About Panggaudayak:
An idea from Nicholas J. Ugik launched on late year 2011. Ugik hold a Bachelor Degree of Social Sciences (History Studies) has deep passion about Iban History and it's culture. His hot debut on thesis writing about Development of Iban Culture and Literature (1980-2000) as a break point for himself in Iban studies. Futhermore, he put his lifework on Panggaudayak as a legacy to the future.

"Make history be a path to future"

N.J. Ugik


Monday 27 November 2017

KEBANGKITAN NASIONALISME: SARAWAK DAN MALAYA SELEPAS PERANG DUNIA KEDUA (BAHAGIAN DUA)

Oleh; Nicholas J. Ugik (BA Soc. Sce. (History), UMS)

5.0 LATAR BELAKANG MALAYAN UNION
Menjelang Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, banyak peristiwa penting dalam sejarah negara telah dicorakkan. Peristiwa-peristiwa ini termasuklah Rancangan Penubuhan Malayan Union, Pembentukan Persekutuan Tanah Melayu, perkembangan parti-parti politik, kebangkitan Parti Komunis Malaya, Zaman Darurat, Pilihan Raya Umum, Rundingan Baling dan Rundingan Kemerdekaan. Salah satu peristiwa penting dalam sejarah tanah air ialah sejarah penubuhan Malayan Union. Penubuhan Malayan Union telah dirancang oleh oleh penjajah British apabila kuasa barat ini kembali semula ke Tanah Melayu selepas Jepun menyerah kalah. Selepas Perang Dunia Kedua berakhir, Pejabat Tanah Jajahan di London telah melaksanakan rancangan untuk menggubal satu perlembagaan baru bagi Tanah Melayu. Menerusi rancangan yang dikenali sebagai Malayan Union, kerajaan British berhasrat untuk mengubah taraf Negeri-negeri Melayu daripada negeri-negeri yang bernaung kepada jajahan british. Hal ini disebabkan oleh masalah pentadbiran yang tidak selaras yang menyebabkan Tanah Melayu jatuh ke tangan Jepun. Pada ketika itu, Tanah Melayu berada pada tiga bentuk pentadbiran iaitu, Negeri-Negeri Selat, Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, dan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu. Berikutan daripada keadaan itu, satu rancangan Kesatuan Tanah Melayu atau “Malayan Union” telah dirangka.
         Tujuan rancangan ini diwujudkan untuk membentuk satu sistem politik dan kerajaan yang bercorak “kesatuan”. Tiga memorandum telah diterima di London ketika kerajaan British merangka rancangan tersebut. Salah satu memorandum yang telah dihantar ialah dari  Persatuan British Malaya, dan satu lagi dihantar oleh Tan Cheng Lock, iaitu iaitu seorang pemimpin Cina yang terkenal di Tanah Melayu. Kedua-dua memorandum ini menyokong supaya semua Negeri Melayu disatukan dibawah sebuah kesatuan dengan kuasa dan hak politik yang sama rata bagi semua penduduknya. Manakala memorandum yang ketiga telah dikemukakan oleh sekumpulan pelajar Melayu yang menuntut di United Kingdom. Tindakan pelajar ini adalah ekoran daripada memorandum yang terdahulu. Tetapi memorandum yang ketiga berbeza dengan yang terdahulu. Hal ini kerana dalam memorandum tersebut, mereka menentang penubuhan Malayan Union. Sebaliknya, memorandum ini mencadangkan supaya kedaulatan Raja-Raja Melayu diiktiraf dan hak kerakyatan mengikut prinsip “jus soli” tidak diamalkan. Golongan pelajar Melayu ini berasa bimbang jika Malayan Union ditubuhkan, kedaulatan Raja-Raja Melayu, masa depan serta kepentingan politik orang Melayu akan hilang sama sekali.
Sir Harold MacMichael, wakil kerajaan Great Britain untuk mendapatkan tandatangan
 Raja-Raja Melayu dalam gagasan Malayan Union

