About Panggaudayak:
An idea from Nicholas J. Ugik launched on late year 2011. Ugik hold a Bachelor Degree of Social Sciences (History Studies) has deep passion about Iban History and it's culture. His hot debut on thesis writing about Development of Iban Culture and Literature (1980-2000) as a break point for himself in Iban studies. Futhermore, he put his lifework on Panggaudayak as a legacy to the future.

"Make history be a path to future"

N.J. Ugik


Monday 5 February 2018

TIKAI: FUNGSI DALAM KEHIDUPAN BUDAYA MASYARAKAT IBAN

JURNAL BORNEO ARKHAILOGIA (Volume 1, Number 1 - 2017)

TIKAI: FUNGSI DALAM KEHIDUPAN BUDAYA MASYARAKAT IBAN
Penyelidik dan penulis: Gregory Anak Kiyai @ Keai1
Program Sejarah, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan
Universiti Malaysia Sabah
gregory_kiyai@yahoo.com

Abstrak
Kraf tangan merupakan salah satu elemen dalam konteks warisan ketara.
Semua budaya memiliki ciri khas dan boleh dilihat melalui penghasilan kraf
tangan. Bagi masyarakat Iban di Sarawak, seni anyaman tikai merupakan salah
satu ciri budaya yang dapat dilihat jelas dalam etnik tersebut. Tikai bermaksud
tikar adalah salah satu kraf tangan yang diperlukan untuk kegunaan seharian.
Selain berfungsi sebagai alas untuk duduk, tikai juga berperanan besar dalam
budaya tradisional masyarakat Iban. Kajian ini akan menjelaskan fungsi tikai
dalam kehidupan budaya masyarakat Iban di Sarawak.
Kata kunci: Budaya, Iban, kraf tangan, warisan.

Abstract
Handicraft is the one of the elements in the context of tangible heritage. All
cultures have a special features and can be seen in craftsmanship. For the
Iban community in Sarawak. Tikai’s woven art is one of the cultural features
that can be seen clearly in that ethnicity. Tikai means mats are one of the
handicrafts needed for everyday use. In addition to functioning as a base
for sitting, tikai also play a big role in the traditional culture of Iban society.
This study will explain the function of tikai in the cultural life of the Iban
community in Sarawak.
Keywords: Culture, Iban, handicraft, heritage.
--------------------------------------------------------------------------------------------
Pengenalan
Tikai merupakan sebuah seni anyaman kraf tangan masyarakat Iban di
Sarawak.Tikai mempunyai banyak istilah seperti idas, kelaya atau bidai yang
membawa maksud tikar ataupun sebagai alas untuk duduk. Kebanyakan
masyarakat Iban di Sarawak meletakkan tikai di ruang bilik dan diwarisi
secara turun-temurun, terutamanya kepada anak perempuan. Penulisan ini
memfokuskan fungsi tikai dalam kalangan masyarakat Iban.
Tidak dapat dipastikan dengan jelas bila bermulanya pembuatan seni
anyaman tikai dalam masyarakat Iban. Namun, dipercayai pembuatan tikai
ini sudah lama dilakukan sejak zaman nenek moyang lagi. Ada cerita lisan

1 Gregory Anak Kiyai @ Keai ialah pelajar Sarjana di Program Sejarah, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan
Warisan, Universiti Malaysia Sabah.

yang mengatakan terdapat wanita cantik yang bernama Sendi yang mahir
dalam seni menganyam dan terkenal dengan kemampuan menciptakan
corak anyaman yang cantik sehingga diperturunkan kepada masyarakat
Iban kini. Seni anyaman tikai ini dipercayai sudah ada semasa masyarakat
Iban masih mendiami Kalimantan sebelum berhijrah ke Sarawak. Menurut
Anna Durin (2010), pada zaman dahulu tikai bemban sangat popular dalam
kalangan masyarakat Iban yang tinggal di Bahagian Samarahan, Sri Aman
dan Betong.2 Proses migrasi masyarakat Iban atau bejalai telah membawa
kraf tangan anyaman tikai ini ke seluruh pelosok Sarawak. Menurut Helga
Chermai Anak Iri (56 tahun);

Suba maya sida inik die bejalai ari Layar ke Ulu Limbang laban mudik
ke ulu ngiga tanah endur bumai baru bebai ke Tikai dalam perau kena
nyadi ke selap duduk. Makin ke ulu makin gayu ga tanah endur bumai.3

Merujuk kepada petikan di atas, beliau menyebut bahawa migrasi
masyarakat Iban dari Layar, Betong ke Ulu Limbang adalah untuk mencari
tanah baharu bagi pembukaan tanaman padi huma. Mereka percaya dengan
mudik ke kawasan hulu akan menjadikan hasil tanaman padi yang subur.
Dalam migrasi tersebut, mereka telah membawa kraf tangan tikai sebagai
alas duduk dalam perahu. Migrasi tersebut telah membawa kemahiran
menganyam tikai ke kawasan baharu.

