British ingin menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai Crown Colony pada 1946 adalah kerana kepentingan pertahanan dan ekonomi British di rantau ini. Dari segi pertahanan, Borneo adalah antara kawasan yang strategik untuk melindungi ekonomi dan perusahaan British di Singapura dan kawasan sekitar Asia Tenggara di samping Sabah dan Sarawak sangat kaya dengan hasil buminya. Dari aspek ekonomi pula, kekayaan Sabah dan Sarawak dengan hasil bumi dapat membantu perindustrian British di Singapura dan Britain di samping banyak daripada hasil bumi ini adalah eksport dunia yang terpenting.






Senarai Rujukan:
Abdul Rahman Hj. Ismail (2005) Malaysia: Sejarah Kenegaraan dan Politik. Dewan Bahasa dan Pustaka dan Dawana Sdn. Bhd.

Irwin, Graham (terjemahan Mohd. Nor Ghani dan Noraini Ismail) (1986) Borneo Abad        Kesembilan Belas. Dewan Bahasa dan Pustaka

Jayum Jawan (1994) Iban Politics and Economic Development. Universiti Kebangsaan        Malaysia, Bangi.

Kasim Thukiman (2002) Malaysia: Perspektif Sejarah dan Politik. Universiti Teknologi         Malaysia, Sekudai, Johor.

Kennedy, Joseph (1993) A History of Malaya. SAM Publishing, Kuala Lumpur.

Mohd Isa Othman (2002) Sejarah Malaysia (1800-1963). Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd.

Pollard, Elizabeth (1997) Kuching (1839-1970). Dewan Bahasa dan Pustaka,Kuala Lumpur.

Reece, R. H. W (1982) The Name of Brooke: The End of White Rajah Rule in Sarawak. Oxford University Press. Kuala Lumpur.

Ruslan Zainudin (2003) Kursus Komprehensif Fajar Bakti : Sejarah Malaysia Edisi Kedua.  Penerbit Fajar Bakti.


Tregoning, K. G (1965) A History of Modern Sabah. Universiti of Malaya Press, Singapore