5.1 Rancangan Penubuhan Malayan Union
Malayan Union merupakan satu percubaan Kerajaan British untuk mengubah taraf Negeri-Negeri Melayu yang bernaung kepada sebuah tanah jajahan British. Rancangan ini merupakan satu peristiwa yang amat penting dalam sejarah Malaysia kerana ia menghidupkan dan menyemarakkan semangat nasionalisme orang Melayu. Ia juga merupakan titik permulaan perpaduan Orang Melayu untuk memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu. Perlembagaan Malaya Union yang digubal oleh kerjaan British akan menukar Negeri-Negeri Melayu kepada sebuah tanah jajahan British. Dengan pembentukan Malayan Union, maka kuasa dan kedaulatan Raja-Raja akan terhapus. Hal ini jelas apabila Raja-Raja Melayu akan kehilangan kuasa untuk memerintah kerana kuasa ini diambil alih oleh Kerajaan British.
         Mengikut Perlembagaan Malaya Union, semua Negeri Melayu termasuk Pulau Pinang, dan Melaka, kecuali Singapura akan disatukan dalam pemerintahan pusat. Malayan Union akan diperintah oleh seorang Gebenor British yang mempunyai kuasa sepenuhnya, manakala Raja-Raja Melayu menjadi Raja Kehormat sahaja. Dalam Perlembagaan Malayan Union ia cuba memberi hak kerakyatan kepada golongan bukan menerusi kerakyatan dalam prinsip “jus soli”. Prinsip ini seperti; jika seseorang lahir di Tanah Melayu selepas Malayan Union ditubuhkan maka mereka berhak menerima kerakyatan. Akibatnya, cara ini akan membolehkan orang bukan Melayu mendapat kerakyatan dengan mudah. Disamping itu, dalam rancangan ini juga akan meletakkan seorang Pesuruhjaya Negeri di setiap negeri bagi mentadbir negeri-negeri dalam Malayan Union.
Raja-Raja Melayu yang menandatangani pembentukan Malayan Union