Jenis Tikai Iban
Terdapat pelbagai, jenis tikai dalam kebudayaan masyarakat Iban seperti
tikai bemban, tikai lampit, tikai keropok, idas, dan sebagainya. Pembuatan
anyaman tikai mempunyai pelbagai jenis, iaitu dibuat melalui bemban, rotan
dan buluh. Selalunya bahan yang digunakan dalam pembuatan tikai adalah
bahan yang senang dijumpai di hutan Borneo dan dekat dengan masyarakat.
Tikai Bemban
Tikai bemban adalah sejenis tikar masyarakat Iban yang dianyam dan
diperbuat daripada daun bemban dari jenis tumbuhan donax andurastrum.
Tikar jenis ini adalah yang terawal dibuat oleh nenek moyang masyarakat
Iban. Tumbuhan bemban senang dijumpai di kawasan yang berpaya,
menjadikan bemban sebagai pilihan utama untuk pembuatan tikai. Proses
pembuatan tikar ini agak rumit berbanding dengan tikai yang lain kerana
bemban akan dipilih berdasarkan kepanjangan batang bemban. Isi yang
terdapat dalam bemban akan dibuang. Selepas itu, batang bemban yang

2 Anna Durin, Rahah Hasan & Zarina Mohd. Shah, Tikai Bemban Satu Seni Rupa Iban yang Harus
Dipertahankan, Persidangan Antarabangsa Minoriti dan Majoritu Bahasa, Budaya dan Identiti: Hilton,
Kuching, Sarawak, Malaysia: 23–24 November 2010.
3 Helga Chermai anak Iri, 56 tahun, kampung Tr. Tan Rantau kiran, Nanga Medamit, Limbang, Sarawak.
Temu bual diadakan pada 2 Julai 2017, 12.30 tengah hari.

dipilih akan dibawa ke rumah panjang dan dijemur untuk mendapatkan
warna putih. Selalunya proses menjemur bemban akan mengambil masa
selama lima hari bergantung pada keadaan cuaca. Bemban akan dijemur di
pelantar rumah atau dikenali sebagai tanju. Selepas dijemur, daun bemban
akan direndam dalam sungai untuk melembutkannya supaya senang dilentur
semasa menganyam tikai. Proses merendam ini mengambil masa selama
sehari sahaja. Selepas proses tersebut selesai, bemban akan dilembutkan
semula dengan menggunakan pisau kecil, serta diceraikan dengan memotong
secara lurus memanjang dalam kuantiti yang kecil dan banyak. Kemudian,
bemban akan dijemur semula agar menjadi kering. Akhir sekali, barulah
proses menganyam akan dimulakan.
Semasa proses menganyam, wanita Iban akan memilih corak yang
lazimnya berkait rapat dengan kepercayaan dan alam sekeliling, terutamanya
corak geometri seperti anyam bebuah (figura manusia, haiwan, tumbuhan),
anyam balui (anyaman melintang) dan anyam baku. Pemilihan corak ini
dilakukan dan dipelajari berdasarkan sistem turai (meniru corak) dan telah
diwujudkan sejak dahulu lagi. Corak dan motif memainkan peranan penting
semasa menganyam tikai. Pertama, disebabkan faktor ketelitian (sifat wanita)
dan kedua adalah persepsi masyarakat. Semasa zaman dahulu, wanita
yang memiliki kemahiran tersebut akan direbut dan lebih disukai oleh lelaki
dan mentua untuk dijadikan isteri dan menantu. Oleh itu, keluarga yang
mempunyai anak perempuan akan mendesak dan melatih anak perempuan
mereka untuk menguasai kemahiran tersebut supaya memudahkan mereka
untuk mencari jodoh kelak. Menurut Helga Chermai anak Iri (56 tahun);

Landik baka kumang enggau lulung ti kitai indu jampat serta landik
beranyam lalu nemu nenun pua tauka kain kebat, pia ko sida niang
inik.4

Menurut Jean Francois Biehaut (1994), wanita Iban akan diajar
menganyam seawal umur 13 tahun, iaitu dengan anyaman mudah seperti
raga (bakul kecil) dan baka (bakul penyimpanan). Selepas itu setelah mereka
mahir barulah mereka diajar untuk menganyam tikar dan anyaman yang lain
untuk kegunaan dalam kehidupan seharian.5