5.2 Tujuan British Berminat Menubuhkan Malayan Union         
Apabila Jepun menyerah kalah dalam Perang Dunia Kedua pada tahun 1945, British kembali semula ke Tanah Melayu. kejatuhan Tanah Melayu ke tangan tentera Jepun telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada pentadbiran British di Tanah Melayu. Oleh itu, British Military Administration (BMA) telah mengambil alih untuk melaksanakan dasar-dasar pentadbiran yang mengikut peraturan dan undang-undang. Rundingan ini telah dibuat oleh Pejabat Tanah Jajahan dan Pejabat Perang di London untuk menubuhkan satu unit yang dinamakan “The Malayan Planning Unit” (Unit Perancang Tanah Melayu). Selain itu, ia juga dikenali sebagai “Reconstruction of Malaya”. Unit ini telah diberi tanggungjawab untuk menyediakan laporan terperinci mengenai pembentukan Malayan Union.
         Rancangan Malayan Union telah diisytiharkan pada Januari 1946. Ia merupakan satu bentuk pemerintahan yang baru bagi Tanah Melayu. Tanggal 22 Februari 1946, rancangan Malayan Union telah disiarkan dalam Warta Kerajaan. Rancangan ini dikenali sebagai “Kertas Putih 6724”. Dalam kertas ini, kerajaan British telah menyatakan tujuannya mengambil alih pemerintahan dan menubuhkan negara yang bersatu. Namun dalam rancangan tersebut, Singapura tidak termasuk dalam  Malayan Union, tetapi kekal sebagi tanah jajahan Beritish yang berasingan. Dengan itu, kerajaan British telah merancang pembentukan Malayan Union berdasarkan kepada beberapa faktor. Antara faktor tersebut ialah seperti satu langkah persediaan bagi Tanah Melayu untuk mencapai taraf pemerintahan sendiri, mewujudkan satu dasar ketenteraan yang lebih mudah dipertahankan, dan disebabkan oleh sikap kecewa dan tidak yakin orang Melayu terhadap kegagalan British mempertahankan Tanah Melayu dari jatuh ke tangan Tentera Jepun.
         Selain itu, pembentukan Malayan Union juga merupakan satu langkah ke arah penyatuan politik bagi mewujudkan kesedaran kebangsaan dan semangat cintakan tanah air di kalangan penduduk Tanah Melayu. Di samping itu, ia juga merupakan satu matlamat Kerajaan British untuk mengintegrasikan masyarakat Cina dan India ke dalam sebuah masyarakat majmuk Tanah Melayu. Hal ini kerana, di bawah pemerintahan dan pentadbiran British, masyarakat Cina dan India masih menunjukkan sikap taat setia dan cintakan negara asal mereka. Bagi menghapuskan sikap ini, kerajaan British telah menawarkan satu peraturan yang longgar bagi mendapatkan hak kerakyatan kepada dua golongan kaum ini. Bagi British kedua-dua imigran ini dikekalkan untuk memajukan ekonomi di Tanah Melayu. Selain daripada faktor-faktor tersebut, pembentukan Malayan Union membolehkan pihak British melaksanakan satu dasar ketenteraan yang mudah diselenggarakan. Satu pasukan tentera kebangsaan Tanah Melayu akan ditubuhkan memandangkan askar Tanah Melayu mempunyai anggota-anggota yang cekap dan berani ketika perang menentang Jepun. Dengan dasar penubuhan pasukan tentera ini, maka British tidak perlu meminta bantuan pertahanan dari negara-negara lain. Secara tidak langsung perlaksanaan dasar ketenteraan ini merupakan satu helah pihak British untuk “membalas dendam” terhadap sikap Orang Melayu yang menyokong Jepun ketika menduduki Tanah Melayu.
         Faktor lain yang menyokong ke arah pembentukan Malayan Union ialah rancangan ini akan melicinkan lagi sistem pentadbiran dan pemerintahan British di Tanah Melayu. Penyeragaman tiga unit pentadbiran iaitu, Negeri-Negeri Selat, Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, dan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu ke dalam Malayan Union dapat menjimatkan perbelanjaan pentadbiran dan seterusnya merangsang perkembangan ekonomi Tanah Melayu. Hal ini kerana, Tanah Melayu merupakan pengeluar terbesar dunia bagi bijih timah dan getah. Oleh itu, pihak British ingin mengekalkan kepentingan ekonomi British di samping menggalakkan pelabur-pelabur asing ke Tanah Melayu. Pada keseluruhannya, objektif yang terkandung dalam Perlembangaan Malayan Union ialah menyatukan semua Negeri-Negeri Melayu di bawah satu pemerintahan Gabenor British. Gabenor akan dibantu oleh Majlis Mesyuarat Kerja dan Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan. Manakala, Singapura tidak termasuk dalam Malayan Union, tetapi Singapura menjadi tanah jajahan mahkota (Crown Colony) British dan ditadbir oleh Gabenor British. Selain itu, kedaulatan raja-raja Melayu dimansuhkan. Raja-Raja Melayu menjadi Raja Kehormat dan hanya berkuasa ke atas hal-ehwal agama Islam dan adat istiadat Melayu. Dalam hak kerakyatan juga, ia adalah sama bagi semua penduduk Tanah Melayu tanpa mengira bangsa dan keturunan. Kerajaan British akan mengamalkan prinsip “jus soli” dalam pemberian hak kewarganegaraan. Mengikut prinsip ini, penduduk yang berumur 18 tahun ke atas dan telah bermastautin di Tanah Melayu dan Singapura  selama 10 hingga 15 tahun sebelum 15 Febuari 1942 akan diberi hak kerakyatan. Ternyata perlaksanaan prinsip ini akan menghapuskan kedudukan orang Melayu sebagai kaum majoriti Tanah Melayu.
5.3 Penentangan Orang Melayu Terhadap Malayan Union
Rancangan pembentukan Malayan Union mendapat bantahan dan tentangan hebat daripada orang Melayu. Apakah faktor-faktor yang menyebabkan Orang Melayu tidak menyokong penubuhan Malayan Union? Tentangan yang hebat telah dilakukan oleh masyarakat Melayu. Tentangan-tentang tersebut telah disalurkan dalam pelbagai bentuk, sama ada melalui demontrasi, menulis surat bantahan, membuat memorandum, dan sebagainya. Terdapat beberapa  faktor yang menyebabkan penentangan ini belaku. Hal ini ekoran rasa tidak puas hati terhadap Malayan Union yang sudah pasti akan menggugat hak dan maruah bangsa Melayu  sendiri. Terdapat beberapa sebab orang Melayu bangkit menentang Malayan Union.
                                        Perarakan aman orang Melayu dalam membantah gagasan Malayan Union                                                                
5.3.1 Kedaulatan Kuasa Sultan Terancam
Orang Melayu bangkit menentang Malayan Union kerana kedaulatan dan kuasa mutlak Raja-Raja Melayu terancam. Dalam kerajaan Malayan Union, kedudukan sultan dikekalkan tetapi kuasa mereka dikurangkan. Raja hanya menjadi ketua agama dan adal istiadat Melayu sahaja. Semua kuasa pentadbiran terletak ditangan gabenor yang mempunyai kuasa pembatal atau kausa veto. Di samping itu, perubahan status sosial raja-raja Melayu telah membangkitkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat Melayu. Gambaran ini terpancar dalam pemikiran masyarakat Melayu kerana mereka melihat sendiri akan peralihan status kuasa sultan. Kebimbangan ini memungkinkan mereka akan terus menghadapi persaingan yang tinggi dengan kaum yang bukan Melayu dalam menguasai ekonomi. Penghapusan kedaulatan raja-raja Melayu ini akan menyebabkan orang-orang Melayu kehilangan kepimpinan tradisional mereka. Keadaan ini diburukan lagi apabila Gabenor Malayan Union akan menjadi Pengerusi Majlis Islam. Ini akan menjatuhkan maruah dan kesucian agama Islam kerana orang yang bukan Islam yang menjadi Pengerusi Majlis Agama Islam. Akibatnya sultan akan kehilangan kuasa politik dan hak keistimewaannya. Kebudayaan dan tradisi Melayu akan beransur-ansur lenyap sekiranya tampuk pemerintahan mereka dilenyapkan kuasa dan pengaruhnya. Akhirnya suatu hari nanti seluruh Tanah Melayu akan dikuasai oleh orang bukan Melayu. Keadaan ini jelas apabila kehilangan kuasa Sultan akan menyebabkan status Tanah Melayu bertukar menjadi tanah jajahan British. Ini telah menimbulkan semangat kebangsaan dalam kalangan Orang Melayu dan menyebabkan mereka mengatur penentangan terhadap Malayan Union.
5.3.2 Pemberian Taraf Kerakyatan
Prinsip kerakyatan berdasarkan jus soli yang terlalu liberal telah menimbulkan dan menambahkan sentimen perkauman. Syarat kerakyatan yang terlalu longgar membolehkan orang bukan Melayu mendapat hak yang sama rata seperti orang Melayu. Keadaan ini menyebabkan wujudnya tekanan dan akan menenggelamkan hak istimewa orang Melayu sebagai peribumi asal di Tanah Melayu. Selain itu, keadaan politik orang Melayu juga turut tergugat.  Hal ini didorong oleh soal taat setia kaum Cina dan India yang masih diragui oleh orang Melayu. Ini kerana sebelum Perang Dunia Kedua, kedua-dua kaum ini telah menunjukkan semangat nasionalisme kepada negara asal masing-masing dan bukannya kepada Tanah Melayu. Sekiranya Malayan Union dilaksanakan, dianggarkan kira-kira 85 peratus orang Cina dan 75 peratus orang India akan mendapat taraf kewarganegaraan Tanah Melayu. Berdasarkan keadaan tersebut, sudah pasti akan menggugat masa depan orang Melayu.
5.3.3 Cara Mac Micheal Mendapatkan Tandatangan Sultan
Tanggal 12 Oktober 1945, Sir Harold Mac Micheal dihantar ke Tanah Melayu untuk mendapatkan tandatangan sultan-sultan. Beliau telah mendapatkan persetujuan sultan-sultan dengan cara paksaan, iaitu mengugut akan melucutkan jawatan mereka dengan alasan sultan-sultan bekerjasama dengan Jepun menentang British semasa Perang Dunia Kedua. Hal ini juga ditambah lagi apabila Mac Micheal tidak memberi masa dan peluang kepada sultan-sultan untuk berunding dengan Majlis Mesyuarat Negeri (MMN) dan pembesar masing-masing. Ini melanggar perlembagaan negeri yang menyatakan dengan jelas bahawa sebelum baginda memberi perkenaan sesuatu perkara yang berkaitan dengan hal ehwal negeri maka baginda sultan perlu berunding dengan MMN dan pembesar-pembesarnya. Akibatnya orang Melayu marah kerana Mac Micheal tidak menerangkan secara terperinci dan mendapat pandangan raja-raja Melayu terlebih dahulu sebelum menandatangani perjanjian tersebut. Contoh paksaan dan putar belit yang digunakan oleh Mac Micheal dapat dilihat dalam surat Sultan Kedah yang menyatakan:
Saya telah diberi kata dua dengan mulut dengan masa yang dihadkan dan jikalau saya menolak daripada menurunkan tandatangan ke atas apa yang saya katakan alat menyerah diri pengganti saya akan menurunkan tandatangannya, akan dilantik. Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negeri telah dipaksa menurunkan tandatangan dan mengaku mereka akan menasihatkan saya supaya menurunkan tandatangan. Saya telah diberitahu iaitu perkara itu adalah perkara sahsiah dan sulit dan saya tidak pula dibenarkan menceritakan apa yang berlaku itu.”
5.3.4 Hak Istimewa Orang Melayu Terhapus
Orang Melayu percaya mereka akan kehilangan kedudukan sebagai peribumi Tanah Melayu akibat daripada kerakyatan Malayan Union yang longgar. Mereka bimbang akan menjadi satu masyarakat kecil di Tanah Melayu. Mereka juga melihatnya sebagai satu penjajahan ke atas tanah Melayu. Hak istimewa orang Melayu sebagai penduduk asal akan terhapus. Mereka percaya suatu hari nanti mereka akan mengemis di bumi sendiri sekiranya Malayan Union ini dilaksanakan. Ini kerana orang Melayu melihat bahawa Malayan Union ini akan membawa kesan yang amat buruk kepada masyarakat Melayu. Malayan Union akan melemahkan bangsa Melayu, negeri Melayu, dan kebudayaan Melayu pada masa hadapan. Orang Melayu akan kehilangan asal usulnya.

6.0 BRITISH MENGATASI PENENTANGAN ORANG MELAYU TERHADAP MALAYAN UNION
Setelah penentangan yang dilakukan oleh orang Melayu terhadap Malayan Union begitu hebat, maka British terpaksa akur dan keadaan tersebut telah membawa kepada dasar British yang mahu berbaik-baik dengan orang Melayu. Ini ditambah lagi pengaruh Parti Komunis Malaya yang mahu mentadbir Tanah Melayu. Kerisauan British tentang pengaruh Komunis ini telah membuka ruang kepada orang Melayu untuk berpolitik atas kesedaran nasionalisme setelah pendudukan Jepun. Perlaksanaan Malayan Union pada April 1946 di Tanah Melayu menyemarakkan semangan nasionalisme penduduk tempatan khususnya orang-orang Melayu. Mereka merasakan adat dan tradisi Orang Melayu itu tercabar. Ini memandangkan Malayan Union secara drastik menukarkan taraf negeri-negeri Melayu daripada naungan British kepada jajahan British secara langsung dan di bawah satu Pentadbiran.
                       Penentangan ini telah membawa beberapa siri perundingan seperti  Mei 1946 di mana Raja-raja Melayu berunding dengan pihak British di Kuala Kangsar bagi menolak Malayan Union. Selepas itu, pada Jun 1946 UMNO mengadakan rundingan di Pulau Pinang dengan pihak British juga bagi menolak Malayan Union. Oleh yang demikian British bersetuju menubuhkan Persekutuan Tanah Melayu kerana tidak mahu orang Melayu menentang British secara kekerasan disebabkan mereka bimbang Parti Komunis Malaya mempengaruhi cara orang Melayu (rundingan dan sederhana) serta seruan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar penjajah melaksanakan dasar “dekolonialisasi”. Akhirnya pada 21 Januari 1948  Perjanjian Penubuhan Persekutuan Tanah Melayu ditandatangani antara Raja-raja Melayu, wakil UMNO dan pihak British.
                 Hasil daripada perundingan jawatankuasa kerja yang mengandungi wakil-wakil kerajaan, Sultan-Sultan dan UMNO telah berjaya membentuk perlembagaan baru iaitu Persekutuan Tanah Melayu 1948. Antara ciri-cirinya ialah pemerintahan Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu dan Negeri-negeri Selat diletakkan di bawah satu pemerintahan manakala Singapura menjadi tanah jajahan British; kerajaan persekutuan ditadbir oleh Pesuruhjaya British, Majlis Mesyuarat Kerajaan Persekutuaan dan Majlis Perundangan Persekutuan membantu pentadbiran, Majlis Raja-Raja Melayu menasihati Pesuruhjaya Tinggi berkenaan hak-hak istimewa orang Melayu dan agama Islam, syarat-syarat kewarganegaraaan diperketatkan daan hak-hak istemewa orang-orang Melayu sebagai kaum bumiputera diperakui.
                     Secara lahirlah persekutuan ini memberi peluang kepada anak-anak tempatan mentadbir negara melalui peluang memegang jawatan penting seperti Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan Negeri dan lain-lain jawatan bagi memastikan mereka dapat memimpin negara merdeka. Dari aspek geopolitik pula buat pertama kali semua negeri Tanah Melayu diletakkan dalam satu pentadbiran. Namun secara halusnya pula British telah berjaya membuka kerakyatan pada kaum-kaum lain. Ini dapat dilihat melalui petikan.
      "Melalui penubuhan Persekutuan Tanah Melayu, dalam tahun 1948 British telah memujuk kaum Melayu supaya menerima bukan Melayu sebagai warganegara dengan syarat-syarat yang lebih ketat...."( Utusan Melayu, 1948)