4 Terjemahan: Kalau kita mahir dan cepat dalam menganyam atau menenun kain pua kumbu, kita akan
digelar ibarat seperti kumang atau Lulung begitulah apa yang diberitahu oleh arwah nenek dahulu.
Helga Chermai anak Iri, 56 tahun, kampung Tr. Tan Rantau kiran, Nanga Medamit, Limbang, Sarawak.
Temu bual diadakan pada 2 Julai 2017, 12.30 tengah hari.
5 Jean Francois Biehaut, Iban Basket, Kuching: Sarawak Literary Society, 1994, hlm. 216.

Tikai Lampit
Tikai lampit atau lebih dikenali sebagai tikar rotan jauh lebih rumit
pembuatannya berbanding tikai bemban. Hal ini disebabkan oleh kesukaran
untuk mencari rotan sebagai asas binaan anyaman. Kesukaran itu telah
menjadikan faktor penjualan tikai lampit ini agak mahal dalam industri
kraf tangan. Asal usul pembuatan tikai lampit sebenarnya dimulakan oleh
masyarakat Kenyah dan Kayan. Asimilasi dengan masyarakat tersebut telah
membolehkan masyarakat Iban mempelajari kraf tangan ini dan telah
membawa kemahiran tersebut semasa migrasi ke Sarawak.6

6 Ibid.

Proses pembuatan tikai lampit bermula dengan proses memilih rotan.
Rotan yang dipilih adalah dari jenis pokok palma atau nama saintifiknya
tribus atau calameae. Rotan yang sudah dipilih akan dibuang kulitnya dan
kemudian dibelah dua. Sebelum dibelah, rotan terlebih dahulu dibersihkan
kulitnya (mengikis) dan kemudian dicuci. Rotan akan dibelah berdasarkan
kepada saiz rotan. Selepas itu, rotan akan dijemur di pelantar rumah. Proses
menjemur tersebut akan mengambil masa selama tiga hari dan bergantung
dengan faktor cuaca. Selesai sahaja proses penjemuran, rotan akan diraut
menjadi halus supaya senang untuk mencantumkannya menjadi tikai. Akhir
sekali, rotan tersebut akan dianyam menjadi tikai.
Tikai Kerupuk
Kerupuk adalah sejenis tumbuhan yang mudah didapati di kawasan berpaya
dan hilir sungai. Tumbuhan ini juga boleh ditanam, terutamanya di halaman
kampung atau rumah. Jenis tumbuhan kerupuk ini sama seperti pandan,
cuma kerupuk mempunyai duri. Anyaman menggunakan kerupuk paling
mudah dijumpai di Sarawak dan tidak melibatkan proses yang terlalu susah.
Proses pembuatan tikai kerupuk bermula dengan memotong kerupuk.
Selepas itu, duri pada daun kerupuk akan dibuang dan kemudian direndam
selama tiga hari untuk melembutkannya. Selepas direndam, kerupuk akan
dijemur bagi proses pengeringan sebelum dianyam.

Fungsi Tikai dalam Budaya
Masyarakat Iban sama seperti masyarakat kaum lain di Malaysia. Mereka
memiliki kekayaan budaya dan adat. Fungsi tikai ini sangat besar dalam adat
masyarakat Iban seperti adat beranchau, Pesta Gawai, adat kematian, adat
kelahiran dan sebagainya.

Adat Beranchau
Beranchau adalah satu perbuatan kerja menghamparkan atau
membentangkan sesuatu objek seperti tikar, permaidani dan selimut. Adat
beranchau ini membawa banyak pengertian dalam budaya masyarakat Iban.
Salah satunya ialah mengalu-alukan kedatangan tetamu yang berkunjung
atau ngabang ke rumah panjang. Mereka sangat memandang tinggi kepada
tetamu yang dipanggil temuai datang berkunjung ke rumah panjang.
Temuai akan dijemput duduk di tikai lalu dihidangkan dengan makanan
dan juga tuak sambil dihiburkan dengan tarian ngajat. Selain itu, sistem
tradisional yang diamalkan dalam komuniti rumah panjang memerlukan aum
ataupun perbincangan (berandau) antara tuai rumah dan anak buahnya
untuk berbincang tentang segala hal di rumah panjang yang bersangkut
paut dengan penanaman padi, hukum dan sebagainya. Semasa proses
aum, selalunya tikai akan dihamparkan sebagai alas duduk di ruai Tuai
Rumah (Ketua Kampung). Jika melibatkan hukum atau hal lain, maka tikai
akan dihamparkan oleh orang yang meminta aum daripada Tuai Rumah.
Kepentingan tikai dilihat sebagai petanda dalam kehidupan masyarakat Iban.
Sekiranya tikai dihamparkan di ruai, maka mereka mengerti akan ada pekara
yang terjadi di rumah panjang, iaitu sama ada ia bermaksud membawa
berita buruk ataupun berita baik.