Walaupun British memberi usul yang sedemikian rupa namun keadaan ini tidak dapat mengatasi penentangan yang berterusan terhadap Malayan Union. Sekali gus titik tolak kepada dasar British yang mahu berbaik-baik dengan orang Melayu.
         Selain itu, cara British mengatasi masalah tersebut adalah membenarkan orang Melayu menubuhkan parti-parti politik ke arah berkerajaan sendiri. Jelas di sini UMNO yang sanggup mengikut telunjuk British terus kekal berbanding pertubuhan atau parti yang radikal. Penubuhan UMNO, PKMM, API dan sebagainya menunjukkan wujud politik perkauman yang mementingkan orang Melayu. Manakala kaum Cina dan India sebelumnya mementingkan perjuangan berkiblatkan negara asal masing-masing. Penentangan orang Melayu ini telah memberikan kesedaran kepada kedua-dua kaum ini untuk menubuhkan parti politik bagi menjaga kepentingan kaum mereka di Tanah Melayu. Wujud juga parti yang bersifat ideologi seperti Parti Islam Setanah Melayu (PAS). Parti ini berlandaskan kepada ideologi agama Islam. Matlamatnya pula ialah penubuhan sebuah negara yang berlandaskan ajaran agama Islam. Parti ini kebanyakannya dianggotai oleh pemimpin agama di kampung-kampung dan guru-guru agama. Para pemimpin parti ini telah menuduh UMNO sebagai bersifat Malaya dan bukan bersifat Melayu. Namun parti ini pada keseluruhannya tidak mendapat sokongan yang menyeluruh daripada penduduk kerana ia terbatas kepada orang Islam sahaja. Walaupun usaha Dato Onn untuk menyatukan kaum menemui kegagalan tetapi sebenarnya melahirkan bibit-bibit perpaduan, ini terbukti apabila Tunku Abdul Rahman selepas Dato Onn menubuhkan Parti Perikatan melalui kerjasama umum antara UMNO dan MCA untuk mencapai kemerdekaan.
Selepas pilihanraya Majlis Perbandaran Kuala Lumpur memperlihatkan kemenangan kepada parti ini di mana memperolehi sembilan kerusi dari 12 kerusi yang dipertandingkan. Bakinya dua kepada Independence Malaya party (IMP) dan satu kepada calon bebas. Malah parti ini juga mencapai kejayaan yang cemerlang di Melaka, Johor Bahru, Batu pahat dan Muar. Perkembangan ini telah menggalakkan Malayan Indian Congress (MIC) menyertai Perikatan pada Oktober 1954. Sekaligus menjadikan parti ini sebuah parti politik yang terbesar di Tanah Melayu ketika itu. Atas desakan tegas UMNO untuk mengadakan pilihanraya Majlis Mesyuarat Persekutuan di mana majlis ini mempunyai 52 anggota yang memberi kuasa kepada parti yang menang memilih lima daripada tujuh anggota yang akan dilantik oleh pemerintah British.
Kabinet pertama Persekutuan Tanah Melayu 1955. Tunku Abdul Rahman menjadi Ketua Menteri

Akhirnya pada 27 Julai 1955, pilihanraya Kebangsaaan Persekutuan Tanah Melayu diadakan pertama kalinya. Ketiga-tiga parti tersebut telah keluar bertanding. Antara saingannya ialah Parti Negara, Parti Islam Semalaya, Parti Progresif Rakyat, Parti Buruh Semalaya, Ikatan Melayu Perak dan lain-lain lagi. Keputuasan pilihan raya itu telah memberi kemenangan besar kepada Perikatan di mana telah memenangi 51 kerusi daripada 52 yang dipertandingkan. Era ini menunjukkan bahawa kemajuan ke arah kemerdekaan hanya boleh dicapai dengan kerjasama dari ketiga-tiga kaum terbesar di Tanah Melayu. Selanjutnya parti ini telah membentuk sebuah kabinet dengan diketuai oleh Tunku Abdul Rahman sebagai Ketua Menteri. Kabinet terdiri daripada 10 menteri, 6 dari UMNO, 3 dari MCA dan seorang dari MIC. Kemerdekaan yang dicapai pada 31 Ogos 1957 sebenarnya belum bebas dalam rangka yang sebenarnya, di mana pegawai British masih memainkan peranan mereka dalam soal pemerintahan kementerian penting seperti Kementerian Pertanian dan Kementerian Perkhidmatan Awam masih dikuasai oleh pegawai-pegawai British.