Gawai Sandau Ari
Kepercayaan masyarakat Iban terhadap mimpi dan roh nenek moyang
adalah sangat kuat. Mereka percaya setiap mimpi yang dialami semasa tidur
adalah pesanan ataupun amaran tentang bahaya yang disampaikan oleh
nenek moyang atau petara (semangat). Gawai Sandau Ari bermaksud Gawai
Siang Hari yang dilakukan di tanju (pelantar rumah) sahaja. Tujuan upacara
ini dilakukan adalah bagi menilik atau melihat nasib dengan menggunakan
hati babi sebagai perantara. Menurut Anna Durin (2014), semasa upacara
Sandau Ari dijalankan, tikai bemban akan dihamparkan untuk alas tempat
duduk bagi lembambang atau tuai burung yang ini akan menyanyikan
mantera bagi menjemput semangat dan juga tempat untuk meletakkan
piring bagi menjamu semangat.7 Namun berlainan pula dengan informasi
yang diberikan oleh Helga Chremai (56 tahun), beliau berkata semasa
upacara Sandau Ari, pemilihan tikai sebagai alas duduk juga sangat penting.
Kaum wanita yang menyediakan peralatan untuk upacara tersebut tidak
boleh memilih tikai sembarangan kecuali tikai lampit sebagai alas duduk. Hal
ini demikian kerana semangat yang dipanggil sebagai Bungai Nuing sangat
cerewet atau merasakan bahawa tikar yang lain adalah berkasta rendah.8
Beliau mengatakan sekiranya pengunjung atau temuai yang mengikuti

7 Anna Durin, Tikar Bemban, Kuching: Universiti Malaysia Sarawak, 2014, hlm. 109.
8 Helga Chermai anak Iri, 56 tahun, Kampung Tr. Tan Rantau kiran, Nanga Medamit, Limbang, Sarawak.
Temu bual diadakan pada 2 Julai 2017, 12.30 tengah hari.

upacara ini terkena angin Bungai Nuing boleh menyebabkan temuai jatuh
pengsan atau disebut sebagai alah ayu.9

Petanda Gawai
Selain berfungsi sebagai alas duduk, tikai turut digunakan sebagai petanda
bermula dan berakhirnya Pesta Gawai. Pesta Gawai selalunya akan disambut
oleh masyarakat Iban pada 1 Jun setiap tahun bagi menandakan berakhirnya
musim menuai padi. Pada masa dahulu, sebelum penggunaan kalendar wujud
dalam masyarakat Iban, mereka akan meraut batang rotan. Rotan yang diraut
akan disimpulkan kepada beberapa bahagian dan akan digunting setiap pagi.
Amalan ini adalah cara mereka untuk menghitung hari bagi menentukan
tiba masa menyambut Gawai. Biasanya sehari sebelum Gawai, akan ada
sambutan malam Gawai. Tikai akan dihamparkan di seluruh rumah panjang
dan akan diletakkan bersama dengan tuak serta juga piring disediakan untuk
kegunaan upacara miring. Upacara miring dilakukan bagi mengucapkan rasa
kesyukuran kepada petara atas limpah rezeki yang diberikan semasa musim
menuai padi. Bagi menunjukkan rasa syukur tersebut, mereka membalas
dengan jamuan piring yang telah dibaca mantera oleh manang atau pawang.
Semasa hari Gawai, tiang ranyai akan didirikan untuk menandakan
pesta Gawai sedang berlangsung. Tiang ranyai selalunya diambil daripada
pokok pinang atau pokok yang bercabang, bergantung kepada jenis hiasan
yang hendak diletakkan pada ranyai. Pada zaman dahulu, buah ranyai ialah
antu pala umpama kepala musuh yang sudah dikayau (kepala yang diperoleh
semasa mengayau). Tetapi dalam konteks moden, antu pala sudah ditukar
dengan buah kelapa untuk dipersembahkan dalam ritual nimang jalung
sewaktu Gawai Antu. Ranyai yang sudah siap dihias dengan makanan, di
bahagian bawah ranyai disimpan tajau yang berisi dengan air tuak pupu,
iaitu air tapai rumah panjang. Kemudian ia akan dibalut menggunakan tikai
bemban atau tikai lampit. Apabila ranyai sudah ditebang, upacara Gawai pun
bermula dan mereka menyambutnya dengan penuh rasa kesyukuran.
Semasa pesta Gawai berakhir, akan ada upacara ngiling bidai atau
menggulung tikai. Di sini, sekali lagi fungsi tikai akan digunakan sebagai
simbolik kepada penutupan berakhirnya pesta menuai. Tikai akan digulung
oleh Tuai Gawai (Ketua Gawai). Tujuan mengadakan upacara ngiling bidai
selain daripada menutup gawai adalah bagi menghalau lalat yang dipercayai
boleh membawa bala dan penyakit kepada penduduk di rumah panjang.
Tikai yang selalu digunakan adalah idas, bemban mahupun lampit. Bahkan,
sehingga kini upacara ngiling bidai masih lagi dilakukan oleh masyarakat Iban.