Suasana Pilihanraya Persekutuan Tanah Melayu tahun 1955.

7.0 PENILAIAN
Jika dilihat secara keseluruhan pengambilan semula Sarawak dan Tanah Melayu adalah untuk Kepentingan Ekonomi British. Ini adalah ekoran kesan daripada Perang Dunia Ke-2 yang menyebabkan British menggunakan banyak wang. Sememangnya tidak dinafikan British malu kerana kalah dengan Jepun yang dianggap sebagai negara kecil dan tidak mampu menentang mereka, namun perkara sebaliknya berlaku. Selain itu, kerugian yang dialami oleh British semasa perang telah menyebabkan masalah kewangan berlaku dalam pentadbiran British. Bagi mengukuhkan kembali ekonominya, Tanah Melayu dan Sarawak sememangnya sesuai kerana mempunyai kepentingan ekonomi yang Kaya dengan sumber bahan mentah yang banyak.
Gerakan nasionalisme Tanah Melayu dan Sarawak dipengaruhi oleh Perkembangan pendidikan. Golongan intelektual dilihat memainkan peranan penting dalam menyebarkan dan menyedarkan masyarakat Melayu tentang hak mereka. Kesedaran politik, ekonomi dan sosial masyarakat tempatan bahawa mereka telah dipergunakan oleh penjajah menyebabkan golongan-golongan bijak pandai bangkit untuk menyuarakan pendapat melalui tulisan-tulisan majalah, surat khabar, risalah dan ceramah telah memyebabkan masyarakat sedar dan tahu betapa tingginya nilai politik dan ekonomi yang mereka harus tuntut.
Proses penentangan yang dilakukan oleh masyarakat Tanah Melayu dan juga Sarawak telah menyebabkan titik tolak berakhirnya imperialisme barat di seluruh Dunia. Ini selaras dengan piagam atlantik yang mana mahu semua penjajah memberi kemerdekaan kepada tanah jajahan di Asia Tenggara dan juga proses kepada bentuk berkerajaan sendiri. Walaupun ini jelas berlaku di Asia Tenggara ini tidak berlaku di Sabah dan Sarawak. Walaupun ia berlaku tetapi ia agak lewat berbanding dengan Tanah Melayu, sehinggalah Sabah dan Sarawak merdeka melalui satu pembentukan yang digelar Pembentukan Malaysia. Tapi natijahnya, titik-tolak daripada penentangan Malayan Union dan juga anti penyerahan Sarawak telah menyebabkan berakhirnya penjajahan di Tanah Melayu.
Sehubungan dengan itu, kejayaan mendapatkan kemerdekaan dari belenggu penjajahan British telah menyebabkan lahirnya masyarakat majmuk tidak kira di Tanah Melayu juga di Sarawak. Ini di antara syarat yang dikemukakan oleh British sebelum meninggalkan Tanah Melayu. British mahu hubungan antara kaum yang terbesar iaitu Melayu, Cina dan segelintir India dalam keadaan baik. Sekiranya hubungan antara kaum tidak dapat dicapai maka British enggan untuk memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu dan begitu juga negara Sarawak. Oleh yang demikian pendekatan yang dibuat oleh ketiga-tiga kaum ini adalah konsep ‘Bersetuju tetapi tidak bersetuju’ apabila perlembagaan dirangka pada tahun 1957.

RUJUKAN
Abdul Rahman Haji Ismail. 2007. Malaysia: Sejarah Kenegaraan dan Politik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Andaya, Barbara Watson & Leonard Y. 1983. Sejarah Malaysia. (ter). Petaling Jaya: Macmillan Publisher.

Chai Cun Dui. 1994. Sejarah Sibu dalam Seratus Tahun. Sibu: Syarikar Percetakan Borneo.

Chang Pat Foh. 1999. Legends & History of Sarawak, Kuching: Lee Ming Press Co.

Fadilah bt Zaini & Kassim b Thukiman. 2008. Hubungan Etnik Di Malaysia, Johor Bharu: Universiti Teknologi Malaysia.

     Irwin Graham, (terjemahan) Mohd. Nor Ghani dan Noraini Ismail. 1986. Borneo Abad Kesembilan Belas. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
    
    Joginder Singh Jessy. 1978. Sejarah Tanah Melayu: 1400 Hingga 1959. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

J  Jayum Jawan. Iban Politics and Economic Development. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia. 1994.

  Kasim Thukiman . 2002. Malaysia:Perspektif Sejarah dan Politik. Johor: Universiti Teknologi Malaysia.

     Mohd. Isa Othman. 2002. Sejarah Malaysia: 1800 Hingga 1963. Utusan Publication dan Distributors Sdn. Bhd.

Pollard Elizabeth. 1997. Kuching: 1839-1970. Kuala Lumpur:  Dewan Bahasa dan Pustaka.

       Reece R.H.W. 1982. The Name of Brooke: The End of White Rajah Rule in Sarawak. Kuala Lumpur:  Oxford University Press.

     Ramlah Adam. 1993. Dato’ Onn Ja’afar: Pengasas Kemerdekaan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ramlah Adam. 1998. Kemelut Politik Semenanjung Tanah Melayu. Kuala Lumpur: Universiti
Malaya

   Ramlah Adam. 2000. Dr Burhanuddin Al-Helmy: Suatu Kemelut Politik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Rawlins Joan. 1965. Sarawak 1839-1968. London: Macmillan & Company Ltd.

Ruslan Zainudin. 2003. Kursus Komprehensif Fajar Bakti : Sejarah Malaysia Edisi Kedua. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti.

Ruslan Zainuddin. 2005. Sejarah Malaysia. Selangor: Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Zainal Abidin Abdul Wahid, et al. 1996. Malaysia: Warisan dan Perkembangan. Edisi Kedua. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

No comments:

Post a Comment