9 Ibid.

Adat Kelahiran dan Kematian
Semasa wanita Iban melahirkan anak,tikai bemban yang dianyam khas
akan dihamparkan untuk menyambut kelahiran bayi. Tikai ini dianyam oleh
nenek ataupun ibu semasa menunggu kelahiran bayi tersebut. Begitu juga
dengan si ibu, mereka akan duduk di tikai bemban semasa proses berkindu,
iaitu proses berpantang selepas melahirkan bayi. Di sini kita boleh melihat
bahawa tikai bemban ini adalah sebagai fungsi pemanas semula jadi kepada
wanita yang telah bersalin. Dalam adat kematian pula, masyarakat Iban
mempunyai cara tersendiri untuk mengendalikan mayat atau disebut sebagai
baya. Tikai akan diletakkan sebagai alas untuk membaringkan mayat. Mayat
akan diletakkan di ruai rumah selama tiga hari dengan tujuan membolehkan
sahabat handai dan saudara-mara memberikan penghormatan terakhir.
Sebelum dibawa ke ruai rumah, tempat khas untuk mayat akan dibuat, iaitu
membuat dinding dengan menggunakan pua kumbu dan tempat tersebut
dipanggil sapat. Dalam sapat tersebut, kaum perempuan akan bergilir-gilir
menjaga mayat sehingga pagi. Sepanjang tempoh tersebut, sebarang pesta,
bunyi muzik atau kerja tidak boleh dilakukan bagi menghormati keluarga si
mati. Selain itu, tikai ini juga akan dibawa ke kubur si mati sebagai hartanya
semasa di dunia akhirat.

Kesimpulan
Fungsi tikai dalam budaya masyarakat Iban masih relevan hingga kini,
biarpun dilanda perubahan penciptaan tikar plastik yang menawarkan harga
yang lebih murah dan corak yang pelbagai. Namun, tikai tradisional masih
mendapat tempat dalam kalangan masyarakat Iban di Sarawak. Kerajaan
Negeri Sarawak juga telah menyeru kaum wanita Iban agar terus berkarya
demi meneruskan kelangsungan penghasilan kraf tangan tradisi ini di
samping mampu menjana pendapatan ekonomi keluarga. Kerajaan negeri
turut menyediakan skim penanaman bemban dan rotan kepada masyarakat
Sarawak untuk menyokong dan memulihara serta melindungi warisan kraf
tangan tradisional.

Rujukan
Biehaut, J.F. 1994. Iban Basket. Kuching: Sarawak Literary Society.
Durin, A. 2014.Tikar Bemban. Kuching: Universiti Malaysia Sarawak.
Durin, A. et al. 2010. Tikar Bemban Satu Seni Rupa Iban yang Harus Dipertahankan.
Kertas Seminar. Persidangan Antarabangsa Minoriti dan Majoriti Bahasa,
Budaya dan Identiti. Hotel Hilton, Kuching, Sarawak. 23–24 November.
Helga Chermai Anak Iri, 56 tahun, Kampung Tr. Tan Rantau kiran, Nanga Medamit,
Limbang, Sarawak. Temu bual pada 2 Julai 2017, 12.30 tengah hari.

Catatan Meja Editor: Artikel ini disumbangkan oleh En. Gregory Ak Kiyai@Keai yang telah diterbitkan dalam JURNAL BORNEO ARKHAILOGIA (Volume 1, Number 1 - 2017). Buat masa sekarang, beliau sedang melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana dalam Program Sejarah di Universiti Malaysia Sabah (UMS).